Kredit foto: New Straits Times

Bob Lokman dalam sebuah perkongsian di laman Facebook mengakui keadaan kesihatannya kini semakin merosot.

Aktor dan penulis lirik berusia 54 tahun itu berkata, dia menyedari hakikat kegembiraan yang dikecapi sudah semakin pudar. 

"Assalamualaikum Sahabat. Aku jumpa doktor lagi hari ni, rutin seorang tua. Selepas segala kegembiraan dan kesedapan aku lalui, standard sudah berubah.

"Selera makanan dan ghairah kehidupan sudah menurun sampai ke peringkat menunggu... Kau fahamlah. Cuma masih ada rasa untuk mencari peluang terbaik seterusnya.

"Sahabat, hari ini kau semua datang kembali dalam realiti, kenangan dan aku mula mengerti bahawa hubungan kita tidak hanya sampai di sini, cuma mungkin aku yang akan mendahului dengan faktor yang aku miliki," tulisnya dalam kiriman berkenaan.

Di kesempatan sama, beliau tidak lupa untuk merakamkan penghargaan atas bantuan yang diterima daripada semua pihak.

Pesan Bob kepada para pengikutnya agar terus memperjuangkan agama Islam.

kesihatan bob lokman merosot kini hanya menunggu 2

Kredit foto: Astro Awani

"Sahabat, terima kasih atas segala bantu dan aku membalas dengan mohon hembuskan aku ke syurga dengan doamu jika namaku gugur dahulu di Lauhul Mahfuz.

"Dan aku berpesan dalam kelemahan... pertahankanlah Islam... kerana itulah benteng terakhir yang aku perjuangkan," katanya.

Para peminat mengunjungi laman sosial bagi memberikan kata-kata semangat selain mendoakan kesembuhan penulis lirik lagu fenomena, Isabella nyanyian Amy (Search) ini.

Terdahulu, beliau yang dilanda masalah jantung bengkak dan paru-paru berair pada awal Januari lalu telah dikejarkan ke UiTM Private Specialist Centre Sungai Buloh untuk rawatan susulan.

Sementara itu, artikel portal Mstar Online bertarikh 5 Januari melaporkan Bob ada menerima sumbangan kebajikan daripada orang ramai.

Malah, saudara mara dan teman rapat juga menghulurkan bantuan kewangan. Habuan pendapatan sebagai penceramah program motivasi yang dijayakannya dimanfaatkan untuk menyara keluarga.




Hakcipta iluminasi.com (2017)