Anatoly Moskvin dikatakan seorang yang bertaraf genius berikutan kemahirannya dalam bidang pendidikan serta sejarah.
Moskvin mampu bertutur sebanyak 13 bahasa, mempunyai kredibiliti tinggi berpengalaman mengajar pada peringkat tertiari serta turut bertugas sebagai seorang jurnalis.
Dikenali ramai berikutan pengetahuannya, Moskvin terkenal sebagai pakar dalam sejarah pusara di kawasan Nizhny Novgorod, Russia. Rajin menulis dalam majalah 'Necrologies' yang memuatkan kajian-kajian tentang ilmu-ilmu pemeliharaan pusara serta kematian, nak tahu apa-apa tentang pusara dialah bahan rujukan- kerana dia sangat handal dalam bidang tersebut.
Bercinta dengan mayat
Dalam salah satu artikelnya yang diterbitkan pada tahun 2011, Moskvin menceritakan tentang kisah hitam yang berlaku sehingga menyebabkan dia berminat dengan ilmu kematian ini.
Ketika muda, semasa dalam perjalanan pulang ke rumah sendirian - sekumpulan lelaki berpakaian hitam menangkap dia dan memaksa dia berbaring dalam sebuah keranda berisi mayat seorang kanak-kanak berusia 11 tahun.
Ketakutan, Moskvin dipaksa mencium mayat gadis tersebut berkali-kali sebelum ibu gadis bernama Natasha itu 'mengahwinkan' mereka berdua dengan menyarungkan cincin di jari Moskvin dan juga Natasha yang sudah tidak bernyawa. Insiden itu tidak diketahui kesahihannya, menjadi titik mula minat mendalam Moskvin terhadap pusara dan lebih khusus - mayat tidak bernyawa.
Dia mula meluangkan lebih banyak masa melawat kawasan-kawasan kubur di sekeliling bandar tempat tinggalnya, mencatatkan perkara-perkara menarik tentang setiap pusara yang dikunjungi serta menyimpan rekod nama-nama yang disemadikan di situ.
Tabiat ini walaupun agak ganjil, namun tidak layak dikatakan satu kesalahan. Bagaimanapun, tiada siapa menyangka rahsia yang disimpan Moskvin bertahun-tahun lamanya.
Individu pelik yang suka sendirian
Berusia 45 tahun, Moskvin tinggal dalam sebuah apartment yang kecil. Kedua ibu bapanya tahu anak mereka mempunyai hobi yang pelik - dia amat gemarkan anak patung bersaiz besar, khasnya anak patung perempuan. Moskvin memang mempunyai perwatakan yang aneh jadi itu bukanlah sesuatu yang baru bagi ibu bapa beliau.
Sekitar tahun 2009 di beberapa kawasan perkuburan yang ada di bandar Nizhny Novgorod, terdapat pusara yang didapati telah dikorek semula tanpa ada sebab, berikutan keadaan tanah yang berubah.
Pihak penyiasat tidak menjangkakan apa-apa yang buruk telah berlaku ekoran mendapat sebarang petunjuk bagi membantu siasatan. Mereka meramalkan kejadian itu dilakukan oleh kumpulan ekstrimis agama yang sengaja membuat kacau.
Siasatan selama lebih dua tahun gagal mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab. Sebelum satu laporan gangguan di sebuah kawasan perkuburan Muslim di Nizhny Novgorod diterima pihak berkuasa. Sekumpulan pegawai berkejar ke sana dan mendapati Moskvin sedang menconteng kubur orang Islam yang ada.
Tangkapan itu membawa pihak berkuasa ke rumah apartmentnya bagi mendapatkan bukti. Di situlah segala-galanya tentang aktiviti Moskvin selama ini, mula terbongkar.
Hidup bersama 26 anak patung manusia
Pasukan penyiasat mendapati Moskvin selama ini telah pun melakukan aktiviti mengorek pusara kanak-kanak, khasnya kanak-kanak perempuan sebelum melarikan mayat yang ada untuk dibawa pulang ke rumahnya.
Semua mayat itu diawetkan dengan menggunakan larutan garam dan soda yang disediakan, sebelum dipakaikan perhiasan yang disediakan sendiri Moskvin.
Bagi memenuhi fantasinya, Moskvin akan meletakkan mayat-mayat ini dalam posisi bermain - ada yang duduk seolah sedang minum teh, ada yang menonton televisyen dan ada juga yang disimpan tanpa 'dimainkan', kerana Moskvin kurang gemarkan 'patung' tersebut.
Siasatan mendapati Moskvin melakukan semua itu kerana dia kesunyian tidak berteman. Impiannya menjadi seorang ayah gagal dan permohonannya mengambil anak angkat ditolak, dijadikan alasan perbuatannya itu. Hobi beliau yang menakutkan, dilakukan sekian lama tanpa disedari sesiapa pun - membolehkan dia mengumpul 'patung-patung' individu yang berusia 3 tahun sehinggalah dewasa berumur 25 tahun.
Apa yang menakutkan, Moskvin seakan tidak menyesal akan perbuatannya. Dia berani menyindir ibu bapa kepada mayat-mayat yang dicurinya, seolah dia pula yang menjaga anak-anak mereka selepas ibu bapa itu meninggalkan anak mereka sendirian.
Walaupun begitu, pihak kesihatan mendapati tahap mental dan psikologi Moskvin sememangnya mempunyai masalah kurang waras - menyelamatkan dia daripada perbicaraan seterusnya hukuman lebih berat.
Moskvin kini perlu melalui rawatan psikologi sambil menunggu kelulusan pakar kesihatan, bagi membolehkan perbicaraan penuh dijalankan dengan lebih sempurna.
Rujukan