Di perairan Sungai Mekong, di bahagian timur Kemboja terdapat sebuah jambatan buluh yang menghubungkan Pulau Koh Pen yang terletak di tengah-tengah Sungai Mekong dengan tebing barat sungai di mana terletaknya kota keenam terbesar di Kemboja iaitu Kampong Cham.
Walaupun diperbuat daripada buluh, jambatan ini menjadi laluan hubungan utama antara kedua kawasan ini. Bukan hanya pejalan kaki sahaja dibenarkan menggunakan jambatan ini. Malah, kenderaan ringan seperti motorsikal dan kereta juga bebas menggunakan jambatan ini dengan selamat.
BESARKAN TEKS A- A+
Dibina dan diroboh setiap tahun
Jambatan buluh ini mempunyai keunikannya yang tersendiri dan menarik ramai pelancong daripada luar untuk datang ke sini untuk melihat keunikan binaannya secara dekat. Jambatan buluh ini dibina setiap tahun pada musim kemarau ketika mana sungai ini terlalu cetek untuk dilalui oleh feri dan kapal besar.
Apabila hampir tiba musim hujan, jambatan ini akan dibuka kembali kerana arus sungai yang terlalu deras akan menghancurkan struktur binaan jambatan ini. Semua kerja pemasangan dan meroboh jambatan ini dilakukan menggunakan tenaga manusia. Buluh yang sudah dibuka ini kemudiannya akan disimpan atau diguna semula untuk projek pembinaan di tempat lain.
Apabila musim hujan kembali, jambatan buluh ini tidak lagi kelihatan disitu. Oleh itu, feri dan bot akan kembali menjadi medium pengangkutan utama yang akan menghubungkan kedua-dua kawasan ini.
Proses pembinaan jambatan buluh
Apabila paras air sungai mula berkurangan dan arusnya semakin perlahan, pembinaan semula jambatan ini akan dilakukan. Pada mulanya, buluh-buluh akan dipacakkan secara menegak untuk membentuk struktur utamanya. Kemudian, beberapa buluh tambahan akan diikat secara menyilang padanya untuk memperkukuhkan tiang jambatan ini.
Bahagian lantainya juga diperbuat daripada buluh yang disusun secara rapat. Walaupun daripada jauh jambatan ini kelihatan seperti batang mancis yang disusun, ianya sangat kukuh dan boleh menampung kenderaan ringan seperti kereta dan motorsikal.
Tarikan utama pelancong dari luar
Setiap tahun, ribuan pelancong daripada luar datang ke Kampong Cham untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman meniti jambatan buluh ini. Caj dikenakan untuk setiap orang yang melalui jambatan ini namun ianya tidaklah terlalu mahal. Pelancong pastinya teruja dan berdebar untuk melalui sendiri jambatan unik ini.
Bagi penduduk tempatan, caj yang dikenakan hanyalah sekitar 100 riel, bersamaan lebih kurang 10 sen sahaja dalam nilai Ringgit Malaysia. Namun, bagi pelancong luar cajnya adalah 40 kali ganda daripada kadar caj yang dikenakan oleh penduduk tempatan. Oleh itu, caj bagi pelancong luar adalah sekitar 4 ringgit.
Setiap hari, jambatan ini mampu mencatatkan kutipan sebanyak 1 hingga 2 juta riel. Wang yang dikutip ini biasanya akan digunakan kembali untuk proses membaik pulih, memasang dan merobohkan jambatan ini setiap tahun yang menelan belanja sekitar $50,000 hingga $60,000 setiap tahun.
Pembinaan jambatan konkrit kekal
Walaupun jambatan buluh ini sudah menjadi identiti dan tarikan utama Kampong Cham selama puluhan tahunnya, terdapat cadangan bagi pembinaan jambatan konkrit kekal bagi menggantikan jambatan buluh ini.
Apabila siap, jambatan konkrit ini akan membolehkan kenderaan seberat 30 tan untuk melaluinya berbanding hanya 4 tan sekiranya menggunakan jambatan buluh. Walau bagaimanapun, terdapat kelebihan dan kekurangan apabila jambatan konkrit tersebut benar-benar siap kelak.
Bagi penduduk di Pulau Koh Pen, mereka pastinya gembira dengan pembinaan jambatan konkrit ini kerana ianya lebih selama dan mereka boleh memandu lebih laju di atasnya. Berbanding jambatan buluh, kenderaan dikehendaki memandu perlahan kerana pergerakan kenderaan akan menghasilkan gegaran yang boleh membahayakan pengguna yang lain.
Namun, pembinaan jambatan konkrit ini akan menyaksikan penurunan drastik pelancong luar ke kawasan ini, seterusnya memberi impak negatif kepada ekonomi penduduk tempatan.
Kredit: