Oleh pada 01 Mar 2022 kategori

Sejak Ukraine mula dicerobohi baru-baru ini, warga internet juga mula heboh membincangkan tentang kredibiliti dan kekuatan pemimpin negara tersebut dalam usaha menentang Rusia.

Ada pihak yang menularkan video lama serta mentertawakan Presiden Volodymyr Zelenskyy kerana pada asalnya, beliau merupakan seorang pelawak dan pelakon yang tidak mempunyai pengalaman mahupun latar belakang politik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin pada pandangan umum, pengalaman dan latar belakang politik menjadi syarat utama untuk menjadi seorang ketua negara. Namun, bukan semua presiden dan perdana menteri memenuhi kriteria sedemikian.

Bekas Presiden Haiti, misalnya, merupakan seorang penyanyi berjaya sebelum diangkat menjadi presiden. Michel Martelly dikenali dengan nama "Sweet Micky" di atas pentas nyanyian sebelum bertukar kerjaya sebagai ketua negara itu pada tahun 2011.

Selain Zelenskyy dan Martelly, sebenarnya ramai lagi selebriti dan atlet lain yang memilih jalan politik dan berjaya menggunakan populariti mereka untuk meraih undi serta kepercayaan rakyat.

1. Amerika Syarikat - Donald Trump (Ahli Perniagaan)

donald trump 571

Donald John Trump yang merupakan bekas Presiden Amerika Syarikat ke-45 sebenarnya adalah seorang yang sudah popular sebelum menceburi bidang politik lagi.

Trump ialah seorang pemaju hartanah dan ahli perniagaan yang memiliki beberapa buah hotel, kasino, kelab golf, pusat peranginan dan hartanah mewah di kawasan New York dan di seluruh dunia.

Malah, sejak tahun 1980-an lagi dia juga menceburi bidang perniagaaan lain seperti usaha runcit termasuk pakaian, minyak wangi, makanan dan perabot berjenama. Donald Trump adalah seorang usahawan yang sangat berjaya.

Nama Trump lebih dikenali melalui rancangan TV realiti yang dihoskannya sendiri iaitu The Apprentice. Rancangan itu memaparkan permainan melibatkan para peserta yang bersaing untuk menjadi pegawai tinggi dalam perniagaan Trump.

Pada tahun 2016, Trump telah bertanding dalam pilihan raya mewakili Republican menentang Hillary Clinton. Beliau memenangi pilihan raya itu dan dilantik menjadi Presiden A.S. ke-45 pada Januari 2017.

Trump ialah presiden ketiga dalam sejarah A.S. yang didakwa oleh Dewan Perwakilan selepas Andrew Johnson (1868) dan Bill Clinton (1998) dan merupakan satu-satunya presiden A.S. yang didakwa sebanyak dua kali kerana penyalahgunaan kuasa menghalang Kongres berkaitan skandal Ukraine dan "hasutan pemberontakan" ketika penyokongnya menyerbu bangunan Capitol.

2. Slovenia - Marjan Sarec (Pelakon/Pelawak)

marjan sarec

Bekas pelawak Marjan Sarec telah dilantik sebagai Perdana Menteri Slovenia. Sarec yang dilantik ketika berusia 40 tahun pada 2018 merupakan Perdana Menteri termuda di Slovenia yang juga merupakan negara kelahiran isteri Donald Trump iaitu Melania Trump.

Selepas memperolehi ijazah dalam bidang lakonan pada tahun 2001, beliau mula bekerja sebegai penyiar awam sebelum menjadi pelawak untuk rancangan satira yang dinamakan "Radio Ga-Ga".

Melalui rancangan itu, populariti Sarec mula melonjak dan dia dikenali kerana pandai meniru gaya beberapa tokoh politik Slovenia yang terkenal. Beliau kemudian menjadi salah satu wajah paling popular di kaca TV Slovenia sebelum memilih untuk menceburi kerjaya berbeza.

Dia mula terlibat dalam politik ketika tahun 2010 apabila menjadi Datuk Bandar Kamnic iaitu sebuah bandar di Utara Slovenia. Beliau kemudian menubuhkan parti politiknya sendiri yang dinamakan sebagai List of Marjan Sarec atau LMS.

Empat tahun kemudian, parti politik kecil itu mengejutkan orang ramai apabila kalah tipis kepada Borut Pahor dalam pilihan raya presiden yang diadakan pada tahun 2018. Beliau kemudian dilantik menjadi Perdana Menteri Slovenia selama dua tahun.

