Usaha untuk menjadi tertinggi, terbesar, terbanyak dan macam-macam lagi 'ter-' sering dijadikan sasaran ahli politik dan pemimpin masyarakat kita di Malaysia.
Negara kita mempunyai beberapa pencakar langit antara yang tertinggi di dunia, (bekas) ketua kerajaan tertua dunia serta banyak lagi rekod yang kami yakin anda sendiri tak sangka dipegang rakyat kita - menjadi platform untuk kita sebagai individu atau sebuah masyarakat mencipta nama dalam melonjakkan identiti negara kita.
BESARKAN TEKS A- A+
Usaha yang serupa turut dilakukan oleh sebuah bandar bernama Casey, yang terletak di Illinois, Amerika Syarikat. Bagaimanapun, fokus mereka hanyalah kepada yang 'terbesar'!
Pekan 'gergasi' untuk tarikan pelancong
Ketiadaan tarikan pelancongan yang benar-benar mantap menyukarkan usaha penduduk pekan Casey yang terletak dalam mukim Clark County menjana ekonomi tempatan mereka.
Apatah lagi jumlah populasi Casey juga rendah, hanya sekitar 2,400 orang sahaja kali terakhir dianggarkan pada tahun 2020. Penduduk di sana satu ketika dulu bergantung kepada kunjungan pemandu-pemandu kenderaan yang akan berhenti singgah, membeli bekalan perjalanan serta mengisi minyak.
Ketiadaan peluang dan karier mendorong penduduk asal Casey keluar merantau, mencari peluang di tempat lain mengakibatkan jumlah populasi pekan kecil itu dilaporkan semakin berkurangan.
Usaha anak jati membalas jasa baik masyarakat
Bimbang dengan apa yang berlaku, seorang usahawan serta anak jati pekan Casey bernama Jim Bolin mula merencanakan idea bagi merancakkan aktiviti di Casey, dalam menarik orang ramai untuk hadir ke sana.
Mendapat inspirasi daripada loceng angin (wind chime) dipasang di rumah neneknya semasa kecil, Bolin bersama syarikat miliknya memulakan projek mendirikan loceng angin terbesar dunia yang berfungsi, menggunakan bahan terbuang.
Projek itu siap pada tahun 2012, dinobatkan sebagai loceng angin terbesar dunia secara rasmi oleh pihak Guinness World Record mula mengakibatkan pekan Casey menerima kunjungan orang ramai yang ingin melihat sendiri loceng itu dengan lebih dekat.
Merasakan usahanya mampu mengubah nasib pekan mereka, Bolin kekal menjadikan idea sama sebagai teras kepada identiti unik pekan Casey.
Dia bersama kumpulan pekerjanya mula bercadang membangunkan lebih banyak barang-barang gergasi (yang berfungsi) untuk dijadikan tarikan utama Casey, bagi memastikan pengunjung singgah ke pekan mereka.
12 rekod dunia dipegang pekan Casey
Sekiranya anda bertuah dapat ke pekan Casey, berhenti sejenak di satu-satunya persimpangan lampu isyarat yang terletak di pekan itu dan pandang ke sekeliling anda.
Hasil usaha Bolin, lebih 20 barangan bersaiz gergasi terbina di Casey dengan 12 daripadanya disahkan pemegang rekod dunia, berkurangan daripada 14 selepas 2 rekod yang sebelum itu dipegang pekan kecil itu - berjaya dipecahkan pihak lain.
Selain loceng angin, Casey juga memiliki tee golf, kayu golf, kerusi malas, terompah, penyodok rumput, peti surat, kunci, jongkang-jongkit, sudu, tukul hakim dan tanda kedai guntung; kesemuanya terbesar di dunia.
Tidak cukup dengan itu, Bolin turut menjalinkan kerjasama dengan pemilik-pemilik perniagaan di sana untuk membangunkan arca gergasi serupa seperti jarum, sarang burung, gasing, pensil malahan Pokeball (bagi peminat siri Pokemon) yang dijadikan bermacam jenis tarikan unik.
Kegiatan ekonomi berasaskan pelancongan mula rancak
Hasil daripada populariti barangan-barangan gergasi yang bertebaran di serata Casey, dapat dilihat dalam tempoh hampir satu dekad kebelakangan ini peluang ekonomi masyarakat tempatan sudah mula berubah.
Apatah lagi dalam era media sosial, yang menjadi penggerak utama pengunjung untuk hadir beramai-ramai ke Casey bagi bergambar. Setiap minggu, dianggarkan lebih 1,000 ke 2,000 pengunjung akan hadir - mengubah suasana pekan itu yang satu ketika dulu sunyi.
Dapat dilihat kafe, restoran dan hotel bajet yang dikendalikan warga tempatan mula sibuk setiap hujung minggu melayan pelancong yang hadir. Kebanyakan pengusaha yang merasai perubahan positif ini sependapat memuji usaha Bolin dalam mengubah wajah pekan mereka seterusnya membantu tahap kewangan masyarakat mereka.
Bermula sebagai sebuah pekan kecil yang hanya menjadi persinggahan sementara pengembara, kini Casey sudah berubah menjadi sebuah pekan kecil yang banyak binaan gergasi di dalamnya.
Apa yang lebih unik - semua tarikan gergasi di sana boleh diakses secara percuma tanpa dikenakan sebarang bayaran sesen pun.