Kredit foto: Instagram Bob Yusof

Penyanyi Bob Yusof berhadapan dengan masalah diskriminasi dalam tempoh 13 tahun pembabitannya sebagai anak seni.

Bagaimanapun bekas pelajar Akademi Fantasia 2 itu mengambil pendekatan untuk tidak terlalu memikirkannya.

"Saya akui, diskriminasi itu ada tetapi saya melatih diri untuk tidak menjadikan itu sebagai satu beban.

"Tak perlu saya sebutkan secara terperinci bagaimana diskriminasi tersebut terjadi kerana saya sendiri tidak mahu memikirkannya. Saya mendidik perasaan saya supaya tidak terasa hati.

"Saya sendiri mendidik hati saya agar berpegang teguh kepada rezeki. Semuanya bergantung kepada rezeki. Biarpun ada perbandingan antara saya dengan yang lain, saya terima. Sebagai contoh, jika Allah mahu memberikan saya hanya RM1, saya terima dengan rela hati kerana itu rezeki saya," kata Bob atau nama penuhnya Yusrizan Usop yang dipetik daripada laporan portal Astro Gempak.

Bob membuat kenyataan tersebut usai konsert kemuncak rancangan realiti AF Megastar yang berlangsung Ahad lalu.

Dedah penyanyi berusia 36 tahun ini lagi, ada juga yang sanggup melontarkan kata-kata negatif hingga mampu menjatuhkan semangatnya.

Namun dia sentiasa bersikap terbuka menerima kritikan dengan anggapan masih ada yang menyokong di sebalik insan yang membenci.

"Kata-kata negatif itu wujud. Ada yang pernah berkata 'kau tidak layak berada dalam bidang seni' dan macam-macam lagi.

"Apa yang saya lakukan mudah. Saya sendiri mengambil pendekatan positif. Tidak mengapa, mungkin yang tak suka ada seorang tetapi seribu yang lain pastinya menyokong.

"Ini kerjaya saya, saya akan terus melangkah dengan berlapang dada," katanya lagi.

Mengenai perkembangan terkini, Bob sedang dalam rangka promosi single terbaru ciptaan Hafiz Hamidun berjudul Terbuang Dalam Pelukan.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)