Di Malaysia, kita mempunyai banyak kemudahan kereta api antaranya MRT dan LRT yang sesetengah laluannya di dibina secara bertingkat terutamanya di kawasan bandar. Tujuan laluan bertingkat ini dibina adalah untuk mengelakkan gangguan kepada sistem aliran trafik sedia ada yang dibina untuk kenderaan persendirian.

Di Jerman, terdapat satu kereta api yang mempunyai konsep tergantung. Dikenali sebagai Wuppertal Schwebebahn atau "Wuppertal Floating Tram", ianya adalah monorel tergantung di Wuppertal, Jerman. Pertama kali dibuka pada tahun 1901, Schwebebahn adalah salah satu monorel tertua yang masih beroperasi hingga kini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Nama asalnya adalah "Einschienige Hängebahn System Eugen Langen"  atau dalam bahasa Inggeris sebagai "Eugen Langen Monorail Overhead Conveyor System". Rekabentuk kereta api ini dibina oleh Eugen Langen, seorang usahawan, jurutera dan pencipta Jerman yang juga terlibat dalam pembangunan mesin yang dikuasakan oleh petrol.

Apa yang menarik juga ialah konsep Schwebebahn ini tidak pernah ditiru sebagai model ‘transit awam’ di tempat lain di dunia. Ianya adalah monorel pertama dan satu-satunya yang digantung di dunia. Schwebebahn masih digunakan sebagai alat pengangkutan tempatan untuk mengangkut 25 juta penumpang setiap tahun, menurut laporan tahunan 2008.

Wuppertal dan kemuncak perindustrian

laluan wuppertal schwebebahn 605

Menariknya, pembinaan insfrastruktur kereta api ini sebenarnya ditawarkan terlebih dahulu kepada bandar-bandar besar seperti Berlin, Munich dan Breslau namun kesemua bandar ini menolak cadangan pembinaannyaya.

Dengan penolakan ini, pembinaan kemudahan ini dengan stesen bertingkat telah dibina di Barmen, Elberfeld dan Vohwinkel antara tahun 1897 dan 1903. Landasan pertama dibuka pada tahun 1901 dan laluan kereta api ini dikreditkan dengan pertumbuhan bandar-bandar asal dan akhirnya penggabungan mereka menjadi Wuppertal.

Pada akhir abad ke-19, Wuppertal berada di puncak perindustrian. Penduduknya ketika itu telah mencapai 400,000 orang dan semakin bertambah. Bahkan sebelum perindustrian bermula, Wuppertal adalah sebuah kota yang makmur, lebih besar dari Cologne dan sangat padat. 

Jalan-jalan di sana dibina untuk kereta dan pejalan kaki dan tidak ada tempat untuk meletakkan trek untuk trem tanpa menyebabkan kesesakan serius. Sementara itu, pembinaan trek bawah tanah juga tidak boleh dilakukan kerana kawasan itu sangat berbatu dan berisi banyak air bawah tanah.

Disebabkan masalah-masalah ini, maka jurutera Jerman memutuskan bahawa mengambil jalan udara adalah satu-satunya cara untuk merealisasikan pembinaan sistem pengangkutan awam ini. Pembinaan Wuppertal Schwebebahn bermula pada tahun 1898 dan ujian pertama operasinya dilakukan pada tahun yang sama.

Pada tahun 1900 Kaiser Wilhelm II dari kerajaan Jerman adalah salah seorang pelawat rasmi pertama yang melakukan perjalanan menggunakan kereta api tergantung ini. Pada tahun 1901 kemudahan pengangkuan ini telah dibuka untuk orang ramai.

wuppertal schwebebahn

Tanpa disangka, kemudahan kereta api tergantung ini dengan pantas menjadi mercu tanda Wuppertal yang paling terkenal dan setelah 100 tahun, Schwebebahn masih merupakan cara termudah dan terpantas untuk bergerak di sekitar bandar ini. Jarak perjalanan dari hujung ke hujung stesyen hanya mengambil masa sekitar 30 minit.

Kereta api gantung ini bergerak di trek sepanjang 13.3 kilometer. Sebilangan besar trek berjalan di atas sungai Wupper pada ketinggian 12 meter. Jarak sepanjang 3 kilometer antara Wohlwinkel dan Sonnborner Strasse disebut landasan darat yang berjalan di atas jalan pada ketinggian kira-kira 8 meter.

Laluan di atas sungai ini adalah salah satu sebab utama mengapa Schwebebahn terselamat dari Perang Dunia Kedua. Disebabkan laluannya tergantung di atas sungai, Schwebebahn beberapa kali dapat melepaskan diri dari kerosakan bom yang serius dari serangan musuh.

Kemalangan berkaitan Schwebebahn

kemalangan kereta api tergantung 373

Schwebebahn satu ketika dahulu pernah dianggap sebagai medium pengangkutan paling selamat di dunia. Kemalangan maut pertama yang pernah dicatatkan hanya berlaku 98 tahun selepas pembukaannya. Satu-satunya kemalangan maut berlaku pada April 1999 apabila kereta api tergelincir dan terhumban ke sungai Wupper, membunuh 5 penumpang dan menyebabkan 49 orang cedera.

Dalam satu kejadian aneh, seekor gajah bernama Tuffi dibawa menaiki Schwebebahn pada tahun 1950 sebagai aksi pemasaran untuk syarikat Althoff Circus. Malangnya Tuffi tidak menyukai perjalanan itu dan gajah itu mulai bertindak agresif menghentak-hentak kakinya dalam kereta api tersebut.

Tuffi akhirnya merempuh sisi kabin dan terjatuh ke sungai di bawah. Tuffi cedera tetapi bernasib baik terselamat. Hari ini, kejadian itu telah menjadi kisah terkenal dalam sejarah Schwebebahn. Bahkan ada lukisan Tuffi di sebuah bangunan berhampiran tempat di mana gajah itu melompat di antara stesen Alter Markt und Adlerbrücke.

Proses pembaharuan Schwebebahn

kaiserwagen

Kabin Kaiserwagen 

Wuppertal Schwebebahn pada masa ini membawa sehingga 82,000 penumpang sehari. Sejak tahun 1997, kerangka penyokong Schwebebahn telah melalui banyak pembaharuan dan banyak stesen telah dibina semula dan diperbaharui secara teknikal.

Stesen Kluse yang terletak berhampiran di teater di Elberfeld yang musnah semasa Perang Dunia Kedua turut dibina semula semasa fasa pembaharuan ini. Pada 10 November 2011, kontrak dengan syarikat Vossloh Kiepe telah ditadatangani untuk membekalkan  kabin kereta api Generasi 15 atau GTW 15 baru untuk secara perlahan-lahan menggantikan kabin GTW 72 yang sudah usang.

Kabin Kaiserwagen asli, kereta api asal yang digunakan oleh Kaisar Wilhelm II semasa perjalanan ujian pada 24 Oktober 1900 masih digunakan dan dikendalikan untuk perkhidmatan lawatan berjadual terutamanya untuk majlis-majlis khas dan untuk acara sewaan.

Kabin Kaiserwagen yang dipulihkan dengan indah ini menawarkan pengalaman nostalgia unik kepada tetamu dengan tempat duduk empuk, tingkap hiasan emas, lampu dan cakera hiasan Art Nouveau retro yang memisahkan ruang kelas pertama dan kedua. Malah, pelayan kereta api juga berpakaian kostum dan menawarkan perkhidmatan minuman untuk perjalanan yang sangat menyeronokkan.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Laman Rasmi Schwebebahn
  3. Google Sightseeing



Hakcipta iluminasi.com (2017)