"Bossku!"
Ungkapan itu biasa kedengaran, bukan saja di dalam internet bahkan dalam dunia nyata. Kita maklum ungkapan itu merujuk kepada populariti Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri Malaysia ke 6; kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Sungai Buloh.
Populariti beliau yang sebelum itu lebih banyak diserang, mengalami perubahan ketara selepas jatuh daripada puncak kuasa selepas Pakatan Harapan memecah dominasi sekian lama Barisan Nasional.
BESARKAN TEKS A- A+
Najib tumbang terhempap ke tanah, tetapi bangkit naik dengan kaedah yang sangat luar biasa dan aneh...sebagai seorang troll di internet. Nama 'Najib' bagi mereka penyokongnya kekal mekar walaupun berdepan dakwaan salah guna kuasa sudah dapat dibuktikan.
Apa yang ajaib, berdepan semua tuduhan itu Najib tetap dijulang. Kenapa?
Sokongan yang sungguh mengelirukan
Bagi mereka yang duduk di luar, pasti aneh dan hairan anda melihat penyokongNajib Razak bermati-matian mempertahankan reputasi beliau, sedangkan mahkamah sudah menjatuhkan hukuman. Pasti kita bingung kenapa situasi sebegini berlaku.
Pada kita logiknya mudah dan jelas; Najib sudah didapati bersalah, dia sudah dihukum, jadi apa keperluan untuk masyarakat terus mengangkat reputasi beliau?
Persoalan ini dapat kita lebih telusuri dengan lebih cerah sekiranya dalam diri kita sendiri pernah tertanya-tanya satu soalan, yang kami yakin pernah bermain difikiran anda..
Pernah tak anda hairan kenapa di sesetengah kawasan Parlimen atau DUN, penduduknya konsisten mengangkat wakil rakyat yang sama walaupun pada persepsi kita calon yang mereka angkat itu korup, kotor dan hanya kaki sauk kurang berkelayakan? Mesti ada kan?
Samalah juga dengan terpilihnya sesetengah ahli parlimen yang mempunyai watak buruk dan negatif ketika perbahasan parlimen, suka menuturkan kata yang kurang enak, berkelakuan tidak sopan dan menyakitkan hati. Tiba waktu pilihanraya, orang tu jugalah yang kembali dilantik.
Anda tahu kenapa situasi sebegini berlaku?
Ini berlaku disebabkan mengikuti perkembangan politik ini biasanya meyakinkan anda dan pilihan anda berada di pihak yang betul. Manakala yang tak sependapat dengan anda pula mungkin bagi anda kurang cerdik sehingga melakukan pemilihan yang salah...tidak seperti anda yang bijak dan terpelajar. Mari kami beritahu kepada anda satu perkara..
Realitinya, setiap individu yang mengikuti perjalanan politik negara kita turut mempunyai pandangan serupa terhadap anda. Begitulah juga penyokong Bossku.
Jika anda merasa mereka bodoh kerana masih menyokong Bossku yang sudah didakwa dan disabitkan, mereka pun sama saja melihat anda bodoh kerana masih menyokong siapa yang anda sokong.
Mungkin juga pemimpin pilihan anda pun sedang berhadapan perbicaraan mahkamah atau pernah disabitkan kesalahan di mahkamah. Jadi, bagi mereka - tidak ada sebab sokongan terhadap Bossku perlu dihentikan, walaupun dia dah dipenjarakan.
Bossku! Malu apa Bossku!
Salah satu idea gila yang penulis akui genius, berjaya dilakukan pasukan perancang strategi politik Najib Razak selepas kejatuhan beliau adalah dengan 'merakyatkan' imej beliau....sehinggakan ada satu ketika Najib Razak sinonim dengan mat motor.
Cuba anda sebut pemimpin tempatan mana yang mahu digambarkan dengan reputasi sedemikian rupa? Seorang cucu golongan bangsawan yang kaya raya, anak kepada bekas Perdana Menteri Malaysia...sanggup berdampingan dengan mat motor.
Gila tak gila taktik itu?
Namun, percaturan di luar kebiasaan itu berjaya 'merempitkan' identiti Najib Razak, kerana di kalangan ahli masyarakat kita pun golongan seperti mat motor, minah motor atau anak muda yang mencari hala tuju - suara mereka kurang mendapat perhatian atau dijadikan faktor penting ketika dasar negara kita dibentuk.
Orang-orang biasa, orang susah dan orang kebanyakan, termasuklah makcik-makcik dari kampung yang biasanya diberikan perhatian hanya ketika hampirnya musim pilihanraya. Suara mereka kecil dan kedengaran tetapi mudah untuk tidak diendahkan.
Dengan mendekati golongan sebegini yang sebenarnya mewakili majoriti pengundi di Malaysia, Najib Razak berjaya memainkan sentimen suara kecil mereka ada salurannya. Bekas PM mendengar suara mereka. Power tak power sentimen itu?
