Standard dunia dalam urusan jual beli sudah tentulah menggunakan sistem matawang.

Sama ada matawang fizikal atau digital, sistem matawang yang dipercayai dimulakan di China sejak abad ke 11BC/SM diramal akan terus menjadi sistem pertukaran rasmi diterima, menggantikan sistem barter yang pernah/masih popular satu masa dahulu.

Walaupun begitu tidak lama dahulu telah berlaku usaha pertama sebuah kerajaan negara untuk menghapuskan sistem matawang. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ini adalah kisah bagaimana kerajaan Kemboja menghapuskan matawang mereka untuk beberapa tahun, yang belum pernah dilakukan mana-mana negara sebelum ini.

Pol Pot mengambil alih tampuk pemerintahan

pol pot 1980 temuramah khmer rouge

Ketika ini, negara Kemboja atau Cambodia merupakan salah sebuah negara yang dikatakan terkebelakang dari segi pembangunan.

Ada bermacam sebab didakwa puncanya, namun tanggapan paling kukuh adalah disebabkan oleh perubahan-perubahan dasar yang dijalankan kerajaan Khmer Rouge, di bawah pemimpin kejam Pol Pot.

Usaha Pol Pot menukarkan Kemboja menjadi sebuah negara komunis sepenuhnya yang menjalankan ideologi mirip Mao Zedong dan Karl Marx menyebabkan berlakunya penentangan masyarakat, yang membawa kepada perang saudara di negara itu.

Setelah perang tercetus beberapa tahun sehinggalah tahun 1975, rejim Khmer Rouge berjaya mengambil alih Phnom Penh menandakan penguasaan mereka dalam kerajaan Kemboja.

Perubahan-perubahan yang diperkenal Khmer Rouge

cambodian genocide the khmer rouge period 1975 1979 refers to the rule of pol pot nuon chea ieng sary son sen khieu samphan and the khmer rouge communist party over cambodia

Sepanjang tempoh 4 tahun daripada 1975 sehinggalah 1979, hampir 1/4 daripada penduduk Kemboja dibunuh mengakibatkan penduduk yang anti Khmer bertindak menyelamatkan diri, ke negara-negara jiran seperti Vietnam dan Thailand.

Ketika memerintah, Pol Pot dan kerajaannya menukarkan nama Kemboja menjadi Kampuchea, memperkenalkan sistem kalendar baru dan membatalkan hak milikan perumahan bersifat peribadi, sebagai usaha menyamaratakan kedudukan setiap individu dalam masyarakat.

Penduduk kawasan bandar di Kemboja dihalau keluar ke kawasan desa bagi memulakan hidup baru sebagai seorang petani atau penanam padi bagi mengubah sistem ekonomi Kemboja ke sistem baru.

Didorong pengalaman pernah hidup dalam sebuah komuniti bebas duit sebelum berkuasa, Pol Pot turut memansuhkan sistem matawang Riel yang telah digunakan negara mereka pada bulan Februari 1975.

Usaha simbolik menghapuskan duit

riel kemboja yang dimansuhkan

Demi memenuhi visi beliau mewujudkan sebuah masyarakat yang sama rata dan tiada pengkelasan, Pol Pot mengisytiharkan bahawa sebarang bentuk aktiviti ekonomi dan perniagaan yang dilakukan secara persendirian membawa hukuman mati.

Setiap individu tidak dibenarkan mempunyai harta milikan sendiri kecuali pakaian, barangan, barang peribadi penjagaan diri dan peralatan untuk makan serta minum yang perlu dibawa setiap kali tiba waktu makan.

Disebabkan dasar baru Kemboja tidak lagi membenarkan mana-mana individu mempunyai apa-apa bentuk milikan peribadi, kesemua harta atau peninggalan masyarakat mereka yang dikumpulkan selama ini hilang nilai dan hakmiliknya.

Ini termasuklah wang ringgit yang telah disimpan hasil titik peluh orang ramai.

Kenapa Pol Pot berbuat begini?

Sejak muda, Pol Pot sangat terpengaruh dengan idea negara komunis mutlak yang mengamalkan sistem sosialisme penuh.

bangunan bank pusat kemboja diletupkan

Salah satu perkara pokok yang dibawa oleh Karl Marx khasnya, adalah penghapusan sistem matawang bagi membolehkan setiap individu dalam masyarakat berada pada kedudukan setara.

Disebabkan oleh pengaruh Russia dan China dalam pembentukan ideologinya, Pol Pot melaksanakan doktrin tersebut demi memenuhi visi yang dirasakan terbaik.

Bangunan bank pusat Kemboja diletupkan oleh pasukan tentera, atas arahan beliau.

Dasar pembangunan empat tahun yang dirancangnya adalah untuk memperkenalkan sistem saksama, di mana setiap individu dibekalkan pakaian, makanan, perumahan dan kebajikan oleh kerajaan beliau bagi membentuk jati diri berkumpulan - dalam usaha melawan ideologi penjajahan di kalangan masyarakat Kemboja.

Setiap orang diberikan 250g beras sebagai makanan sehari, tak lebih, tak kurang.

Kesan langkah penghapusan duit kepada Kemboja

urusniaga di kemboja pasar wang ringgit

Sudah beberapa kali pemimpin komunis lain cuba menjalankan apa yang Pol Pot lakukan.

Russia semasa era pemerintahan kerajaan Bolshevik cuba menghapuskan aktiviti pertukaran dan perniagaan berbentuk persendirian.

Mao Zedong di China juga turut sama cuba menjalankan langkah awal menghapuskan sistem matawang di China, namun menarik kembali rancangan itu berikutan kebimbangan berlakunya rusuhan di kalangan masyarakat.

Pemansuhan sistem matawang mengakibatkan rakyat Kemboja terpaksa mencari jalan lain bagi membolehkan mereka cuba menyesuaikan diri. Aktiviti-aktiviti barter secara haram mula dilakukan, walaupun diisytihar salah.

Sistem itu kekal sehinggalah kejatuhan kerajaan Khmer Rouge.

Kejatuhan Khmer Rouge didalangi kumpulan-kumpulan individu anti kerajaan, dibantu oleh Vietnam yang berang dengan tindakan tentera Kampuchea menyerang beberapa penempatan di bahagian selatan Vietnam dalam beberapa insiden berbeza.

Tentera Vietnam dan pasukan militia Kampuchea United Front berjaya mengambil alih Phnom Penh pada 7 Januari 1979, menamatkan sengsara Kemboja.

Sistem matawang Riel baru kembali diperkenalkan pada tahun 1980, namun kebimbangan terhadap apa yang telah berlaku kepada harta benda mereka sebelum itu - mengakibatkan ramai rakyat Kemboja enggan menerima sepenuhnya sistem matawang kembali.

Emas, matawang asing seperti wang Baht Thailand, Dong Vietnam dan khasnya Dollar Amerika Syarikat yang dilihat sangat kukuh, menjadi pilihan utama. Beras terus menjadi bahan utama dalam urusan barter.

Walaupun sudah hampir empat dekad kejatuhan rejim Pol Pot berlaku - trauma rakyat Kemboja untuk melalui semula pengalaman melihat apa yang telah mereka usahakan lesap sebegitu saja disebabkan dasar baru kerajaan, masih menghantui mereka.

Sehingga kini parutnya masih terasa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)