Kredit foto: Instagram Bob
Penyanyi Bob Yusof akui dia pernah berkecil hati dengan dunia hiburan selama 13 tahun penglibatannya.
Ini susulan beberapa single yang dihasilkan sebelum ini tidak mendapat perhatian peminat muzik.
Bagaimanapun penyanyi berusia 36 tahun itu tetap bertekad meneruskan kerjaya seni yang menjadi periuk nasinya.
“Bercakap mengenai suka duka sepanjang bergelar anak seni, tipulah jika saya tak pernah terasa hati. Kalau ikutkan terasa hati, dari dulu lagi saya sudah pulang ke kampung.
“Banyak lagu saya hasilkan, tetapi mungkin ia tidak mendapat sambutan. Saya pujuk hati sendiri, saya tanamkan azam dan tidak boleh berpatah semangat. Ini kerjaya saya, muzik merupakan punca rezeki saya. Saya mahu terus bekerja dan memandang ke hadapan,” katanya yang dipetik daripada laporan portal Astro Gempak.
Meskipun gagal menyandang gelaran juara, Bob memberitahu dia tetap berpuas hati kerana bakatnya kini semakin mendapat perhatian.
“AF Megastar satu pertandingan besar. Ramai yang hebat-hebat. Saya mahu menonjolkan bakat saya. Saya menjadikan konsert mingguan sebagai showcase saya sendiri.
“Mungkin sepanjang 13 tahun, ada yang terlepas pandang dengan bakat saya. Saya percaya yang mereka boleh melihatnya menerusi AF Megastar. Ini masanya untuk saya tampilkan bakat yang saya ada.
“Mungkin ada yang tidak tahu dan selepas AF Megastar, pasti mereka akan tahu. Saya enggan memikirkan gelaran juara kerana bagi saya itu bonus.
“Apa yang penting, saya melakukan yang terbaik. Selesainya AF Megastar, saya rasa berpuas hati kerana misi saya sudah berjaya,” luahnya.
Selesai sahaja AF Megastar, penyanyi itu kini sibuk dengan rangka promosi single terbarunya, Terbuang Dalam Pelukan.
Lagu yang dicipta komposer Hafiz Hamidun itu menampilkan dirinya sendiri sebagai penulis lirik.
Sumber berita: Astro Gempak