Sistem mahkamah memerlukan proses perbicaraan yang panjang serta bukti sahih sebelum sebarang hukuman dijatuhkan. Walaupun begitu, pasti ada kes pesalah telah dijatuhkan hukuman tetapi kemudiannya didapati tidak bersalah kerana kemajuan teknologi atau bukti lain yang muncul kemudiannya.
Kisah-kisah seperti ini banyak kedengaran sehinggakan salah sebuah filem legenda, The Shawshank Redemption juga memaparkan isu yang sama.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah 5 kes pesalah tidak bersalah yang telah dihukum serta gagal mendapatkan pampasan yang sepatutnya ke atas hukuman yang telah mereka jalani.
1. Andrew Leander Wilson
Ini kes paling baru berakhir. Andrew Leander Wilson didapati bersalah membunuh ketika berumur 30 tahun pada tahun 1984. Pada ketika itu, Andrew sentiasa mengaku bukan beliau yang menyebabkan kematian pada seorang lelaki berumur 21 tahun yang dijumpai sedang tidur di dalam trak bersama teman wanitanya bernama Saladena Bishop.
Ketika disiasat, Saladena sebagai saksi utama menunjuk ke arah Andrew yang membuatkan polis mempercayai Andrew adalah pembunuhnya. Walaupun begitu, apabila disemak semula rekod perbicaraan kes baru-baru ini, didapati pihak pendakwaan telah menyorokkan bukti yang menunjukkan Saladena sebelum ini pernah mereka cerita berkenaan dirinya diculik.
Saksi lain mula tampil menceritakan bagaimana Saladena pernah menikam teman lelakinya sendiri (lelaki lain) dan besar kemungkinan Saladena adalah pembunuhnya.
Selepas 32 tahun, 3 bulan dan 14 hari, Andrew Leander Wilson dibebaskan dari tuduhan membunuh ketika berumur 62 tahun pada 17 Mac 2017.
2. Lawrence McKinney
Pada Oktober 1977, seorang wanita di Memphis dirogol oleh dua orang lelaki. Wanita itu melaporkan yang salah seorang daripada penyerangnya adalah Lawrence, pemuda berumur 22 tahun ketika itu. Lawrence didapati bersalah atas tuduhan dan dihukum penjara 115 tahun.
Menggunakan teknologi DNA, pada tahun 2008, Lawrence didapati tidak bersalah dan dibebaskan pada tahun 2009. Jabatan Pemulihan Tennessee memberikan beliau USD75 (RM321) sebagai pampasan untuk beliau memulakan semula hidup selepas dipenjarakan selama 31 tahun.
Lawrence kini sedang berusaha mendapatkan pampasan USD1 juta bagi setiap tahun beliau dipenjarakan.
3. Angela Cannings
Angela dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada tahun 2002 selepas didapati bersalah membunuh anak beliau, Matthew yang pada ketika baru berumur 5 bulan pada tahun 1999 dan Jason, anak beliau yang berumur 7 minggu pada tahun 1991. Angela disyaki melemaskan anak-anaknya.
Semua ini berpunca daripada syak wasangka yang timbul kerana anak pertama Angela yang bernama Gemma, mati pada tahun 1989 ketika berusia 13 minggu ketika tidur.
Dengan menggunakan pendapat seorang professor bernama Prof. Sir Roy Meadow melalui teori Meadow's Law beliau, Angela didakwa kerana mahkamah setuju 'jika berlaku kematian pertama anak, itu adalah tragedi, kedua adalah syak wasangka dan ketiga adalah pembunuhan.'
Kes Angela Cannings disiasat semula dan membuktikan wujudnya faktor genetik kematian mengejut dalam keluarga beliau kerana nenek moyang Angela juga kerap berlaku kematian tiba-tiba. Angela Cannings menjalani hukuman penjara selama setahun berdasarkan bukti-bukti terbaru yang dijumpai.
Kesan daripada kes itu, kini Angela dan suaminya bercerai kerana kesan psikologi ke atas mereka berdua, serta satu-satunya anak mereka yang selamat tidak lagi mahu menemui ibunya kerana hubungan mereka renggang semasa ibunya dipenjarakan.
4. Thomas Edward Kennedy
Pada tahun 2001, Cassandra Ann Kennedy membuat laporan polis mengatakan ayah beliau, Thomas Edward Kennedy merogol beliau 3 kali pada waktu berlainan. Thomas menafikan tuduhan itu, bagaimanapun beliau didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun.
12 tahun kemudian, Cassandra yang sudah berumur 23 tahun ke balai polis sekali lagi untuk melaporkan yang tuduhan ke atas ayahnya hanyalah rekaan beliau, supaya ayahnya tak ada dirumah. Thomas dan isterinya bercerai pada tahun 1991 dan Cassandra serta kakaknya perlu duduk bersama ayahnya setiap bulan selama seminggu. Cassandra tidak gemar duduk dengan ayahnya.
Siasatan pada ketika itu mendapati memang ada kesan seksual pada bahagian kemaluan Cassandra membuktikan berlakunya rogol seperti yang diceritakan.
Cassandra mengakui selepas 12 tahun, beliau pada ketika itu sebenarnya sudah aktif melakukan hubungan seksual dengan pelajar lelaki dan perkara ini disahkan benar oleh pelajar terbabit.
Thomas dibebaskan selepas 11 tahun meringkuk di penjara kerana tuduhan palsu anaknya sendiri.
5. Adik-beradik Mickelberg
Pada tahun 1982, berlaku insiden kecurian besar di Perth, Asutralia selepas 49 jongkong emas seberat 68 kg dicuri. Nilai kerugian adalah sebanyak USD653 ribu pada waktu itu.
Polis mengesyaki adik beradik Mickelberg iaitu Ray, Peter dan Brian sebagai suspek utama. Berdasarkan bukti yang ada, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atas mereka bertiga dengan hukuman 20 tahun, 16 tahun dan 12 tahun. Adik beradik Mickelberg mengatakan yang pihak polis sengaja mencipta bukti untuk membuatkan mereka bersalah.
Brian dilepaskan dari mahkamah selepas 9 bulan di penjara, bagaimanapun terlibat dengan tragedi kapal terbang yang mengorbankan nyawa beliau. Ray dan Peter terus dipenjarakan tetapi terus membuat rayuan kerana dakwaan mereka, bukti kepada kes itu direka oleh pihak polis.
Ray dan Peter berjaya dalam rayuan mereka dan dibebaskan dengan ikat jamin selepas dipenjarakan selama 8 dan 6 tahun.
Pada 2002, pegawai polis bernama Tony Lewandowski, yang sudah pun bersara tetapi pernah terlibat dengan kes tersebut, membuat pengakuan yang beliau dan seorang anggota polis bernama Don Hancock memalsukan bukti untuk menyabitkan kesalahan pada adik-beradik Mickelberg.
Pada tahun 2004, Mahkamah Rayuan Australia menggugurkan semua pertuduhan yang dikenakan ke atas adik beradik Mickelberg. Sehingga sekarang, adik-beradik Mickelberg berusaha mendapatkan pampasan ke atas ketidakadilan yang terjadi kepada mereka, kerana salah guna kuasa pegawai polis yang tidak bertanggungjawab.