Baru-baru ini negara digemparkan dengan pendedahan beberapa dokumen oleh mantan Perdana Menteri yang menunjukkan bukti bahawa beliau sememangnya menerima pelbagai hadiah daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Namun, tahukah anda, itu bukanlah kali pertama keluarga diraja itu memberikan hadiah bernilai jutaan dolar kepada seorang pemimpin negara yang mempunyai hubungan baik dengan mereka? Dengan jangkaan kekayaan keseluruhan sebanyak USD1.4 trilion, keluarga multi-billionaire dari Timur Tengah itu sememangnya dikenali sebagai hartawan yang amat pemurah.
BESARKAN TEKS A- A+
Malah, apabila Raja Salman baru menduduki takhta menggantikan Raja Abdullah, baginda telah menghadiahkan rakyatnya dengan bayaran bonus berjumlah USD32 bilion iaitu bersamaan dua bulan gaji setiap orang.
Kerajaan itu juga pada tahun ini turut menyumbangkan sebanyak 7,000 tan buah kurma ke seluruh dunia dengan 4,000 tan disalurkan kepada Program Makanan Dunia di bawah pengurusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan baki 3,000 tan lagi diedarkan kepada lebih 30 buah negara yang mengalami kebuluran.
Selain bekas Perdana Menteri Malaysia, siapakah lagi individu lain yang pernah mendapat hadiah dan derma daripada Raja Arab Saudi yang murah hati ini?
Presiden Donald Trump
Sejak mula mengambil alih tampuk pimpinan Amerika Syarikat, Kerajaan Arab Saudi telah menghadiahkan sebanyak 83 buah tangan termasuklah sehelai jubah dengan lapisan bulu citah dan sehelai lagi dengan lapisan bulu harimau putih, sembilan pasang sepatu kulit, pen dan jam meja Chopard, beberapa bilah pedang, lukisan potret Presiden Trump dan banyak lagi.
Hadiah-hadiah ini diterima semasa lawatan kali pertama Presiden Trump ke negara itu pada bulan Mei 2017.
Menurut Ali Shihabi, pengarah eksekutif Yayasan Arabia, walaupun senarai itu kedengaran melampau dan berlebih-lebihan, namun ia masih belum boleh dianggap mewah. Jika dikaji sejarah, kerajaan Arab Saudi sebelum itu sudah biasa memberi hadiah yang lebih lumayan seperti jam mewah, barangan kemas eksklusif dan sebagainya.
Presiden Barack Obama
Sebelum kemangkatannya, Raja Abdullah telah menghujani bekas Presiden AS ini dengan pelbagai hadiah. Bukan sahaja Obama, malah Michelle dan anak-anak mereka juga turut menerima sumbangan mewah daripada Baginda.
Bagi Obama, Raja Abdullah pernah memberi seutas jam tangan emas dan perak yang dianggarkan bernilai $18,240, replika Menara Jam Mekah bersalut emas bernilai $57,000 dan seutas lagi jam tangan emas putih bernilai $67,000.
Namun, hadiah yang diterima isterinya, iaitu Wanita Pertama Amerika Syarikat adalah jauh lebih mewah. Michelle Obama pernah menerima set barangan kemas berlian dan batu zamrud yang dianggarkan bernilai $560,000 serta set barang kemas mutiara dan berlian berharga $570,000.
Kedua-dua anak mereka, Sasha dan Malia menerima set barang kemas berlian dan batu zamrud serta set berlian dan batu delima berjumlah $80,000.
Selain Raja Abdullah, Putera Saudi iaitu Putera Miteb bin Abdullah bin Abdulaziz Al-Saud juga pernah menyerahkan sebatang model pokok palma, beberapa botol minyak wangi, lapan helai jubah, tiga helai mantel, sehelai persalinan satin, sehelai gaun baldu, beberapa helai kaftan dan empat kotak yang penuh dengan hiasan.
Camilla Parker Bowles
Camilla Parker Bowles merupakan isteri kepada Putera Charles yang merupakan bakal pewaris takhta kerajaan British. Camilla yang kini berusia 70 tahun mendedahkan yang beliau pernah menerima pelbagai hadiah lumayan dalam bentuk barangan kemas demi-parure daripada kerajaan Arab Saudi.
Set barangan kemas yang diterima Camilla mempunyai padanan batu permata yang berbeza-beza. Antaranya padanan berlian dengan batu delima, berlian dengan batu zamrud dan juga berlian dengan batu nilam.
Kesemua set barangan kemas ini dianggarkan bernilai lebih tiga juta pound sterling (RM16.4 juta).
King George V
Sejak turun-temurun, keluarga Arab Saudi tidak pernah kedekut atau berkira apabila memberikan hadiah untuk menjaga hubungan diplomatik antara negara. Sejarah menceritakan bagaimana Raja Arab Saudi pertama, iaitu Raja Abdulaziz, menghadiahkan sepasang oryx Arab kepada Raja England ketika itu yang merupakan datuk kepada Ratu Elizabeth, King George V.
Oryx jantan dan betina yang diterima oleh Leftenan Kolonel Robert Edward Hamilton pada November 1917 itu perlu dibawa merentasi padang pasir dan melalui India. Walau bagaimanapun, oryx jantan tersebut telah mati sejurus tiba di Bombay. Selepas perjalanan panjang yang memakan masa sehingga tiga tahun, oryx betina selamat tiba di London dan ditempatkan di Royal Zoological Society.
