Bagi yang Muslim, sejak di sekolah rendah lagi kita sudah didedahkan dengan sejarah mengenai batu hitam yang digelar Hajarul Aswad. Biasanya jemaah umrah atau haji yang mengunjungi Mekah akan cuba untuk mencium batu ini.
Namun ianya bukanlah perkara mudah memandangkan begitu ramai jemaah lain yang turut mempunyai keinginan yang sama. Bagi orang Islam, ianya bukanlah suatu kewajipan untuk menyentuh atau mencium batu hitam ini tetapi merupakan satu penghormatan terbesar sekiranya dapat mencium batu yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Tahukah anda, suatu ketika dahulu batu Hajarul Aswad ini sebenarnya pernah dicuri selama 22 tahun? Benar. Ianya pernah dicuri oleh golongan yang mengikut ideologi Daulah Qaramithah yang menyimpannya 22 tahun sebelum Khalifah Al-Muktadir Billah berjaya merampasnya kembali dan meletakkannya kembali di Masjidil Haram.
Kenali batu Hajarul Aswad
Percaya atau tidak, batu hitam Hajarul Aswad yang ada lihat pada masa kini sebenarnya berwarna putih. Batu ini juga dikatakan berasal dari syurga. Perkara ini berdasarkan sepotong hadis riwayat Tirmidzi yang mempunyai maksud seperti di bawah:
Hajar Aswad turun dari surga, dalam kondisi berwarna lebih putih dari air susu. Kemudian, dosa-dosa anak Adam-lah yang membuatnya sampai berwarna hitam.
Walaupun mencium batu ini bukanlah suatu kewajipan ketika mengerjakan umrah dan Haji, ianya merupakan satu perkara sunnah. Hal ini telah ditegaskan oleh Khalifah Umar Al-Khattab:
Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andai aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukannya (mencium Hajarul Aswad).
Kenali Daulah Qaramithah
Daulah Qaramithah adalah sebuah ideologi yang dibawa oleh golongan Syiah yang meyakini keimaman Ismail bin Ja’far as-Shadiq. Daulah ini diasaskan pada tahun 278H oleh Abu Said Al-Hasan al-Jannabi. Fahaman ini telah berkuasa hampir 188 tahun dan menguasai pelbagai daerah antaranya Bahrain, Oman, Syam, Hajar dan Al Hasa.
Dengan menggunakan pengaruh yang dimilikinya, Abu Said Al-Hasan al-Jannabi telah berjaya mengumpulkan pengikut yang ramai dan mempengaruhi mereka untuk melancarkan satu revolusi bagi menguasai ibu negara Bahrain ketika itu.
Selepas kematian Abu Said Al-Hasan al-Jannabi, tampuk pimpinan golongan ini diambil alih pula oleh anaknya Sulaiman bin Abu Said al Husain al Janabi atau gelarannya Abu Thahir. Di bawah kepimpinan Abu Thahirlah, telah berlaku satu peristiwa hitam yang telah menggegarkan dunia Islam berikutan serangannya terhadap jemaah Haji dan kota suci Mekah.
Abu Thahir merupakan seorang yang ganas dan agresif. Pembunuhan, kecurian dan kerosakan harta benda adalah perkara biasa yang dilakukan oleh para pengikutnya. Malah, orang awam sangat takut kepadanya apabila terdengar namanya, mereka akan berusaha melarikan diri (Perkara ini diceritakan dalam kitab Al Bidayah wan Nihayah, 11/187 ).
Serangan terhadap Masjidil Haram
Pada tahun 317 H, sebuah rombongan Haji dari Iraq yang telah dipimpin oleh Manshur ad Dailami telah bertolak ke Mekah dan sampai ke sana dengan selamat. Namun, pada 8 Dzulhijjah (dikenali juga sebagai Hari Tarwiyah, hari dimana para jemaah Haji menuju Mina untuk bermalam dan keesokan harinya mereka akan menuju Arafah).