Kita mungkin sampai pening cuba meyakinkan diri kita siapa yang masih menjulang Najib sebagai 'bodoh' atau 'tak educated,' namun anda kena sedar sama ada anda pandai, anda bodoh, anda ada ijazah, ada diploma, tak habis sekolah - semuanya mempunyai nilai undi yang sama.
Reformasi kepada suara rakyat
Satu faktor penting yang jarang diceritakan berkaitan jasa Najib Razak selain daripada segi pembangunan infrastruktur yang rancak, adalah usaha kerajaan Malaysia di bawah beliau membenarkan suara rakyat Malaysia lebih kedengaran tanpa sekatan walaupun bersifat anti kerajaan.
Jika beberapa dekad dahulu sebarang bentuk demonstrasi anti kerajaan akan berakhir dengan insiden-insiden fizikal, perubahan besar yang beliau lakukan membenarkan malah memberikan kerjasama memudahkan perhimpunan protes, berjaya meleraikan banyak kekusutan yang telah wujud selama ini.
Kaedah diplomasi yang diamal pentadbiran beliau membantu meredakan hubungan keras lawan keras yang dibuat PM-PM sebelum beliau, sehinggakan satu ketika peserta perhimpunan sendiri hilang keinginan mahu berkumpul ekoran mudahnya mereka mahu sama-sama berhimpun.
Pemimpin-pemimpin anti kerajaan yang sebelum itu lantang serta garang mengajak orang ramai berdemonstrasi juga diberikan laluan mudah untuk bersuara; sama ada melalui penganjuran forum yang tidak diganggu dan siaran media khususnya media internet yang lebih bersifat bebas. Nak kutuk kerajaan, PM atau dasar kerajaan?
Kutuklah, launglah, asalkan tindakan anda tidak melampaui batas.
Malangnya kelonggaran itu menggigit reputasi Najib sendiri, sehinggakan isterinya sering menjadi mangsa kutukan dalam aspek fizikal, mental dan segalanya.
Namun dalam masa individu yang sebelum itu garang mengkritik kerajaan tanpa peduli kesannya, ramai yang akhirnya timbul rasa simpati melihat kegelojohan masyarakat mencerca seorang individu berstatus PM dan isterinya.
12 tahun yang panjang untuk penyokong Bossku
Adakah perjalanan politik Najib Razak telah berakhir selepas sabitan 12 tahun?
Dalam politik kita yang cukup sukar dijangka dan diramal, apa saja boleh jadi. Ketika artikel ini ditulis, penyokong Najib masih cuba memainkan sentimen simpati dan empati tentang nasib yang telah menimpa beliau.
Tetapi pada pandangan penulis, tampak tidak ada lagi jalan keluar untuk Najib dari penjara kerana reputasi kerajaan Barisan Nasional sekarang dan akan datang cukup bergantung dengan apa berlaku selepas ini.
Sebarang usaha kerajaan membebaskan Najib Razak dari penjara, bolehlah kita samakan seperti menembak kaki sendiri dengan senapang gajah. Reputasi Najib yang tercalar seantero dunia sudah tidak boleh diperbaiki.
Menurut mahkamah tidak ada sebarang keraguan yang mampu ditimbulkan apabila kita membincangkan sabitan kesalahan Bossku. Penulis memilih untuk berpegang pada pendapat itu.
Walaupun demikian, penulis kini sudah faham kenapa masih ramai yang menyayangi Bossku; di antara semua PM dalam era milenium, beliau adalah PM paling rapat dengan golongan bawahan.
Idea untuk membangunkan prasarana bagi membantu orang kebanyakan seperti klinik, kedai ikan dan kain di bawah label '1Malaysia' diterima baik walaupun tidak mencapai tahap yang diharapkan. BR1M dan Rumah PR1MA kesemuanya dibentuk untuk membantu, walaupun usaha sebegitu tak boleh lari daripada ramai mengkritiknya.
Mungkin kita salah seorang yang mengkritik usaha sebegini kerana kita tak dapat merasa faedahnya, tetapi kami yakin di luar sana pasti wujud mereka yang menghargai sebarang bentuk usaha memudahkan hidup mereka.
Jadi tak hairanlah nama 'Najib Razak' akan terus dikenang dan disanjung segelintir yang masih gigih menyatakan sokongan mereka. Kini aku faham kenapa masih ramai menyokong Bossku, walaupun dia sudah disabitkan kesalahan dan kini terpaksa meringkuk dalam penjara.
Kolum 'Kini aku faham kenapa...' adalah salah satu usaha Iluminasi dalam mempelbagaikan topik yang boleh kami utarakan.
Kolum ini kami akan (cuba) siarkan setiap hari Jumaat dengan membawakan topik yang jarang dibincangkan secara terbuka di kalangan masyarakat kita.