Menurut nota yang ditulis oleh Leftenan Kolonel Hamilton, masyarakat Arab memanggil oryx sebagai "Al Wathaihi" dan spesies haiwan itu digambarkan sebagai "sangat pemalu dan sangat jarang dilihat." Kedua-dua oryx yang dihadiahkan itu telah ditangkap ketika masih kecil dan disimpan di taman Raja Abdulaziz di Riyadh.
Amalan menghadiahkan haiwan eksotik atau spesie terancam masih diteruskan sehingga ke hari ini. Sebagai contoh, "Diplomasi Panda" yang dimeterai antara kerajaan China dan Amerika Syarikat antara tahun 1950 hingga 1980-an.
Mo Salah
Bintang bola sepak Liverpool, Mohamed Salah, dilaporkan akan dihadiahkan sebidang tanah di Tanah Suci Mekah selepas memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA.
Menurut Naib Presiden Perbandaran Mekah, Fahd Al-Rowky, Mo Salah merupakan seorang duta Islam yang unggul di United Kingdom dan pemberian hadiah seumpama ini menandakan sokongan terhadap anak-anak muda yang berpotensi tinggi.
Mo Salah mempunyai beberapa pilihan untuk memiliki hadiah sebidang tanah ini. Sekiranya kerajaan telah memperkenankan proses pemilikan tersebut, Mo Salah akan diberikan tanah Mekah yang berada di luar Tanah Haram.
Pilihan keduanya adalah untuk membina sebuah masjid di atas tapak tersebut atas nama Mo Salah. Manakala pilihan lain (bergantung atas permintaan Mo Salah) adalah supaya dijual tanah tersebut dan setiap sen hasil jualan disalurkan untuk kebajikan.
Garis panduan penerimaan hadiah dari agensi luar
Adapun pemberian hadiah bermewah-mewah ini adalah menjadi satu tradisi bagi masyarakat Arab, ada segelintir pihak yang menganggap setiap pemberian tersembunyi udang di sebalik batu dan mempunyai motif tertentu. Namun, bagi pemimpin atau pegawai kerajaan yang menerima hadiah mewah ini, perlulah ada garis panduan yang jelas untuk mengelakkan timbulnya fitnah dan menggalakkan gejala rasuah.
Bagi Amerika Syarikat misalnya, polisi kerajaan telah mewajibkan kesemua pegawai (termasuk pasangan dan tanggungan) mengisytiharkan setiap hadiah yang diterima daripada negara luar dan tidak boleh menyimpan mana-mana pemberian bernilai lebih $390 untuk kegunaan peribadi. Donald Trump dan Obama tidak dapat membawa pulang mana-mana hadiah yang diterima. Jika mereka ingin memiliki sesebuah barangan, mereka perlu membayar harga pasaran barangan tersebut kepada pihak kerajaan. Segala rekod penyimpanan dan pelupusan hadiah dikendalikan oleh Pentadbiran Perkhidmatan Am Amerika Syarikat.
Begitu juga dengan keluarga diraja British. Walaupun mana-mana ahli keluarga diraja menerima apa-apa barangan bernilai dari seluruh dunia, ia akan disimpan sebagai aset diraja yang boleh dikongsi untuk kegunaan rasmi dan tidak boleh dianggap sebagai koleksi peribadi.
Bilakah hadiah menjadi rasuah?
Terdapat garis halus dalam pemberian dan penerimaan hadiah, apatah lagi melibatkan pegawai atau pemimpin sebuah kerajaan. Menurut SPRM, segala jenis hadiah tidak kira besar mahupun kecil, selagi mana ia berkait dengan tugas rasmi, ia boleh dianggap sebagai rasuah. Penerimaan hamper perayaan dan Limau Mandarin oleh pembekal juga, misalnya, telah menjadi satu kesalahan.
Namun, jika diteliti Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 1998, setiap penerimaan hadiah dibolehkan dengan kelulusan daripada Ketua Jabatan. Begitu juga dengan hadiah-hadiah lain, ia dibolehkan dengan syarat "tidak berkaitan dengan tugas rasmi", "tidak mempunyai niat rasuah" dan "diterima dengan suci hati (in good faith)".
Seperti yang disebut, secara peribadi, penulis merasakan terdapat garis yang amat halus untuk kita nilai niat dan motif dalam hati seorang manusia. Contoh dalam skala yang lebih kecil : jika seorang pegawai kewangan yang menguruskan tuntutan perjalanan atau bayaran kepada pembekal dibelanja makan, adakah kita yakin bahawa dia tidak akan "terikat" untuk memproses pembayaran si pembelanja dengan lebih cepat? Dan adakah ini dikira sebagai "rezeki" atau rasuah?
Mungkin sudah tiba masa pihak berwajib seperti JPA dan SPRM memperhalusi garis panduan ini atau memperketatkan lagi peraturan dengan mewajibkan semua agensi kerajaan serta swasta mengamalkan polisi larangan beri dan terima hadiah (seperti MAHB dan Petronas) supaya gejala rasuah dalam negara dapat dibanteras dari akar umbi sehinggalah ke peringkat atasan.