Apabila disebut sahaja negara Korea Utara, kita pastinya membayangkan sebuah negara yang berada di bawah pemerintahan seorang diktator yang bernama Kim Jong Un. Sebuah negara yang sangat tertutup daripada dunia luar dan rakyatnya tidak mempunyai kebebasan bersuara.
Perkara ini amat berbeza dengan negara jirannya, Korea Selatan yang lebih terbuka. Malah, Korea Selatan juga merupakan negara pelopor dunia teknologi dengan beberapa syarikat peneraju industri ini antaranya Samsung. Malah, industri hiburan di Korea Selatan juga berjaya mencipta fenomena di seluruh dunia termasuklah Malaysia.
BESARKAN TEKS A- A+
Sekiranya anda lahir di Korea Utara, anda tidak mempunyai pilihan dan kebebasan. Malah, setiap penduduk juga tidak mempunyai kebebasan untuk menganuti apa-apa agama sekalipun. Pemerintah mereka, Kim Jong Un diumpakan sebagai Tuhan bagi rakyat Korea Utara.
Walau bagaimanapun, ada rakyat Korea Utara yang nekad melarikan diri ke negara jiran mereka untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Mereka ini selalunya berbuat demikian kerana mahukan kebebasan dalam hidup. Ada juga yang melarikan diri kerana sentiasa ditekan dan berada dalam kelaparan.
1. Gang Nara
Seorang selebriti Youtube terkenal Korea Selatan yang beragama Islam, Kim Daud baru-baru ini telah menemuramah seorang wanita yang berjaya melarikan diri keluar dari Korea Utara pada tahun 2015. Wanita yang bernama Gang Nara ini telah menceritakan sedikit sebanyak pengalamannya melarikan diri dari Korea Utara.
Ianya bukanlah keputusan yang mudah kerana beliau terpaksa meninggalkan keluarganya dan sehingga kini tidak tahu apa nasib yang menimpa keluarganya. Beliau turut berkongsi bagaimana berjaya menyelamatkan diri dengan bantuan seorang broker dengan bayaran $8500. Harga terkini bagi khidmat broker dianggarkan sekitar $25000.
Memandangkan kawasan sempadan dikawal ketat oleh askar Korea Utara, maka mereka berdua telah menyeberangi sungai. Tindakan mereka itu dikesan dan telah ditembak oleh askar Korea Utara ketika menyeberangi sungai tersebut. Namun, nasib menyebelahi mereka kerana tiada peluru yang hinggap ke tubuh mereka.
Beliau turut menceritakan pengalamannya yang hampir lemas ketika keadaan panik tersebut. Nasibnya baik apabila berjaya diselamatkan oleh broker yang dibayarnya itu. Ada individu lain tidak bernasib baik ditangkap dan mereka akan dikenakan hukuman berat seperti potong kaki atau ditembak mati.
2. Jeong Min-woo
Kebanyakan rakyat Korea Utara yang berjaya meloloskan diri ke negara jiran melakukannya dengan menyeberangi sungai. Namun, berlainan pula kisahnya dengan Jeong Min-woo yang berasal dari Hyesan, penempatan yang bersempadanan dengan negara China.
Lebih menarik, beliau sebenarnya adalah seorang askar Korea Utara dan melarikan diri dengan berpakaian seragam tentera. Beliau berjaya membuat helah kepada askar yang bertugas bahawa beliau mahu menyeberangi sempadan atas urusan kerja. Ianya berhasil.
Beliau kemudiannya telah melarikan diri ke Thailand dan meminjam pakaian daripada kawannya. Walau bagaimanapun, pakai seragam askar Korea Utara yang dimiliknya disimpan kemas dalam beg bersama kad identitinya. Kedua-dua barangan ini amat berguna sekiranya satu hari nanti beliau mahu kembali ke negara asalnya.
Di Korea Utara, seorang askar diberikan lebih keistimewaan berbanding rakyat biasa. Menurutnya, jika tidak bertugas sekalipun, beliau tetap akan memakai pakaian seragam bagi membolehkannya menaiki kenderaan. Malah, rakyat lebih takut untuk mencuri rokok daripadanya dan bergaduh dengan seorang askar.
3. Kim Kang Yoo
Menurut statistik, 3,682 rakyat Korea Utara telah melarikan diri ke Korea Selatan sejak 3 tahun kebelakangan ini. Namun, daripada jumlah tersebut hanya 6 orang yang meloloskan diri melalui kawasan demilitarized zone atau DMZ yang dikawal rapi. Salah seorangnya adalah Kim Kang Yoo.
DMZ merupakan kawasan sempadan yang paling dikawal ketat dan mengandungi banyak bom periuk api yang diletakkan ketika era peperangan antara kedua buah negara itu. Usaha meloloskan diri daripada DMZ yang mempunyai kelebaran 2.5 batu ini bukanlah satu tugas mudah kerana risiko ditembak oleh askar daripada kedua-dua pihak.
Askar-askar yang bekerja di pos-pos pengawal di sepanjang kawasan perbatasan DMZ tidak hanya diberi peranan untuk mengawasi pihak lawan, tetapi juga mengawasi rakan-rakan mereka sendiri yang mungkin berusaha melarikan diri. Setiap askar yang mengawal sempadan ini dilengkapi dengan senjata.
Dalam usahanya melarikan diri, mulanya beliau telah berjalan dan dengan tenangnya berpura-pura sedang menjalankan tugasan. Apabila askar yang bertugas mengalih pandangan daripadanya, beliau telah berlari selaju-lajunya sehingga kelibatnya tidak dapat dilihat.
Menurutnya lagi, beliau berlari ke arah kawasan lembah dan selama berjam-jam lamanya menelurusi hutan tersebut sehingga tangannya luka. Beliau turut menceritakan pengalamannya hampir mati kerana terjatuh dari tebing curam.
Kredit: