Pasti ramai yang mengenali jenama fesyen antarabangsa yang kian mendapat tempat di Malaysia, iaitu Uniqlo. Pengasasnya iaitu Tadashi Yanai kini bergelar manusia terkaya di Jepun dengan kakayaan sebanyak RM83 billion.
Namun bukan mudah untuk membawa nama Uniqlo seperti mana sekarang, dan perkara yang paling penting dalam kejayaan Tadashi adalah sikap beliau. iluminasi.com kongsikan 5 tips yang diberikan oleh Tadashi Yanai untuk berjaya dalam perniagaan.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Terpesona dan memahami kegagalan
Kebiasaannya, orang takutkan kegagalan yang menyebabkan mereka tidak berjaya. Ketika Uniqlo mengembangkan sayap ke luar negara, Uniqlo mengalami kegagalan di Britain. Bukan itu sahaja, mereka juga gagal di China dan Amerika Syarikat.
Kegagalan demi kegagalan dialami oleh Uniqlo. Dan disebabkan kegagalan berterusan ini, ia menjadi pembakar semangat Tadashi Yanai. Bagi beliau, kegagalan tidak boleh dilihatkan sebagai satu penghalang, sebaliknya sebagai satu cabaran dan pemangkin kejayaan.
2. Pelajari banyak jenama global
Tadashi Yanai pada awalnya mengkaji mengenai syarikat seperti Mark & Spencer, Next, Limited dan Gap. Kini, mereka lebih fokus kepada syarikat seperti H&M dan Zara. Bagi jenama sukan pula mereka mengkaji Adidas, Nike dan sebagainya.
Uniqlo tidak mengehadkan hanya mengkaji satu jenama sahaja. Menurut Tadashi, jika mereka bermula dengan hanya mahu menjadi seperti Giordano, mereka pasti tak akan sampai ke tahap itu. Matlamatnya kini untuk menjadikan Uniqlo sebagai syarikat pakaian terbesar di dunia menjelang tahun 2020.
3. Majikan yang tegas
"Jika saya bukan seorang majikan yang tegas, orang bahawan saya pasti tak mampu berkembang dan menjadi lebih baik. Jika seseorang itu tidak diletakkan beban padanya, mereka tak akan dapat mencapai kejayaan," jelas Tadashi Yanai.
Menurut beliau lagi, sebab itu majikan yang kelihatan seperti majikan yang baik dan lembut, boleh menjadi majikan yang paling teruk dan tidak membawa kebaikan kepada syarikat.
4. Berubah atau mati
Bagi Tadashi, beliau mempercayai bahawa jika seseorang itu tak mampu berubah, adalah lebih baik untuk mati. Ini adalah mantra yang diajarkan kepada pekerjanya. "Jika anda tak mahu berubah, anda tak akan boleh bertahan lama,".
5. Kebimbangan terbesar
Walaupun Uniqlo kini sudah menjadi antara salah satu jenama antarabangsa yang berjaya, Tadashi Yanai masih mempunyai kebimbangan yang baginya satu masalah besar. Kebimbangan tersebut adalah untuk mencari pengganti yang sesuai dan mampu menggalas tanggungjawab ini.
"Ketika ini saya tak perlu mencari pengganti seperti saya kerana saya adalah pengasas, presiden, pengerusi, ketua pegawai eksekutif dan pemilik Uniqlo. Namun tangggungjawab seperti ini tak mampu dilakukan bersendirian. Jadi, sebaiknya, saya ingin menubuhkan sebuah pasukan,".
Matlamat beliau adalah untuk membahagikan kerja-kerja tersebut dengan CEO yang bagus, dan individu ini bakal meneruskan menerajui operasi syarikat.