Dalam melawan pandemik Covid-19 yang melanda, banyak negara memerlukan bantuan negara lain bagi memastikan peralatan yang ada mencukupi untuk masyarakat menangani wabak tersebut.
Salah satu peralatan penting yang wajib ada adalah topeng muka. Masih ingat pada minggu-minggu awal jangkitan berlaku, sangat sukar untuk kita mendapatkan topeng muka? Disebabkan kekurangan itu, harga topeng muka naik melambung tinggi menyebabkan banyak pihak terpaksa membayar harga berkali-kali ganda.
BESARKAN TEKS A- A+
Semasa berhadapan kepayahan itu, datang bantuan yang tidak diduga. Kerajaan China mengumumkan mereka akan mula mengeksport keluar topeng muka sebagai bantuan kepada mana-mana negara yang memerlukannya. Salah sebuah negara yang menerima bantuan topeng muka adalah negara kita, Malaysia.
Bantuan kepada negara yang memerlukan
Pada tempoh wabak sedang memuncak di negara kita, beberapa negara luar seperti Korea Selatan, Taiwan, India dan Thailand mengumumkan pembekuan eksport topeng muka ke luar negara, bagi menampung permintaan pasaran tempatan, merumitkan lagi situasi negara yang memerlukan seperti kita.
Bantuan hadir pada penghujung bulan Mac selepas wakil kedutaan China di Malaysia mengumumkan bekalan kit ujian, topeng muka, unit PPE dan ventilator untuk kegunaan petugas barisan hadapan kita, didermakan dalam unit yang besar.
Dalam majlis ringkas di antara Duta China dan Kementerian Luar Negeri kita di Wisma Putra, kerajaan Malaysia menyifatkan bantuan yang dihantar China itu bukti persahabatan kukuh antara kedua-dua buah negara.
Bukan negara kita menerima pelbagai bantuan dari China. Banyak negara lain turut dibantu seperti Cuba, Jepun, India, Filipina, Bangladesh, Indonesia serta negara benua Afrika.
Banyak pihak menyifatkan bantuan serta derma yang dihulurkan China berkesan memperbaiki imej negatif kerajaan China, selepas negara mereka didakwa menjadi punca wabak Covid-19 bermula.
Namun dalam masa yang sama...
'Perang dingin' China semasa wabak Covid-19
Penulis tidaklah mahu menafikan derma kerajaan China ini adalah satu bentuk kebajikan yang perlu kita hargai namun beberapa insiden yang berlaku serentak dengan usaha keras China membantu negara-negara lain, menyebabkan agak sukar untuk mentafsir niat China secara lebih menyeluruh.
Kami sudah melaporkan tentang tindakan agresif kapal peronda milik China mengekori rapat sebuah kapal milik Petronas, sehingga menyebabkan Amerika Syarikat memilih untuk menghantar dua kapal perang bagi memantau situasi.
Selain isu melibatkan negara kita, beberapa insiden lain turut sama berlaku melibatkan negara-negara yang turut menerima bantuan China.
Contoh paling mudah adalah negara-negara Afrika, di mana berlakunya gerakan besar-besaran warga tempatan menghalau warga Afrika keluar kerana disifatkan kerajaan China sebagai punca utama virus merebak dalam gelombang kedua.
Apa yang merumitkan situasi, kejadian yang berlaku seakan mendapat perkenan pihak berkuasa di sana. Tindakan ini mendapat kritikan kuat dari banyak pihak, tetapi dalam masa yang sama kerajaan China turut menghulurkan topeng muka kepada negara Afrika. Aneh kan?
Jika Malaysia berdepan dengan tindakan agresif kapal China, situasi serupa turut berlaku di Jepun melibatkan Pulau Senkaku beberapa bulan lepas. Kami ingatkan, Jepun juga menjadi antara penerima 'derma topeng muka' China.
Data daripada bulan Januari sehingga April menunjukkan beberapa kapal milik China telah menceroboh masuk ke dalam perairan negara Jepun dalam 7 insiden sehingga bulan April, memaksa kerajaan Jepun melakukan bantahan rasmi kepada China pada 22 April 2020.
Sangat sukar diramal apa sebenarnya matlamat tindakan China, berdasarkan tindak tanduk mereka di negara-negara yang terlibat seperti Malaysia, Jepun dan negara Afrika.
Apakah niat sebenar China?
Banyak pihak merasakan apa yang sedang dilakukan oleh China ketika ini, merupakan kawalan ke atas kerosakan reputasi yang terjadi disebabkan oleh wabak Covid-19.
Banyak pihak menuduh kerajaan China gagal mengenalpasti risiko semasa jangkitan pneumonia di Wuhan baru bermula, serta lambat memberikan amaran kepada masyarakat luar tentang potensi merebaknya jangkitan.
