Anda mungkin pernah mendengar tentang mereka yang terkandas di lapangan terbang kerana isu visa atau perkara lain yang berkaitan dengan birokrasi.

Namun, bagaimana dengan mereka yang tinggal di lapangan terbang atas pilihan sendiri? Dan bagaimana mereka ini mampu bertahan hidup sehelai sepinggan?

Kes yang paling popular berlaku melibatkan seorang lelaki bernama Mehran Karimi Nasseri yang merupakan pelarian dari Iran.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mehran tinggal di Terminal Satu di Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris, selama 18 tahun dari tahun 1988 hingga 2006.

mehran karimi nasseri tinggal di lapangan terbang perancis selama 18 tahun

(Mehran Karimi Nasseri)

Pada tahun 2004, autobiografi Mehran diterbitkan sebagai buku yang diberi tajuk "The Terminal Man". Malah, kisahnya menjadi inspirasi bagi filem The Terminal arahan Steven Spielberg.

Namun, terdapat kes yang sama tetapi kurang popular, dan ia melibatkan tempoh yang lebih lama daripada Mehran.

Kes ini berlaku di Brazil, dan individu tersebut bernama Denis Luiz de Souza.

Denis "berpindah" ke Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Sao Paulo-Guarulhos pada tahun 2000 dan apa yang kita boleh lihat adalah dia masih di sana, hampir 20 tahun.

Persoalannya adalah bagaimana ini boleh berlaku dan bagaimana dia boleh meneruskan hidup di situ? Bagaimana dia boleh dibenarkan tinggal di situ?

denis luiz de souza hidup di airport selama 20 tahun

Ketika ini Denis berusia 37 tahun dan daripada wawancara yang dilakukan, ia kelihatan seperti dia tiba di lapangan terbang itu sebagai seorang pemuda yang mempunyai masalah di rumah.

Kita dapat mengandaikan bahawa Denis berniat untuk tinggal seketika dan tidak menyangkakan dirinya akan menjadikan lapangan tersebut sebagai rumah untuk tempoh dua dekad.

Ruang utama Denis adalah di terminal dua, di mana dia biasanya melelapkan mata pada waktu malam selepas pesawat antarabangsa terakhir berlepas dan terminal ini sangat sunyi.

Katilnya terdiri daripada tiga tempat duduk di sebuah kawasan menunggu, dan dia mempunyai selimut serta bantal. 

Namun, anda mungkin juga tertanya-tanya mengapa kakitangan lapangan terbang atau keselamatan tidak menghalau Denis keluar, sebaik sahaja menyedari bahawa dia berada di situ bukannya disebabkan oleh penerbangan tertangguh, kan?

Dibantu kakitangan lapangan terbang

denis luiz de souza tidur di terminal dua di lapangan terbang di brazil

(Denis Luiz de Souza menjadikan Terminal Dua di Lapangan Terbang Antarabangsa Sao Paulo-Guarulhos sebagai "bilik tidur"nya)

Apa yang berlaku adalah sebaliknya di mana Denis menerima bantuan daripada kakitangan lapangan terbang.

Mereka memberikannya makanan, membasuh pakaiannya dan membenarkannya meninggalkan barangannya di tempat-tempat tertentu.

Seorang pelayan yang bekerja di lapangan terbang itu sering kali memberikan makanan tengah hari kepada Denis. Pelayan itu berkata Denis adalah seorang lelaki yang baik, kelakar dan sentiasa jujur.

Apabila dia bangun pagi, Denis mungkin menerima nasi dan kacang, serta satu artikel memberitahu bahawa dia juga menerima kopi percuma dari McDonald's.

Tetapi mengapa ramai orang melayan penduduk terminal kapal terbang ini dengan begitu baik? 

Dikatakan mempunyai masalah kesihatan mental

denis luiz de souza mempunyai masalah mental

Selain daripada Denis merupakan seorang manusia yang berhak dilayan dengan baik dan mempunyai maruah seperti orang lain, sesetengah laporan mengatakan bahawa Denis mungkin mempunyai masalah mental.

Namun, masalah ini tidak menghalang Denis daripada bergaul dengan kakitangan lapangan terbang. Denis mengenali hampir semua orang di situ, daripada pengendali bagasi hinggalah kepada pegawai keselamatan.