Ketika ini golongan Qaramithah telah melakukan kacau bilau dengan menyerang, membunuh dan merompak para jemaah Haji ini. Dikatakan ramai yang terkorban dalam peristiwa ini.
Setibanya di Masjidil Haram, Abu Tharir dan pengikutnya telah melakukan pelbaga kerosakan di Kaabah. Mereka telah menghancurkan pintu Kaabah. Selain itu, mereka juga telah mencampakkan mayat-mayat yang telah dibunuh ke dalam telaga zam-zam dengan tujuan untuk mencemarkan sumber air di Masjdiil Haram.
Mayat-mayat yang terkorban pula ditanam tanpa dimandikan, disolat mahupun dikafankan. Dengan bongkak dan takburnya, Abu Tharir telah berdiri di hadapan Kaabah sambil berkata:
"Akulah yang berani mencabar Allah, akulah yang berani mencabar Tuhan, Dia mencipta kamu dan aku membunuh kamu semua (jemaah Haji)”.
Kecurian Hajarul Aswad
Ketika serangan mengejutkan inilah, Hajarul Aswad telah dicuri. Abu Tharir dengan bongkaknya berkata:
“Mana burung-burung Ababil? Mana bebatuan dari Neraka Sijjil?”
Menyedari tindakan Abu Tharir dan pengikutnya mengambil batu Hajarul Aswad dari kedudukan asalnya, penguasa Mekah ketika itu telah datang berjumpa Abu Tharir untuk berunding bagi mendapatkan kembali batu itu. Malah, beliau turut menawarkan sebahagian besar hartanya sebagai tukaran bagi mendapat semula Hajarul Aswad.
Malangnya, beliau turut dibunuh oleh pengikut Abu Tharir. Begitulah kejamnya fahaman Daulah Qaramithah ini. Segala harta rampasan daripada jemaah Haji serta Hajarul Aswad telah dibawa pulang ke pusat pemerintahan mereka di Al Ahsa dan batu ini disimpan disana selama 22 tahun.
Malah, para pengikut Abu Tharir ini juga telah membina ‘Ainul Kuaibah', iaitu satu kawasan umpama Masjidil Haram dan meletakkan batu Hajarul Aswad disitu. Tujuannya adalah untuk memaksa orang Islam melakukan Haji di kawasan ini.
Ternyata ini merupakan satu usaha yang sia-sia memandangkan kewujudan Hajarul Aswad bukanlah syarat sah mengerjakan Haji dan umrah. Tanpa batu Hajarul Aswad sekalipun, orang Islam tetap menunaikan Haji dan Umrah seperti biasa.
Golongan Daulah Qaramithah ini juga dikatakan cuba menghancurkan batu ini. Sekiranya anda perhatikan daripada dekat batu ini, terdapat kira-kira 8 kesan pecahan pada batu ini yang telah dilakukan oleh golongan ini.
Pemulangan Hajarul Aswad ke Mekah
22 tahun kemudian, Khalifah Al-Muktadir Billah telah melancarkan satu serangan terhadap golongan ini bagi merampas dan membawa kembali batu Hajarul Aswad kembali ke Masjidil Haram. Dianggarkan beliau telah membawa 80 ribu orang askar bagi menyerang golongan Qaramithah yang hanya seramai 3 ribu orang.
Setelah tewas, Abu Tharir telah bersetuju untuk memulangkan kembali Hajarul Aswad ke Mekah. Ketika batu ini dibawa lari dari Mekah dahulu, dikatakan puluhan ekor unta diperlukan untuk menarik batu ini. Pelbagai dugaan yang ditempuhi termasuklah banyak unta yang jatuh sakit.
Menariknya, ketika membawa pulang batu ini ke Mekah, hanya seekor unta sahaja yang digunakan. Peristiwa pemulangan kembali Hajarul Aswad ke Mekah berlaku pada tahun 339 H dan Ibnu Khatir dalam kitabnya Al Bidayah wan Nihayah mengatakan ia adalah tahun yang berkat dan menggembirakan kerana orang Muslimin mendapat kembali batu yang bersejarah ini.
Kredit: