Oleh pada 19 Aug 2021 kategori

Sesuatu yang membezakan sukan lumba basikal dalam velodrom dengan sukan perlumbaan lain adalah permukaan litarnya yang tidak rata, sama seperti seperti trek perlumbaan kereta NASCAR yang turut mempunyai rekaan litar hampir sama.

Velodrom biasanya mempunyai tahap kecuraman yang agak menakutkan di beberapa bahagian selekoh, selain bahagian mendatar yang lebih landai.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahap kecuraman velodrom berbeza-beza mengikut spesifikasinya - membolehkan sesetengah velodrom bersifat lebih condong, memberi lebih cabaran kepada pelumba. Ada juga velodrom yang bersifat rata dibina, tetapi untuk perlumbaan profesional - bentuk ini tidak diterima.

Pernahkah anda terfikir kenapa velodrom berbasikal direka agar landasannya curam dan melengkung pada beberapa bahagian? 

Apakah spesifikasi velodrom yang digunakan?

tahap kecuraman velodrom

Setiap velodrom yang dibina mempunyai perbezaan spesifikasi di antara satu sama lain bergantung kepada beberapa faktor. 

Faktor yang menjadi peranan utama menentukan kecuraman sesuatu litar dalam velodrom adalah kelebaran trek itu sendiri, di mana saiz lebar litar biasanya menentukan tahap kecuraman yang akan digunakan.

Sebuah litar velodrom bertaraf Olimpik haruslah mempunyai jarak 250 meter satu pusingan, dengan kelebaran di antara 7m ke 8m maksima, radius putaran selekoh 19 ke 25 meter dan perlu dipastikan selamat untuk kelajuan pemanduan 85km/j ke 110km/j.

Semua trek velodrom mempunyai beberapa bahagian selekoh yang berbeza tahap kecuramannya, dengan bahagian paling curam terletak di dua bahagian selekoh besar di mana atlet perlu berpusing dinamakan sebagai 'bank'.

Tahap kecuraman di sini mengikut standard antarabangsa bagi trek kejohanan bermula daripada 36 darjah sehinggalah maksima 45 darjah. Ada juga litar yang mempunyai kecuraman 50 darjah, tetapi standard untuk perlumbaan hanya membenarkan maksima 45 darjah.

Jika anda berdiri di atas trek tersebut, pasti sukar untuk anda mengekalkan kestabilan anda kerana titik graviti kita tidak lagi stabil. Tetapi bagi pelumba, kecuraman itu perlu diwujudkan untuk membantu kestabilan bergerak mereka bergerak pada kelajuan tinggi.

Kenapa trek velodrom curam habis?

trek velodrom lumba basikal olimpik

Bayangkan pelumba berlumba di velodrom di atas permukaan trek yang rata mula menghampiri bahagian selekoh, dengan kelajuan sekitar 60km/j.

Apabila tiba di selekoh, semua pelumba yang memilih untuk mengekalkan kelajuan tersebut pasti akan tercampak keluar daripada trek ketika cuba membelok, kerana permukaan rata akan mengehadkan kelajuan yang boleh mereka capai kepada sekitar 45km/j - sebelum pelumba itu hilang kawalan ke atas basikal.

Untuk membolehkan pelumba mengekalkan kelajuan sepanjang perlumbaan berjalan, trek di velodrom di bina curam kerana hanya dengan kewujudan sudut kecuraman yang tinggi akan membolehkan kedua-dua tayar basikal terus melekat di permukaan, tanpa perlu pelumba banyak menyengetkan badan untuk membelok; berbeza dengan trek rata.

Apabila trek itu curam, daya yang terhasil akan melawan tahap kecondongan tubuh seorang pelumba seterusnya mengekalkan kedudukan basikal untuk terus berada pada kedudukan tegak. 

Gabungan tahap kecondongan trek serta kecondongan badan pelumba menghasilkan daya yang dikenali sebagai sentripetal yang menstabilkan basikal, mengekalkan kelajuan serta membolehkan pelumba terus berlumba dengan selamat pada kelajuan tinggi.

Daya sentripetal yang terhasil juga membantu pelumba mengawal hala tuju basikalnya tanpa terbabas, membantu pelumba secara semulajadi melawan daya graviti yang sepatutnya menariknya tumbang.

Dalam erti kata lain, tahap kecondongan velodrom perlu ada bagi memastikan pelumba tidak perlu memperlahankan basikal - kerana basikal trek tidak ada sistem brek.

Beza basikal velodrom dengan basikal jalan raya biasa

track cycling velodrome curam melengkung

Bagi kaki basikal khasnya basikal jalanan, anda sudah tentulah gemar berbicara tentang gear, pedal, set, derailleurs dan sebagainya.

Basikal trek pula jauh lebih mudah perbincangannya kerana basikal trek adalah versi basikal paling ringkas dari segi mekanikal disebabkan tujuannya dibangunkan hanyalah untuk bergerak laju; tidak ada peralatan seperti gear dan brek akan dipasangkan. 

Cara tunggannya juga berbeza. Nak laju? Kayuh. Nak lebih laju? Kayuh lebih laju. Nak perlahan? Perlahankan kayuhan sehinggalah basikal berhenti - bukan menghentikan kayuhan.

Jelas kan perbezaannya berbanding basikal biasa? 

Menunggang sebuah basikal trek semasa perlumbaan memerlukan penunggangnya tidak berhenti mengayuh walau sekali pun kerana tayar basikal trek tidak akan berpusing sekiranya kayuhan dihentikan.

Ini disebabkan sistem basikal trek yang ringkas dengan tujuan untuk meminimakan berat, tidak akan dipasangkan roda bebas (freewheel) dalam kerangkanya seperti basikal-basikal biasa lain.

Apabila tiada kayuhan dibuat, roda akan berhenti berpusing dengan sendirinya. Ini berbeza dengan basikal biasa yang membolehkan roda berpusing walaupun kita dah berhenti mengayuh atau 'coasting.'

Oleh sebab itulah litar terbaik untuk perlumbaan basikal adalah litar yang membolehkan penunggang tidak perlu memperlahankan kelajuannya walau sekalipun ketika membelok semasa perlumbaan.

Faktor-faktor inilah yang menyebabkan trek velodrom perlu dibina dengan tahap kecuraman yang agak menakutkan sekiranya kita berdiri di atas trek.

Landasan curam membolehkan kelajuan dikekalkan pada tahap tinggi dan dalam masa yang sama, memudahkan penunggang membelok tanpa ada yang 'tergolek dog' hanya disebabkan cuba mengambil selekoh pada kelajuan pantas - kerana kaki mereka tidak boleh berhenti mengayuh.

Rujukan

How the velodrome found its form

Science of Cycling Track

Track bike vs road bike: Understanding the differences




Hakcipta iluminasi.com (2017)