3. Pakistan - Imran Khan (Atlet kriket)

imran khan

Sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri Pakistan yang ke-22, Imran Khan adalah seorang pemain kriket terkenal dunia dan pernah pengetuai pasukan negaranya untuk memenangi Piala Dunia Kriket pada tahun 1992.

Khan yang dianggap sebagai wira negara itu sebenarnya berasal dari keluarga yang kaya dan mula mendapat pendidikan di sekolah elit di Lahore, Pakistan. Dia kemudian melanjutkan pelajarannya di Universiti Oxford, England.

Setelah tamat kariernya dalam kriket, Khan banyak menderma dan melakukan kerja amal. Khan kemudian dilihat menceburi bidang keagamaan dan politik pada tahun 1990-an apabila beliau mengasaskan parti Pakistan Tehreek-e-Insaf atau Gerakan untuk Keadilan.

Dari masa ke masa, Imran Khan mula melonjak dalam dunia politik. Berjanji untuk memerangi golongan elit yang korup di Pakistan, beliau berjaya menambat hati pengundi yang bosan dengan krisis ekonomi negara itu. Akhirnya, Khan menang besar dengan jumlah undi dua kali lebih banyak daripada pesaing terdekatnya.

Beliau yang kini berusia 69 tahun telah menjadi Presiden Pakistan sejak Ogos 2018.

4. Uganda - Robert Kyagulanyi Ssentamu (Penyanyi)

robert kyagulanyi ssentamu

Ahli politik Uganda iaitu Robert Kyagulanyi Ssentamu sebelum ini lebih dikenali dengan nama pentasnya, Bobi Wine. Sekitar awal tahun 2000-an, Ssentamu menjana pendapatannya sebagai seorang penyanyi. Ssentamu yang membawakan irama raggae telah memenangi beberapa anugerah nyanyian melalui lagu-lagunya.

Selain itu, beliau juga belajar dalam bidang muzik, tarian dan drama di Universiti Makerere. Ketika berusia 36 tahun, Ssentamu telah dipilih ke Parlimen untuk mewakili Daerah Kyadondo Timur

Beliau berjaya mengumpulkan pengundi muda untuk menuntut perubahan ke atas kepimpinan gagal pemerintah lama iaitu Yoweri Museveni. Para penyokongnya turut menggesa Ssentamu untuk bertanding jawatan presiden pada 2021.

Malangnya, masa depan Ssentamu sebagai seorang ahli politik tidak begitu cerah.

Pada tahun 2018, Ssentamu telah ditahan kerana memiliki senjata api secara tidak sah dan dipercayai menjadi dalang dalam serangan ke atas konvoi Presiden Museveni pada Ogos 2018. Walaupun berkali-kali mendakwa diganggu pihak berkuasa, Ssentamu tetap mengumumkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.

Dalam pilihan raya yang diadakan pada tahun 2021 itu, Ssentamu kalah kepada Presiden Museveni dan telah dikenakan tahanan rumah pada penghujung 2021 atas beberapa dakwaan jenayah.

5. Guatemala - Jimmy Morales (Pelawak)

jimmy morales

Ketika Jimmy Morales bertanding untuk jawatan presiden pada 2015, beliau dilihat mempunyai peluang yang tipis untuk menang. Enam bulan sebelum pilihan raya dilakukan, tinjauan mendapati bahawa kurang daripada 1% pengundi menyokong Morales.

Tanpa disangka-sangka, sokongan ke atas Morales melonjak naik dengan mendadak dan beliau memenangi undi sebanyak kira-kira 70%.

Sebagai seorang penganut Kristian evangelis, Morales bermula dari bawah. Beliau dilahirkan di Guatemala City pada tahun 1969. Ketika berusia tiga tahun, keluarganya berpindah dan mula menjual pisang setelah bapanya meninggal dunia dalam kemalangan kereta.

Ketika meningkat dewasa, Morales memperolehi pendapatan dengan menjadi pelawak dalam rancangan TV popular bernama "Moralejas". Beliau sering melakonkan watak dungu dan salah satu lakonan paling popular yang diingati ialah watak pengembala lembu yang menjadi presiden. 

Tanpa disangka-sangka, watak itulah sebenarnya yang membentuk masa hadapannya. Pada 2011, Morales mencuba nasibnya dalam politik. Dia bertanding untuk jawatan Datuk Bandar Mixco untuk parti sayap kanan Action for National Development tetapi mendapat tempat ketiga.

Beliau kemudian bertanding jawatan presiden setelah Presiden Otto Peres Molina meletak jawatan berikutan skandal rasuah. Tanpa disangka-sangka, beliau yang membawa slogan "bukan korup atau pencuri" menang besar-besaran.




Hakcipta iluminasi.com (2017)