Di sebuah teluk bernama Teluk Cypress terletak di Tofino, wilayah British Columbia, Kanada; wujud sebuah pulau kecil yang dikenali orang tempatan dengan nama 'Freedom Cove.'
Pulau itu sebenarnya adalah pulau buatan, yang hanyut terapung setiap masa, hanya kekal di lokasi tersebut disebabkan oleh tali yang menghubungkannya dengan daratan. Seandainya tali itu putus, Freedom Cove akan hanyut mengikut arus air kerana langsung tidak disauhkan ke permukaan laut.
BESARKAN TEKS A- A+
Di atas pulau itulah, pasangan bernama Wayne Adams King dan Catherine King memilih untuk mendirikan kediaman kekal mereka selama lebih 29 tahun.
Tapak asas Freedom Cove
Pasangan King sejak berkahwin menyimpan impian untuk memiliki tanah sendiri yang boleh dibina kediaman mereka.
Bagaimanapun peningkatan aktiviti pelancongan di Tofino mendorong lebih ramai orang luar berkunjung ke situ, mengakibatkan harga hartanah untuk sewaan dan pembelian naik mendadak; menyukarkan penggiat seni seperti Wayne dan Catherine.
Menyedari impian memiliki kediaman sendiri sukar, dikekang pilihan kerjaya kedua-duanya yang tidak stabil serta berpendapatan rendah - Wayne dan Catherine memilih untuk mencipta sendiri 'tanah' mereka demi memenuhi keinginan yang diharapkan.
Mereka mula membina pulau tersebut dengan menggunakan bahan-bahan terpakai dan buangan, sejak tahun 1992. Sedikit demi sedikit pulau kecil itu berkembang sehingga layak dikatakan sebuah pekan kecil yang agak lengkap fasilitinya.
Bagaimana hidup baru mereka bermula?
Kisah bagaimana Wayne dan Catherine memilih untuk menetap di situ sebenarnya berlaku secara tidak sengaja.
Selepas beberapa tahun pasangan itu cuba menyara hidup dengan menjual karya seni di merata-rata tempat, kedua-duanya jatuh cinta dengan Tofino yang terletak di selatan Kanada.
Bagi membolehkan mereka memulakan hidup baru di situ, Wayne pada mulanya merancang untuk mendirikan sebuah kabin kayu di kawasan daratan sementara menumpang kabin kenalan mereka sekitar tahun 1991.
Ketika bencana ribut yang menimpa, beberapa potongan kayu yang siap dipotong cantik diterbangkan ke kawasan sekitar mereka. Wayne menyedari kayu-kayu tersebut pasti datang daripada sebuah kabin berdekatan mengumpulkannya, lalu menghantarkan bongkah-bongkah kayu itu kembali kepada tuan asalnya.
Namun, tuan punya kayu itu menyebut oleh kerana mereka yang mengumpulkan semula kayu itu, kayu itu sudah menjadi hak Wayne dan Catherine secara rasmi.
Mengetahui bahawa tradisi tersebut diamalkan masyarakat setempat, Wayne dan Catherine menggunakan peluang yang ada untuk mengumpul barangan-barangan terbuang yang boleh digunakan tanpa sekatan - untuk membina sebuah rumah terapung di situ, memulakan platform pertama pembinaan pulau yang bakal dinamakan sebagai Freedom Cove.
Kemudahan hidup yang lengkap
Kedudukan Freedom Cove sendiri agak jauh ke kawasan pedalaman. Untuk sesiapa yang ingin hadir ke situ perlu menaiki bot atau perahu, 25 minit menggunakan bot dari pekan terdekat.
Akses melalui darat agak sukar kerana kawasan itu dikelilingi hutan yang agak tebal. Kedudukan yang jauh ke dalam menyebabkan Wayne dan Catherine sendiri boleh dikatakan terputus akses mereka kepada dunia luar.
Disebabkan itulah kedua-duanya memastikan pulau mereka itu perlu mengandungi semua keperluan harian mereka.
Rutin hidup Wayne dan Catherine di atas pulau buatan mereka setiap hari memerlukan kedua-duanya memainkan peranan masing-masing.
Wayne bertanggungjawab menyelenggara fasiliti pulau tersebut, memeriksa dan memperbaiki mana-mana bahagian yang rosak. Catherine pula bertugas menyelia kebun seluas separuh ekar yang mengandungi buah-buahan dan sayur-sayuran yang dijadikan makanan mereka setiap hari.
Bekalan elektrik hadir menerusi panel-panel solar yang dipasang sementara air bersih pula diperolehi daripada takungan air hujan yang ditapis.
Di kelilingi oleh air pasti mudah untuk kita membuang air besar di mana-mana saja kan? Tidak bagi Wayne dan Catherine.
Mereka memilih untuk mengumpul dan menyimpan najis dalam sebuah tangki khas yang akan dibawa ke pekan, untuk pelupusan serentak dengan sampah harian mereka secara berkala.
Hanya hidup berdua selama hampir 3 dekad
Walaupun ada menerima kunjungan pelancong yang ingin menyaksikan sendiri pulau mereka, kebanyakan masa Wayne dan Catherine dihabiskan sesama mereka sendirian.
Apabila ditanya bagaimana mereka mampu bertahan hidup hanya berdua selama ini, Wayne menyifatkan hubungan mereka kekal disebabkan oleh keserasian yang telah terjalin antara mereka berdua.
Kedua-duanya berkongsi minat yang sama serta berani mengambil risiko cuba hidup dengan cara yang nyata jauh berbeza berbanding orang lain.
Ketika masa lapang, Wayne menghabiskan masa dengan menonton televisyen menerusi satelit, menghasilkan karya seni arca yang digemarinya atau memancing melalui lubang khas yang ditebuk di lantai rumahnya.
Catherine pula selain banyak menghabiskan masa menjaga tanaman, mengisi masa lapangnya dengan aktiviti yoga dan menghias pulau mereka dengan hiasan-hiasan unik yang jarang kelihatan di kediaman biasa.
Anak kepada pasangan ini, Shane turut sama memilih untuk hidup dengan cara serupa memiliki sebuah rumah terapung tidak jauh dari pulau milik ibu bapanya.
Bukan kediaman haram
Secara rasmi, kewujudan pulau itu diiktiraf kerajaan Kanada yang mendaftarkan Freedom Cove di bawah majlis perbandaran dalam kategori 'kediaman terapung,' dibekalkan dengan sistem GPS bagi membolehkan pengesanan lokasinya dilakukan.
Wayne dan Catherine telah hidup di atas pulau tersebut selama hampir 29 tahun dan sudah lali dengan pergerakan air yang sentiasa membuai rumah mereka.
Ada ketikanya bila mereka perlu hadir ke daratan, kedua-duanya yang semakin di mamah usia merasakan perasaan aneh; tidak terumbang-ambing berpijak atas tanah yang tetap kedudukannya.
Semuanya kerana mereka sudah hidup di atas pulau yang bergerak, terlalu lama membuatkan perasaan berdiri stabil, merupakan satu pengalaman aneh untuk mereka berdua.