Tiada siapa menyangka seorang pemuda bertubuh kurus tinggi lampai dari India, berjaya memenangi pingat emas Olimpik dalam acara rejam lembing.
Neeraj Chopra membuka mata dunia tentang keupayaan dirinya yang mengagumkan, menjadi atlet pertama India memenangi pingat emas dalam acara olahraga Olimpik serta bergelar atlet individu kedua memenangi pingat emas temasya tersebut.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagi mereka yang baru mengenali dirinya, pencapaian itu mungkin sesuatu yang di luar jangkaan. Tetapi bagi semua yang mengikuti perkembangan karier beliau - apa yang berlaku di Olimpik Tokyo 2020 adalah sesuatu yang menepati ramalan.
Kemunculan Neeraj sebagai jaguh rejam lembing
Dari segi populariti, sukan-sukan lain seperti kriket, badminton dan hoki merupakan sukan popular di negara India yang mempunyai populasi lebih 1.36 bilion penduduk. Tidak ramai atlet olahraga India berjaya sampai ke tahap tertinggi dalam acara olahraga.
Kemunculan Neeraj Chopra dalam kejohanan dunia Olahraga IAAF bawah 20 tahun di Poland, mengubah hidup beliau dan memberikan harapan baru kepada India.
Pada usia 18 tahun, Neeraj melakukan balingan hebat sejauh 86.48 meter, mencipta rekod baru dunia bagi kategori bawah 20 tahun sekaligus memecah rekod kebangsaan India.
Hasil kejayaan sulung itu, Neeraj mencatat sejarah menjadi atlet India pertama bergelar pemegang rekod dunia.
Balingan itu membuka mata orang ramai khasnya peminat sukan rejam lembing kerana rekod rejaman yang berjaya dicapai oleh anak muda itu jauh mendahului rekod pemenang pingat emas temasya Olimpik 2012 iaitu 84.58 meter, yang dicatat Keshorn Walcott dari Trinidad dan Tobago.
Mengekalkan momentum kecemerlangan
Reputasi Neeraj terus meningkat selepas memenangi kejohanan olahraga Asia 2017, pingat emas Sukan Komanwel tahun 2018 serta pingat emas kejohanan Sukan Asia 2018 yang dianjurkan di Palembang, Indonesia.
Rentetan kejayaan ini, Neeraj merupakan antara harapan besar India untuk bersinar. Balingannya dalam Olimpik 2020 menamatkan penantian lebih 120 tahun India untuk memenangi apa saja acara olahraga dalam sejarah temasya tersebut.
Apa yang cukup menarik untuk diperkatakan berkenaan Neeraj - karier beliau dalam sukan sebenarnya bermula secara tidak sengaja.
Neeraj lahir pada tahun 1997 di Panipat, Haryana dalam keluarga yang serba kekurangan. Neeraj anak sulung kepada 6 orang adik beradik.
Ayahnya seorang petani dibantu oleh ibunya yang merupakan seorang suri rumah sepenuh masa bertanggungjawab untuk memastikan kebajikan 17 orang keseluruhan ahli keluarga mereka yang duduk di bawah satu bumbung.
Keluarga Neeraj mengamalkan cara hidup yang unik mengikut tradisi masyarakat Hindu, di mana beberapa keluarga dari generasi yang berbeza tinggal bersama-sama dalam satu kediaman.
Semasa kecil Neeraj adalah seorang kanak-kanak yang mempunyai masalah obesiti.
Ketika usianya baru 12 tahun dengan berat badan menghampiri 90kg, Neeraj sudah berhadapan dengan masalah sakit sendi lutut. Kondisi itu tidak menghalang dia bersama rakan-rakan melakukan aktiviti nakal seperti mencuri buah-buahan dan bergaduh.
Walaupun perangainya nakal, tubuhnya yang besar membuatkan Neeraj sering diejek. Melihat anaknya sering dimalukan, ayahnya Satish Kumar merasakan Neeraj wajib menurunkan berat badan.
Dia juga berharap anaknya itu dapat mempunyai hobi baru bagi membentuk disiplin budak itu.
