Apa itu strok? Strok adalah sejenis keadaan dimana kurangnya pengaliran darah ke otak sehingga menyebabkan kematian otak. Otak manusia memerlukan darah yang mengandungi oksigen dan nutrien untuk terus berfungsi.

Kematian atau kekurangan fungsi otak ini kemudiannya akan menjejaskan deria-deria anda seperti pertuturan dan pemahanan. Selain itu, sebelah bahagian tubuh badan akan lumpuh dan pesakit strok juga biasanya akan mempunyai masalah ingatan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di Malaysia, statistik menunjukkan strok merupakan punca kematian ketiga terbanyak di Malaysia selepas sakit jantung dan kanser. Kira-kira 40,000 di Malaysia diserang strok setiap tahun dimana kebanyakannya adalah dari kalangan orang dewasa.

Jenis-jenis strok

jenis strok

Secara umumnya, terdapat dua jenis strok iaitu:

  1. Strok Berdarah (Haemorrhagic Stroke)
  2. Strok Iskemia (Ischemic Stroke)

Strok Berdarah (Haemorrhagic Stroke) terjadi apabila saluran arteri atau pembuluh darah di otak pecah, seterusnya menyebabkan pendarahan berlaku. Hal ini menyebabkan darah meresep masuk ke dalam tisu otak dan merosakkan sel-sel lain yang terdapat pada otak, seterusnya menyebabkan otak tidak dapat berfungsi dengan sempurna.

Strok Iskemia (Ischemic Stroke) pula terjadi apabila saluran darah menjadi sempit akibat daripada kolestrol dan sisa-sisa lain. Keadaan ini akan menyebabkan ketulan-ketulan darah terbentuk, seterusnya mengganggu perjalanan darah ke otak.

Simpton-simptom utama Strok

simptom strok

Sekiranya anda mengesyaki diri anda atau orang terdekat anda mempunyai simptom-simptom berikut, adalah penting untuk pergi ke hospital atau klinik yang berhampiran dengan kadar segera. Rawatan awal terhadap pesakit strok boleh mengurangkan kesan jangka panjang strok dan juga boleh mengurangkan risiko kematian akibat daripada serangan strok.

Pihak American Stroke Association telah menyenaraikan simpton atau tanda-tanda utama strok dengan menggunakan akronim FAST. Apa itu FAST?

F : Face drooping - Satu bahagian muka seolah-olah jatuh ke bawah atau meluyut. Cuba minta seseorang yang disyaki mempunyai strok untuk senyum. Sekiranya satu bahagian sahaja (kiri atau kanan) yang tersenyum sementara satu bahagian lain tidak mampu menunjukkan ekspresi senyum, kemungkinan besar ia adalah akibat strok.

A : Arm Weekness - Lemah atau kebas pada satu bahagian anggota badan badan seperti tangan atau kaki. Untuk menyemak, cuba angkat kedua-dua belah tangan. Adakah kedua-duanya dapat diangkat sama tinggi?

S : Speech difficulty - Kesukaran untuk bertutur dan memahami percakapan. Akibat kerosakan bahagian otak, pesakit strok biasanya akan menghadapi kesukaran untuk bertutur dan memahami percakapan. Cuba minta pesakit tersebut untuk mengulangi ayat-ayat pendek dan mudah. Kenalpasti sekiranya terdapat kesukaran untuk bertutur atau mengulangi ayat yang disebut itu.

T : Time to call - Sekiranya anda dapati seseorang itu disyaki mempunyai strok, sila hubungi bantuan kecemasan dengan segera. Sekiranya anda berkemampuan, bawanya ke hospital atau klinik berdekatan.

Simptom-simpton lain strok

tanda tanda strok

Selain simptom-simptom yang dinyatakan di atas, terdapat juga beberapa simptom lain pesakit ini. Perhatikan sekiranya orang terdekat anda mempunyai tanda-tanda berikut:

1. Kekaburan penglihatan - Pesakit strok kebiasaannya menghadapi masalah penglihatan pada salah satu atau kedua-dua bahagian mata. Hal ini kerana otak yang sudah rosak tidak dapat memproses informasi yang diterima oleh mata.

2. Kesukaran untuk berjalan -Strok bukan sahaja boleh menyebabkan kebas anggota badan, tetapi pesakit juga boleh hilang koordinasi untuk mengimbangkan badan. Bukan sahaja kesukaran berjalanan, malah pesakit strok juga mungkin tidak mampu mengimbangkan badan untuk berdiri. Hal ini disebabkan sistem saraf yang turut sama terjejas akibat kerosakan yang berlaku pada otak.

3. Sakit kepala yang berpanjangan - Dalam kes strok berdarah (Haemorrhagic Stroke), pesakit kemungkinan besar akan merasai sakit kepala yang berpanjangan. Sakit kepala ini bukan seperti pening kepala biasa, tetapi kesakitan yang amat sangat pada bahagian kepala.

pemulihan strok

Sekiranya anda dapati ahli keluarga, rakan atau orang yang berdekatan dengan anda mempunyai tanda-tanda atau simptom-simptom di atas, adalah penting untuk segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

Konsultasi bersama doktor adalah penting bagi memastikan nyawa pesakit strok dapat diselamatan. Selain itu, pesakit juga akan diajar bagaimana untuk mengelakkan serangan strok daripada berulang. Kebiasaannya, doktor juga akan memberikan ubat-ubatan bagi mengurangkan risiko serangan strok daripada berulang.

Di Malaysia, National Stroke Association of Malaysia atau singkatannya NASAM merupakan sebuah organisasi yang membantu pesakit strok untuk pulih melalui pelbagai sesi fisioterapi, terapi cara kerja dan pertuturan. Matlamat utama NASAM adalah membantu pesakit strok membina kembali keyakinan diri agar mereka dapat hidup secara normal dan berdikari.

Kredit:




Hakcipta iluminasi.com (2017)