Oleh pada 25 Jul 2019 kategori

Yamada Nagamasa dilahirkan pada tahun 1590 di Sumpu, wilayah Sugura (hari ini dikenali sebagai Shizuoka). Bapanya ialah seorang pembuat pisau dan sejak kecil lagi Nagamasa berminat dengan peralatan tajam.

Potret Yamada Nagamasa

Walaupun dia bukan anak seorang Samurai tetapi dia mempunyai minat terhadap seni bela diri. Dia belajar di kuil Meisatsu Rinzai Zen yang berkaitan dengan salah satu daripada tiga mazhab Zen dalam Buddhisme Jepun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, impiannya untuk menjadi pahlawan menjadi pudar ketika dia semakin membesar. Ini kerana berlakunya perang saudara pada Era Sengoku yang bermula sejak pertengahan abad ke-15. Apabila Dinasti Tokugawa menguasai Jepun pada awal abad ke-17, barulah keadaan menjadi aman.

Setelah ayahnya meninggal dunia, Nagamasa tidak meneruskan legasi ayahnya sebagai pembuat pisau. Ini kerana, pekerja pertukangan berada di kelas paling bawah dalam tangga sosial pada waktu itu.

samurai of ayutthaya

Pada usia 16 tahun, dia telah mendapat pekerjaan di Istana Numazu sebagai pembawa tandu (pengangkutan petak yang dibawa oleh empat orang) Tuan Okubo. Apabila tuannya meninggal dunia, Nagamasa mendapat pula pekerjaan sebagai petugas dek kapal di bandar pelabuhan Sakai.

Keluar dari kesengsaraan demi kehidupan yang lebih baik

Di sini dia mula bergaul dengan para pelaut. Dia menyedari bahawa dia boleh melepaskan diri dari kesukaran hidup di Jepun selepas perang dengan belayar ke seberang lautan. Pada Januari 1612, Nagamasa belayar dalam sebuah kapal Shogun yang membawa sekumpulan pengembara dan barangan yang akan dijual di Siam. Perjalanan ke Siam itu telah mengambil masa selama 10 minggu.

kapal jepun ke siam

Setibanya di Siam, Nagamasa menyedari bahawa untuk berjaya dia perlu menguasai bahasa Siam dengan cepat. Pada masa yang sama, dia menjalinkan persahabatan dengan beberapa orang dari warganegara yang berbeza.

Menyedari potensinya, ketua komuniti Jepun di Ayutthaya (ibu negera lama Siam), Kii Kyuemon, telah mengambil Nagamasa sebagai salah seorang anak didiknya. Nagamasa kemudian terlibat dalam perdagangan kulit rusa. Tidak lama selepas itu, dia mula membina kekayaan dan kemahsyurannya.

Menjadi pedagang semata-mata tidak cukup bagi Nagamasa. Dia mula mendaftarkan diri dalam kempen menentang serangan pihak Burma yang berterusan di bahagian utara kerajaan Siam. Nagamasa cemerlang dalam pertempuran dan apabila pulang ke ibu negara, Raja Songtham (memerintah dari 1620-1628) telah menjemputnya ke istana untuk memberi ganjaran kerana keberanian dan kesetiannya.

Pedagang, pahlawan dan pemimpin berjaya

filem yamada the samurai of ayothaya

Poster Filem Yamada The Samurai of Ayothaya

Beberapa tahun kemudian, Kii Kyuemon pulang ke Jepun dan Nagamasa menjadi pemimpin baru Baan Ippun (komuniti Jepun di Ayutthaya). Sejak kejayaannya itu, Nagamasa semakin mendapat tempat di Istana. Bukan sahaja sebagai seorang pedagang berjaya tetapi juga sebagai pahlawan yang dihormati dalam pasukan pengawal Raja Songtham.

Dia bukan sahaja dihormati oleh orang-orang Eropah di Siam, malah diplomat yang bertanggungjawab dalam hubungan antarabangsa Shogun di Nagasaki juga mengiktiraf Nagamasa sebagai wakil sah Jepun di Ayutthaya. Dalam tempoh 15 tahun, Nagamasa yang bermula dari pangkat rendah Khun telah naik kepada pegawai kanan Okya. 

Pernah terjadi apabila salah satu kapal Nagamasa yang membawa beras dari Ayutthaya ke Melaka telah ditahan oleh kapal perang Belanda. Namun, kapalnya telah dibebaskan sebaik sahaja mereka mengetahui siapakah pemiliknya.

watak raja ayutthaya

Belanda tahu bahawa Nagamasa dihormati oleh Raja Siam. Oleh itu, mereka tidak mahu terjadinya konflik diplomatik. Malah, pihak Belanda menjemput Nagamasa untuk melakukan lebih banyak perdagangan kulit rusa dengan Batavia (kini Jakarta). 

