Ada apa pada sesuatu nama? Nama adalah istilah yang kita gunakan bagi merujuk kepada sesuatu agar mudah untuk kita memahami apa yang dimaksudkan.
Begitulah juga dengan banyak binaan bertaraf ikonik di serata dunia yang mempunyai nama tersendiri, seringkali disebut tanpa ramai menyedari apa maksud nama disebalik binaan-binaan itu.
Berikut adalah 5 binaan paling terkenal di serata dunia yang menyimpan rahsia dan misteri di sebalik namanya.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Eiffel Tower (Menara Eiffel)
Tunjuk saja gambar menara unik yang terletak di Paris ini, pasti ramai dapat meneka namanya. Menara Eiffel dinamakan sempena siapa ya?
Projek asal Menara Eiffel bermula daripada penyertaan 107 buah kertas cadangan yang diterima oleh kerajaan Perancis, daripada pereka yang diberikan tugasan 'merekabentuk sebuah menara berasaskan besi di Champ de-Mars dengan tapak segi empat sama seluas 125 meter panjang dan lebar, berketinggian 300 meter.'
Daripada semua penyertaan, kertas kerja kerjasama 4 orang individu - iaitu arkitek Stephen Sauvestre, jurutera Maurice Koechlin dan Emile Nouguier serta ahli perniagaan Gustave Eiffel terpilih.
Jelas sekali nama pemilik syarikat kejuruteraan itulah yang terpilih untuk diabadikan sebagai nama menara itu.
2. Tembok Besar China
Kami tidak tahu kenapa kita menamakan 'Tembok Besar China' dengan gelaran 'besar,' sedangkan masyarakat China sendiri menamakan tembok itu sebagai 'Wanli Changcheng' atau 'Wan-li Ch’ang-ch’eng'.
Istilah itu bermakna 'dinding sepanjang 10,000 Li' dengan 'wan' bermakna '10,000' dan 'li' merujuk kepada unit ukuran yang diguna pakai mereka ketika itu. Setiap satu 'li' dianggarkan bersamaan 1/2 kilometer, memberikan anggaran dinding itu mempunyai kepanjangan 5,000km.
Ukuran rasmi kerajaan China menyebut panjang penuh dinding itu adalah sekitar 21,196km yang mengambil kira keseluruhan jarak dari hujung ke hujung, dengan mengambil kira jarak di antara gunung, sungai dan tasik yang merentanginya.
Walau bagaimanapun panjang binaan dinding batu isu secara keseluruhan adalah 6,200 km - lebih hampir dengan nama asal yang digunakan. Kini Tembok Besar China atau lebih tepat 'Tembok Panjang China' hanya tinggal beberapa ratus kilometer saja yang masih berdiri.
Aneh pula panggil tembok itu 'tembok panjang.'
3. Taj Mahal di India
Masa kecil, penulis pelik kenapa istana ini dinamakan sebagai 'Taj Mahal'? Apakah 'taj' dan kenapa bangunan itu 'mahal'?
Kita tahu bangunan cantik yang dibangunkan Maharaja Shah Jahan pemerintah kerajaan Mughal sekitar abad ke 17, adalah untuk memperingati wanita bernama Mumtaz Mahal, isteri ketiga beliau.
Mumtaz seorang wanita bangsawan dari Parsi meninggal dunia pada tahun 1831 selepas bertarung nyawa melahirkan anak mereka selama 30 jam. Bagi mengingati isterinya, Maharaja Shah mendirikan Taj Mahal sebagai lokasi pusara isterinya itu.
Secara rasmi, bangunan ini tidak mempunyai nama yang diberikan pembinanya. Banyak pihak berpendapat nama 'Taj Mahal' diambil daripada makna perkataan Urdu 'taj' yang bererti 'terbaik' dengan 'mahall' yang membawa makna 'istana.'
Walaupun demikian, ada juga pendapat mengatakan nama itu datang daripada gelaran penduduk setempat yang menggelarkan bangunan itu sempena nama timangan Mumtaz sendiri, yang disebut sebagai 'Taj Mahal.'
Ada juga pihak mendakwa sejarah sebenar Taj Mahal telah dipesongkan, sebaliknya bangunan itu adalah sebuah kuil penyembahan agama Hindu bernama Tejo Mahalaya. Untuk menerangkan berkenaan isu ini, kami perlu menulis sebuah artikel berbeza. Nantikan ya!
4. Sphinx Besar di Giza
Terletak bersebelahan dengan piramid besar di Giza, sebuah binaan yang memaparkan makhluk aneh berkepala manusia berbadan singa yang bersayap terbina.
Dirujuk sebagai Sphinx, percayakah anda jika kami katakan ada kajian-kajian yang telah dijalankan setakat ini mendakwa Sphinx jauh lebih tua berbanding piramid yang terletak bersebelahannya? Bagaimanapun pendapat ini turut disangkal kajian-kajian lain yang lebih popular.
Nama sebenar Sphinx menurut bahasa Mesir Kuno adalah Horemakhet yang bermakna 'Horizon kepada Horus', merujuk kepada Dewa Horus yang menjadi sembahan mereka satu masa dulu.
Nama Sphinx dalam bahasa Inggeris pula datang daripada nama istilah Yunani 'sphinx' yang merujuk kepada makhluk mitos berkepala manusia, berbadan singa itu. Tetapi tidak ramai tahu istilah itu juga dipinjam dari istilah Mesir Kuno 'shesep-ankh', yang bermakna 'jelmaan semula'.
5. Piramid Besar di Giza
Masyarakat moden menggelarkan 'piramid' yang ada di Mesir sebagai 'piramid,' tanpa menyedari istilah 'piramid' sebenarnya muncul selepas piramid yang ada dibina.
'Piramid' adalah istilah bahasa Inggeris yang datang daripada istilah orang Yunani 'pyramis'. Istilah Yunani itu pula berkemungkinan dipinjam daripada istilah Mesir Kuno 'pimar' atau 'p-m-r' yang merujuk kepada 'rumah.'
Walaupun bangunan piramid telah dibina sejak 2600SM/BC lagi, istilah 'piramid' bagi merujuk kepada bentuk geometri yang kita gunakan sekarang hanya dimulakan secara rasmi pada abad ke 16, menyebabkan kita merujuk semua bentuk bertapak dengan puncak sebagai 'sebuah piramid.'
Jadi apakah nama sebenar piramid?
Nama sebenar piramid yang masih ada di Giza, Mesir ketika ini - adalah ꜣḫt Ḫwfw' atau 'Akhet Khufu.' Istilah itu membawa makna 'Khufu's Horizon' atau 'Horizon Khufu' dalam bahasa Melayu, dinamakan sempena nama Firaun yang bertanggungjawab memulakan pembinaannya.