Jambatan adalah satu struktur yang dibina pada asalnya bertujuan untuk memudahkan proses menyeberangi jalan ataupun sungai. Ia dibina sejak ribuan tahun dahulu, dan seni binanya semakin berkembang sehingga kini.
Disebalik menjadi alat penghubung, jambatan juga dijadikan sebagai satu struktur seni bina untuk menarik pelancong dan bukti bagi kehebatan teknologi masa kini. iluminasi.com ingin berkongsi antara 7 jambatan paling pelik di dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Gateshead Millennium Bridge
Sering kali dirujuk sebagai "Jambatan Mata Berkelip" kerana bentuknya dan kaedah pencondongnya., struktur pelik dan ajaib ini terletak di Newcastle upon Tyne, England. Bentuk dan struktur menarik ini adalah hasil buah fikiran arkitek dari firma WillkinsonEyre dan jurutera struktur, Gifford.
Jambatan yang menerima anugerah 2002 Royal Institute of British Architects Stirling Prize boleh bergerak dan mengubah strukturnya, dan direkabentuk khas untuk pejalan kaki dan penunggang basikal.
Ia digerakkan oleh sistem hidraulik yang memutarkan jambatan ini ke atas dan membenarkan kapal-kapal kecil melaluinya. Jambatan sepanjang 126 meter ini menelan kos belanja sebanyak RM117 juta.
2. Newport Transporter Bridge
Newport Transporter Bridge yang terletak di United Kingdom ini adalah sejenis jambatan pengangkut yang digunakan untuk membawa penumpang dan kereta dari satu sisi Sungai Usk (Newport) kepada yang lain. Ia adalah satu daripada beberapa jambatan jenis ini sahaja yang pernah dibina.
Terdiri daripada bingkai yang kuat dan merangkumi panjang 236 meter, jambatan ini sangat menarik untuk ditonton, kerana sangat jarang ditemui membuatkannya ia berada dalam senarai ini.
Jambatan ini mampu mengangkut kenderaan sebesar lori, walaupun ianya popular dikalangan pejalan kaki. Ia dibuka pertama kali pada tahun 1906.
3. Laguna Garzon Bridge
Jambatan ini dikatakan pelik disebabkan berbentuk bulatan lengkap. Terletak di Garzón, Uruguay, jambatan ini direka bentuk oleh arkitek terkenal, Rafael Vinoly.
Ia sengaja dibina berbentuk bulatan untuk memaksa pemandu supaya memperlahankan kelajuan pemanduan dan juga membolehkan pejalan kaki mengaksesakses sepanjang jambatan ini.
4. Rolling Bridge - London
Rolling Bridge yang terletak di Paddington Basing, London ini dibina pada tahun 2004 dan merupakan sebuah jambatan gulung yang sangat unik dan pelik.
Ia menggunakan seksyen segitiga untuk menggulungkan dirinya apabila bot ingin melalui jalan air dibawahnya.
Mekanisma penggulungan ini dikendalikan oleh satu siri pam hidraulik dan silinder, membolehkan ia bergulung dan kembali kepada bentuk asal jambatan.
Pada tahun 2005, jambatan ini memenangi Anugerah Reka Bentuk Struktur Keluli British.
5. Eshima Ohashi - Jepun
Jambatan Eshima Ohashi ini bukanlah jambatan yang boleh digunakan bagi mereka yang takutkan tinggi. Antara aspek yang paling menarik mengenai rekabentuk jambatan ini adalah ia kelihatan tersangat curam daripada sudut-sudut tertentu, yang membuatkan sesetengah orang ragu-ragu untuk menyeberanginya.
Namun tahap kecuraman jambatan ini hanyalah 6.1%. Jambatan curam ini menghubungkan Matsue di wilayah Shimane dengan Sakaiminato di wilayah Tottori menyeberangi Tasik Nakaumi. Ia mengambil masa 7 tahun untuk siap dari tahun 1997 hingga 2004.
6. Slauerhoffbrug - Belanda
Dikenali sebagai "jambatan ekor", Slauerhoffbrug yang bermaksud Jambatan Slauerhoff ini terletak di Belanda. Ia merupakan sejenis jambatan bergerak, dan aspek yang paling menakjubkan mengenai rekabentuk jambatan ini adalah keseluruhan badannya boleh diangkat melalui satu bahagian sahaja.
Ia siap dibina pada tahun 2008 dan sama seperti Jambatan Gateshead Millennium, tujuan pembinaan jabatan seperti ini adalah bagi membolehkan laluan kapal kecil dan hanya menghalang lalu lintas jalan raya beberapa minit sahaja.
Dek jambatan ini dicat dengan kombinasi warna kuning dan biru, melambangkan meterai bandar berdekatan iaitu Leeuwarden. Sesetengah orang menyamakan pergerakan jambatan ini dengan pergerakan penggunaan pemukul lalat.
7. Lucky Knot Bridge - China
Jambatan yang direka dengan bentuk naga berwarna merah terang ini terletak di Changsha, China dibina di atas Sungai Dragon King Harbour.
Bukan sahaja bentuknya yang pelik dan menarik, malah, jambatan ini tidak mempunyai permulaan dan pengakhiran kerana dibina secara tersambung antara satu sama lain, seperti ikatan tali kasut yang mana dijelaskan oleh namanya.
Ia merupakan jambatan pejalan kaki yang mempunyai anak tangga dengan jarak 185 meter dan setinggi 24 meter. Ia dibina oleh pasukan dari Beijing dan Amsterdam dan telah memenangi anugerah rekabentuk.