Pada tahun 1628, Raja Songtham yang semakin sakit akhirnya mangkat. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Raja Siam itu sempat mewariskan takhtanya kepada anak sulungnya, Chetthathirat, yang baru berusia belasan tahun.

Kesetiaan vs Kuasa

Raja Songtham juga mengarahkan dua orang pemangku untuk membantu anaknya itu sehingga dia mencapai usia matang. Salah seorang pemangku itu ialah Yamada Nagamasa dan seorang lagi ialah Kalahom, anak saudaranya. Walaupun Kalahom tidak begitu digemari oleh pihak istana tetapi dia berjaya kekal berkuasa dengan menghapuskan semua musuh-musuhnya.

raja prasat thong

Kalahom aka Raja Prasat Thong

Untuk menghapuskan ancaman yang ditimbulkan Nagamasa yang masih setia kepada raja terakhir, Kalahom telah menghantarnya ke daerah selatan di Ligor untuk menangani pemberontakan.

Nagamasa juga telah dijanjikan pangkat sebagai pemerintah Ligor (kini dikenali sebagai Nakhon Si Thammarat, Selatan Thailand) sekiranya berjaya memulihkan keamanan di sana. 

Semasa pemergian Nagamasa, Kalahom merebut peluang ini untuk menjadi pemerintah baru Siam. Hanya setahun tujuh bulan selepas ditabalkan, Raja Chetthathirat dan ibunya telah dibunuh dalam satu rampasan kuasa yang dirancang oleh Kalahom. Pemerintahan Siam kemudian diserahkan pula kepada adik Raja Chetthathirat iaitu Athittayawong.

tugu yamada nagamasa di ayutthaya

Tugu Yamada Nagamasa di Ayutthaya

Sekali lagi, Kalahom telah melakukan rampasan kuasa dan membunuh Athittayawong yang hanya memerintah selama 36 hari sahaja. Raja Athittayawong merupakan Raja Siam paling singkat pemerintahannya dalam sejarah. Kalahom berjaya menjadi Raja Siam yang baru dan dikenali sebagai Raja Prasat Thong.

Sementara itu, Nagamasa bersama-sama dengan lebih 300 orang Samurai Jepun telah berjaya menundukkan Ligor untuk berada di bawah pemerintahan Siam. Sebagai tanda penghargaan, Kalahom atau Raja Prasat Thong telah menghantar seorang gadis berketurunan raja dari Ayutthaya ke Ligor untuk dijadikan isteri Nagamasa.

Berakhirnya hubungan Jepun-Siam

Namun, puteri itu sebenarnya adalah ejen Prasat Thong dalam misinya untuk membunuh Nagamasa. Wanita itu berjaya membunuh Nagamasa dengan meletakkan racun pada pembalut luka kaki suaminya sambil berpura-pura merawatnya.

tugu penempatan jepun di siam

Tugu penempatan Jepun di Siam

Yamada Nagamasa akhirnya meninggal dunia pada 1630. Sebelum meninggal dunia, dia sempat menulis wasiat bahawa dia meminta untuk dibawa ke Kuil Sengen di kampung halamannya di Sumpu.

Berikutan kematian saingannya itu, Raja Prasat Thong telah menghantar pasukan tentera seramai 4,000 orang untuk memusnahkan penempatan Jepun di Ayutthaya dan memaksa ramai orang Jepun melarikan diri ke Burma.

Pihak Shogun di Jepun melihat ini sebagai satu serangan diplomatik dan enggan mengeluarkan lagi sebarang permit kapal untuk pelayaran ke Siam. Raja Prasat Thong pernah menghantar kapal dagang dan duta ke Jepun tetapi ditolak oleh pihak Shogun, sekaligus menamatkan hubungan langsung Jepun-Siam.

yamada samurai di siam thailand

Sedutan dari Filem Yamada

Tempoh ini dikenali Jepun sebagai Sakoku. Pihak Belanda telah mengambil alih perdagangan Jepun-Siam yang sememangnya sangat menguntungkan. Nagamasa pula kini disemadikan di kampung halamannya di kawasan Otani. Sisa-sisa penempatan Jepun di Ayutthaya masih lagi dapat dilihat sehingga hari ini, termasuklah patung Yamada Nagamasa dalam pakaian ketenteraan Siam.

Rujukan:

1. Simandan

2. Fam People

3. Samurai Archives




Hakcipta iluminasi.com (2017)