Pasukan dalam Angkatan Tentera Malaysia yang dinamakan Grup Gerak Khas atau GGK, lebih dikenali dengan nama Komando, merupakan kumpulan elit barisan pertahanan tentera negara kita. 

Hanya segelintir di antara mereka yang sukarela menawarkan diri untuk menjalani latihan, tamat kursus latihan yang dijalankan. Kenapa? 

Corak latihan yang perlu diharungi GGK jauh jurangnya, khususnya dalam aspek ketahanan fizikal dan mental walaupun bagi orang kebanyakan, ahli tentera biasa pun sudah jauh lebih handal keupayaannya berbanding kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda kenapa seorang yang bergelar komando wajar dikagumi dan juga digeruni? Mereka harus tamat lima peringkat latihan/ujian yang layak dikatakan cukup sukar bagi manusia biasa.

Kursus asas komando dan peringkat kem

posisi rehat komando

Setiap anggota tentera yang mahu menyertai GGK, akan menjalani latihan selama 3 bulan yang menguji keupayaan mereka. Dikenali dengan nama kursus asas komando, penyertaan ke pemilihan ini dibuka kepada mana-mana anggota tentera yang telah berkhidmat lebih setahun.

Fasa pertama latihan komando dikenali sebagai peringkat kem, di mana latihan fizikal banyak dijalankan, sama ada berlari kosong, berlari dengan senjata, berlari dengan bagasi tentera yang dikenali sebagai FSMO dan juga latihan berlari fizikal mengangkat kayu balak dijalankan.

Setiap pelatih perlu menjalani ujian fizikal multi-disiplin pada jarak 3 km, 6 km, 9 km dan 10 km berpandu kepada jenis latihan. Selain itu, ujian lain seperti ujian Tarzan Course, meniti tali, turun dari helikopter dan sebagainya juga dikendalikan dalam peringkat kem.

Bagi menguji ketahanan mental pelatih, mereka juga boleh diminta melakukan perkara aneh seperti bermain bola di tengah malam atau bagi yang malang, diminta mandi dalam kolam najis. 

Mana-mana pelatih yang gagal dalam peringkat pertama yang berlangsung selama 5 minggu ini, akan diminta pulang ke skuad masing-masing - dianggap tidak layak untuk ke peringkat seterusnya.

Peringkat hutan dan ikhtiar hidup

peringkat hutan latihan komando

Bagi pelatih yang berjaya ke peringkat seterusnya, mereka mula menjalani latihan yang lebih menduga diri. 

Dalam peringkat hutan yang berlangsung selama 1 minggu, pelatih menghadiri kursus yang mendidik mereka tentang ilmu serang hendap dalam hutan, serang kem lawan, melakukan rondaan, menjejaki musuh dan sebagainya. 

Selesai kursus, fasa peringkat hutan kedua memerlukan seseorang pelatih menjalani ujian yang dinamakan sebagai ikhtiar hidup.

Berbekalkan ilmu yang telah diajar, pelatih diberikan sebilah pisau, satu pek garam dan sebatang pancing untuk hidup dalam hutan, mengikut tempoh yang ditetapkan jurulatih. 

Apa yang mereka perlu buat sepanjang tempoh ikhtiar hidup adalah terus hidup, mencari jalan bagaimana hendak berteduh, mendapatkan bekalan makanan dan minuman serta menangani dalam kawasan hutan, pagi petang siang malam. 

Peringkat berjalan jauh

long march latihan komando

Peringkat berjalan jauh atau long march merupakan fasa yang didakwa oleh pelatih terlibat, sebagai fasa paling banyak menggagalkan mereka. Ini kerana kadar lulusnya cukup rendah.

Semua pelatih diberikan masa 2 hari 2 malam untuk berjalan kaki dari titik mula ke destinasi mereka yang ditetapkan, merangkumi perjalanan dalam pelbagai keadaan sejauh 120 km.

Dalam jarak perjalanan tersebut, setiap pelatih wajib memakai pakaian lengkap mereka, memikul senjata dan menggalas FSMO. Sepanjang jarak itu, ada diwujudkan titik-titik keselamatan bagi membolehkan pelatih berehat, mendapatkan makanan dan mengerjakan ibadah. 

Apa yang penting, 120 km perlu ditempuhi dalam tempoh 48 jam. Tidak ada tolak ansur dalam menamatkannya.

Peringkat paya

latihan komando peringkat paya

Jika ikhtiar hidup mencabar keupayaan pelatih untuk hidup dalam hutan, peringkat paya pula meningkatkan lagi cabaran yang perlu ditempuh pelatih dalam senario paya.

Pelatih tidak akan diberikan peralatan yang sama seperti ikhtiar hidup. Uniform mereka diambil dan mereka akan dibiarkan berada dalam keadaan separa bogel dengan hanya daun menutupi alat sulit pelatih.

Tubuh mereka yang terdedah disapukan dengan lumpur dan selut, sebelum setiap pelatih dibekalkan dengan tombak yang akan digunakan sebagai alat kebergantungan hidup.

Mereka perlu hidup di kawasan paya yang telah ditetapkan, mengikut durasi yang telah ditentukan jurulatih tanpa dibekalkan sebarang bentuk makanan atau minuman. Apa yang berlaku kepada pelatih, bergantung kepada tahap kekuatan pelatih untuk bertahan. 

Peringkat laut

peringkat laut amfibia taktikal serangan

Halangan terakhir sebelum seorang pelatih dinobatkan layak bergelar ahli GKK adalah peringkat laut. 

Peringkat latihan ini dimulakan dengan kursus latihan fizikal berteraskanair. Pelatih bakal diuji kemahiran mendayung perahu dalam satu jarak serta perlu berhadapan dengan serangan hendap semasa berada di atas air. 

Selain latihan berbentuk sebegitu, pelatih juga akan menjalani kelas yang mendidik mereka tentang ilmu navigasi di lautan. Latihan menyerang atau mempertahankan kedudukan di pantai serta latihan taktikal serangan amfibia menjadi antara asas ilmu peperangan dalam peringkat terakhir ini. 

Untuk ujian mental, pelatih akan diminta berendam dalam laut satu tempoh waktu tertentu selain perlu membiasakan diri minum air laut, bagi memastikan tahap fizikal mereka dapat dikekalkan pada tahap yang baik.

Ada juga ujian yang menyeramkan, di mana pelatih akan diikat tangan dan kaki dengan tubuh mereka diletakkan dengan pemberat. Mereka akan dibiarkan tenggelam dan mereka perlu bertindak segera menyelamatkan diri...sebelum lemas atau perlu diselamatkan.

Rujukan

Latihan dan Operasi Dalam Angkatan Tentera Malaysia (fail PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)