Bakat ditemui secara tak sengaja
Berikutan ketiadaan fasiliti gimnasium di kampungnya, Neeraj diarahkan ayahnya menghadiri sebuah gimnasium yang terletak 15km dari rumahnya untuk bersenam dengan menaiki bas.
Gimnasium itu terletak dalam kompleks Stadium Shivaji, lokasi tumpuan atlet dan ahli sukan di Panipat bertemu untuk berlatih. Tidak menggemari aktiviti di gimnasium, Neeraj lebih banyak menghabiskan masa menonton atlet-atlet lebih dewasa berlatih.
Dia mula mencuba beberapa jenis sukan olahraga suka-suka tanpa minat, sehinggalah Neeraj bertemu dengan seorang atlet rejam lembing bernama Jaiveer Choudhary di stadium tersebut. Suka melihat apa yang Jaiveer lakukan, Neeraj meminta kebenaran untuk mencuba sukan tersebut.
Dia yang tidak pernah memegang lembing sebelum itu berjaya melakukan balingan sejauh 25 meter - jarak itu dikatakan sukar dicapai tanpa latihan khasnya asas balingan yang betul oleh individu yang kali pertama mencuba.
Mendapati ada sesuatu yang istimewa pada budak gemuk itu yang malas berlari, Jaiveer menawarkan diri untuk melatih Neeraj membolehkan remaja itu mula mempelajari selok-belok sukan tersebut secara lebih mendalam dan serius.
Dari titik inilah kebolehannya mula dikenali sehinggakan Neeraj mula menerima latihan jurulatih-jurulatih bertaraf profesional untuk memastikan kemahirannya yang dikatakan cukup semulajadi, tidak disia-siakan.
Hidup berubah kerana kejayaan dalam sukan
Selepas memenangi kejohanan tahun 2016, kerajaan India melalui divisyen raifal Rajputana dalam angkatan tentera India menawarkan jawatan pegawai komisyen muda kepada Neeraj.
Dengan jawatan tersebut, Neeraj mula menerima pendapatan tetap yang banyak membantu meringankan beban kewangan keluarganya disamping turut membolehkan dia fokus kepada latihan, tanpa perlu risau masalah dana lagi.
Kejayaan beliau memenangi pingat emas Olimpik melipatgandakan habuan yang diterima dia dan keluarganya.
Setakat apa yang kita tahu kini, kejayaan merangkul emas Olimpik membolehkan Neeraj menerima hadiah wang tunai berjumlah 13 Crore (sekitar RM7.38 juta) hasil sumbangan badan kerajaan dan derma individu. Kerajaan India juga memberikan beliau jaminan jawatan sebagai penjawat awam kelas Gred 1 atas kejayaannya.
Selain itu jawatannya dalam perkhidmatan tentera juga dikatakan bakal dinaikkan secara automatik. Walaupun kini boleh menarik nafas lega keluar daripada belenggu kemiskinan, Neeraj fokus mahu memperbaiki prestasinya.
Dia belum pernah melakukan balingan melebihi 90 meter dan jarak itu menjadi sasaran utamanya selepas Olimpik 2020.
Daripada budak gemuk kini bergelar juara dunia
Rekod dunia kini masih dipegang Jan Zelezny dari Republik Czech, yang melakukan balingan sejauh 98.48 meter tanggal tahun 1996, ketika berusia 30 tahun.
Zelezny dianggap atlet rejam lembing terbaik pernah muncul setakat ini, berjaya melakukan balingan melebihi 95 meter sebanyak 3 kali sepanjang karier serta memecah rekod dunia sebanyak 4 kali.
Neeraj masih mempunyai masa yang cukup untuk memperbaiki rekod peribadi terbaik beliau iaitu 88.06 meter. Dengan latihan yang cukup, tidak mustahil untuk dia melakukannya.
Daripada seorang budak gemuk, pemalas dan nakal, minat dan bakat serta sikap yang berjaya diubah nyata mengubah hidupnya. Dalam tempoh 11 tahun selepas kali pertama memegang lembing, Neeraj kini bergelar juara dunia.
Semuanya bermula kerana dia tak suka nak beriadah bagi menguruskan badannya.