Selain daripada dakwaan itu, beberapa dakwaan lain yang lebih berat melibatkan cubaan China untuk menutup isu jangkitan juga dilaporkan, khasnya oleh media barat.
Anda pasti telah mengetahui tentang ancaman China ke atas Australia yang mahu memboikot sebarang bentuk kerjasama kedua-dua negara, selepas Australia mendesak agar Beijing membenarkan siasatan dilakukan ke atas punca sebenar virus SARS-CoV-2 mampu tersebar.
Kenapa Australia bertindak sebegitu? Kenapa Australia yang bersuara?
Laporan agensi siasatan lima negara mendedahkan China
Permintaan kerajaan Australia sebenarnya dibuat berdasarkan kepada sebuah laporan siasatan yang dijalankan agensi Five Eyes, sebuah badan penyiasatan gabungan petugas lima negara dari Amerika Syarikat, United Kingdom, New Zealand, Kanada dan juga Australia.
Dalam rumusan 15 muka surat (yang setakat ini belum diterbitkan secara rasmi), didapati wujud bukti bahawa kerajaan China telah pun menggunakan kuasa mereka menutup semua maklumat tentang jangkitan di Wuhan, sejak awal bulan Disember lagi.
Laporan itu turut menyebut virus Covid-19 besar kemungkinan tidak berpunca daripada makmal di Wuhan Institute of Virology, seterusnya menolak spekulasi yang selama ini dipegang oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump antara kaitan makmal itu dan punca dari mana datangnya jangkitan.
Ada empat faktor utama yang menjadi dakwaan utama disebutkan dalam laporan tersebut, sebagai bukti tindakan China sendiri menyembunyikan apa yang berlaku serta memadamkan bukti, menyebabkan jangkitan yang pada awalnya kecil - bertukar menjadi pandemik.
Tuduhan berat Australia ke atas China
Dalam laporan itu, kerajaan China pada awalnya didakwa menafikan wujudnya kemungkinan transmisi virus dari manusia ke manusia lain boleh berlaku, yang menjadi punca wabak berkembang.
Selain itu, agensi kerajaan China juga beberapa kali direkodkan memberikan amaran serta mendiamkan petugas yang cuba mendedahkan penemuan mereka tentang jangkitan yang berlaku kepada awam.
Beberapa bukti yang ditemui Five Eyes menunjukkan ada arahan kerajaan China agar semua sampel virus di Wuhan yang sedang dikaji, perlu dimusnahkan dan sebarang bentuk kajian dihentikan. Permintaan penyelidik luar untuk mendapatkan sampel virus bagi tujuan penyelidikan pembinaan vaksin juga sengaja diendahkan pada peringkat mula.
Selain itu, tindakan kerajaan China membersihkan pasar basah Hua Nan di Wuhan dengan peluntur yang dijalankan secara tergesa-gesa, didakwa menghalang penyelidik melakukan kajian dengan lebih berkesan serta telah menghapuskan bukti-bukti penting yang boleh membantu mereka memahami jangkitan.
Kerajaan negara-negara yang terlibat dalam penerbitan laporan itu setakat ini belum menafi atau mengesahkan laporan yang dikeluarkan agensi Five Eyes yang didedahkan oleh Daily Telegraph Australia - kami sertakan pautannya dalam rujukan kami.
Hasil pendedahan kontroversi itu, China menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang didakwa, bertindak mengugut Australia dengan sekatan ekonomi serta menuduh mana-mana pihak yang menggesa siasatan dijalankan ke atas mereka sebagai pihak yang berniat jahat.
Kesimpulan
Seperti yang kami nyatakan di atas, kami sendiri pening memikirkan apakah niat sebenar tindak-tanduk China.
Bagi negara seperti kita, kita berada dalam kumpulan yang menerima bantuan dari China dengan tangan terbuka tetapi dalam masa yang sama, marah dengan pencerobohan China ke atas negara kita.
Bagi negara besar seperti Amerika Syarikat, Australia dan negara Eropah pula, mereka melihat China dalam satu perspektif yang nyata sangat jauh berbeza dengan kita; di mana China dilihat sebagai pihak yang perlu disiasat segera atas segala penglibatan mereka dalam pandemik Covid-19 serta menggunakan cara kebajikan 'diplomasi topeng muka' bagi menutup kesilapan mereka.
Apa niat sebenar China, apabila mereka bukan saja memberikan kita madu, tetapi dalam masa yang sama menuangkan tuba kepada kita?
Apa pandangan anda tentang keikhlasan China ini?
Rujukan
Coronavirus NSW: Dossier lays out case against China bat virus program