Kredit gambar : Fadly Hj Halim
Siapa yang tidak kenal dengan individu yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu kerana popular di media sosial dan memegang gelaran Raja Report negara? Dia ialah Abdul Rani Bin Kulup Abdullah (ARKA) atau lebih mesra dengan panggilan Ayahanda Rani Kulup.
Dia juga sering dikenali dengan slogan "Kipidap Dongibab" dan "Ko Tunggu Aku Report Polis" yang begitu sinonim dengan dirinya. Di sebalik personalitinya yang lucu itu, ramai tidak mengetahui kisah hebat mengenai lelaki yang sering memakai beret berwarna merah, beruniform dan berkaca mata hitam ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Ayahanda Rani Kulup dilahirkan pada 10 Mac 1955 di Sayong, Perak. Pada tahun 1973 ketika dia berumur 18 tahun, dia menyertai pasukan tentera ketika negara sedang menghadapi pelbagai pergolakan akibat serangan pengganas komunis yang berterusan.
Ayahanda Rani Kulup menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana tekad untuk melindungi orang awam. Patutlah lelaki ini tidak gentar untuk melaporkan sebarang kesalahan kepada pihak polis walaupun tindakannya itu mungkin akan menggugat keselamatannya sendiri.
Dalam satu wawancara khas bersama Sinar Online, Ayahanda Rani Kulup memberitahu bahawa dia sendiri pernah bertempur dengan pengganas komunis di Gua Musang, Kelantan. Selain itu, dia juga pernah bertempur dengan komunis di kawasan lain seperti Kuala Kacau di Terengganu dan di Nibong Tebal, Pulau Pinang serta banyak lagi.
Dia menyertai satu misi yang diberi nama sebagai Misi Risik Gempur. Pada waktu itu, memang ada pasukan khas dalam pasukan tentera. Selain komando, terdapat juga pasukan Risik Gempur yang juga dikenalil sebagai Unit Combat Intelligence Squad (UCIS).
Unit ini merupakan unit elit di dalam setiap batalion Renjer di mana ia mempunyai kekuatan antara satu seksyen sehingga satu platun. Pegawai-pegawai dan anggota unit ini juga menjalani latihan yang lebih khusus dan lebih lasak daripada anggota Renjer biasa, hampir menyamai kepakaran unit Komando seperti menjalankan rondaan jangka panjang, risikan medan, payung terjun dan pelbagai lagi.
UCIS kemudian telah digantikan dengan Platun Tinjau (recon) di mana tugasan yang sama dilalukan dan terdapat Infantri Sniper di mana tugasan lebih kepada membunuh dan melumpuhkan keupayaan musuh dengan membunuh individu penting seperti CO, radioman, OC atau pengendali senjata bantuan.
Menurut Ayahanda Rani Kulup lagi, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya semasa bertempur dengan pengganas komunis adalah ketika ada ahli pasukannya yang terkena jerangkap samar yang dipasang pihak musuh bagi menghalang dan melambatkan pasukan tentera dalam misi mempertahankan negara.
Di sebalik wajahnya yang riang, kita dapat lihat ada kalanya lelaki ini sering dijadikan bahan jenaka masyarakat. Sebenarnya, Ayahanda Rani Kulup menyimpan seribu satu kisah dalam misi mempertahankan negara sejak menyertai pasukan tentera.
Dia memberitahu Sinar Online lagi bahawa dia telah menyertai lebih daripada 65 operasi sejak berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia. Dia telah merasai segala pahit maung, asam garam dan kepayahan dalam menentang pengganas komunis sehinggalah ancaman dalam hutan sudah tidak ada lagi.
Ketika ditemuramah pemberita, Ayahanda Rani Kulup tidak pernah memberitahu bahawa dia adalah bekas anggota tentera unit komando (Risik Gempur UCIS). Itu menunjukkan betapa sifatnya yang merendah diri.
Selepas menyertai tentera selama 22 tahun, dia bersara dan bekerja sebagai pegawai keselamatan dan penyelia. Ayahanda Rani Kulup juga pernah ditugaskan sebagai pengawal keselamatan yang ditugaskan untuk mengiringi dan menjaga bahan-bahan letupan.
Dia juga mula berjinak-jinak dengan aktiviti pertubuhan. Pada waktu itu, dia lihat banyak tekanan yang berlaku terhadap orang Melayu. Apabila melihat orang Melayu dihina, ditekan dan tiada yang bangun untuk bersuara, Ayahanda Rani Kulup mengambil tanggungjawab dengan membuat laporan polis sehingga ke hari ini.
Di sebalik muka Ayahanda Rani Kulup yang sentiasa kelihatan tegas ini, anda pasti tidak menyangka bahawa dia juga merupakan seorang anggota kumpulan muzik tanah air yang dikenali dengan nama Sometimes Group.
Sometimes Group - Kugiran Rani Kulup Dulu-Dulu
Kumpulan muzik itu pernah menghasilkan album pada tahun 2010. Ayahanda Rani Kulup memberitahu bahawa dia adalah pencipta lagu, lirik, penyanyi dan juga pemuzik dalam kumpulannya.
Dalam album Sometimes Group yang berjudul "Tutup Pintu Tapi Tak Berkunci" itu, ia mengandungi lima buah lagu ciptaan Ayahanda Rani Kulup yang berkonsepkan irama pop yeh-yeh dan era 60-an.
Lagu tutup pintu tapi tak berkunci ciptaan Ayahanda Rani Kulup.
Hari ini, Ayahanda Rani Kulup cukup terkenal dengan gelaran Raja Report kerana dia merupakan orang paling banyak membuat laporan polis iaitu melebihi 1,000 laporan yang telah dibuatnya.
Rujukan:
1. Orang Perak