Satu artikel dari akhbar Brazil iaitu El Pais, menulis : "Adalah sangat sukar untuk memahami apa yang berlaku dalam minda Denis". 

Ayat-ayat yang dituturkan Denis adalah pendek dan tidak lengkap, dia tidak dapat membezakan antara bulan dan minggu, serta tidak dapat membaca jam analog. 

Denis juga tidak boleh membaca, tetapi dia suka berjalan-jalan dengan akhbar diselit di celah ketiaknya.

lapangan terbang di brazil

Walaupun Denis tinggal di lapangan terbang, dia tidak boleh menerangkan tentang destinasi antarabangsa. Jadi, dia mungkin mempunyai kesukaran pembelajaran atau ingatan, dan malangnya dia tidak mempunyai tempat untuk dituju.

Seorang individu yang bekerja di lapangan terbang berkata, "Denis memerlukan rawatan psikologi atau psikiatri, dia tinggal di dunia ini, tetapi memerlukan diagnosis, dan seseorang yang menjaganya,". 

Individu ini berkata Denis langsung tidak tahu dan sedar bahawa dia telah tinggal di lapangan terbang tersebut selama hampir 20 tahun, kerana dia tidak tahu lagi apa-apa tentang masa.

Antara salah satu kesukaran yang dialami Denis atau untuk sesiapa yang pernah menghabiskan masa yang lama di lapangan terbang sudah tentunya kebersihan diri.

denis luiz de souza dan kakitangan lapangan terbang

Walaupun Denis menerima beberapa produk kebersihan dari farmasi yang telah dibeli untuknya oleh pekerja lapangan terbang yang baik hati, tetapi dia hanya dapat membersihkan diri dengan sempurna pada setiap hari Sabtu.

Namun, masih ramai yang berhati mulia di dunia ini. Setiap kali Krismas, seorang komander akan membayar penginapan hotel untuk Denis tidur di atas katil dan mandi dengan sempurna.

Rupa-rupanya, Denis tidak keberatan untuk meninggalkan lapangan terbang itu dan akan kembali selepas bermalam di hotel.

Beberapa kakitangan lapangan terbang enggan meyakinkan Denis untuk mencuba keluar dari lapangan terbang tersebut kerana bimbang dia tidak mempunyai tempat untuk dituju.

Jalanan mungkin tidak sesuai bagi seseorang seperti Denis dan lapangan terbang itu menjadi penyelamatnya.

denis luiz de souza tinggal di lapangan terbang selama 20 tahun 2 866

Denis tahu segala peraturan iaitu jangan ganggu orang lain dan jangan meminta-minta, yang mana dipatuhinya.

Satu lagi artikel tentang Denis menyatakan bahawa seseorang di lapangan terbang tersebut berkata bahawa sebenarnya jumlah mereka yang tinggal di situ tanpa niat untuk menaiki kapal terbang adalah lima orang.

Ia adalah tempat yang mana mereka ini berasa selesa.

Pada tahun 2019, dilaporkan bahawa populasi gelandangan di San Francisco telah pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco dalam jumlah yang ramai kerana melihatnya sebagai tempat yang selamat untuk berehat dan keluar dari kehidupan gelandangan.

denis luiz de souza selesa tinggal di lapangan terbang yang kini menjadi rumahnya 471

(Denis Luiz de Souza selesa tinggal di lapangan terbang yang kini menjadi rumahnya)

Dan jumlah tersebut semakin meningkat kerana krisis gelandangan di Califronia bertambah buruk.

Namun di San Francisco, kelihatan seperti pihak berkuasa cuba untuk mencari cara bagi mendapatkan tempat tinggal untuk gelandangan tersebut dan diragui bahawa seseorang itu dapat tinggal di lapangan terbang untuk bertahun-tahun seperti Denis.

Seorang gelandangan di Amerika Syarikat berkata, "Tidur di lapangan terbang sangat aman, sunyi dan mengharukan. Anda tidak perlu bimbang ada orang yang akan mencuri barang atau merompak anda.


Jika anda terpaksa tinggal di lapangan terbang, berapa lamakah yang anda mampu bertahan?

Rujukan:

1. IB Times

2. The Infographics

3. Quizz Club




Hakcipta iluminasi.com (2017)