Oleh pada 28 Nov 2021 kategori

Masyarakat kita zaman dahulu cukup terkenal dengan koleksi simpulan bahasa, yang bukan saja digunakan dalam seni tulisan bahkan sesuai untuk kegunaan perbualan harian.

Di antara banyak elemen yang dijadikan inspirasi kepada pembinaan simpulan-simpulan bahasa yang ada, salah satu elemen yang cukup kerap serta popular dijadikan simbol - adalah haiwan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkah anda tertanya-tanya wujudkah kebenaran di sebalik tiap simpulan bahasa berteraskan haiwan yang ada? Berikut adalah lima simpulan bahasa serta penjelasan berasaskan sains kenapa penggunaannya sesuai dan kena dengan cara.

1. Rabun ayam

rabun ayam simpulan bahasa

Tahukah anda kenapa kita menggunakan 'rabun ayam' bagi menggambarkan seseorang yang tidak mampu melihat dengan baik, ketika gelap atau waktu malam?

Ini adalah disebabkan oleh sifat ayam sendiri yang memang secara azalinya tidak mampu melihat ketika malam, jauh berbeza dengan penglihatannya pada waktu siang yang teramatlah baik.

Ini disebabkan oleh bebola mata ayam mampu melihat lebih banyak warna ketika waktu siang, tetapi berubah menjadi kurang sensitif dalam situasi gelap ketika 'kurangnya' warna yang perlu mereka lihat.

2. Akal kancil

akal kancil bijak chevrotain

Walaupun belum jelas dari segi saintifik adakah kancil haiwan yang benar-benar 'cerdik', sifat-sifatnya benar-benar menunjukkan ada kepandaian untuk terus hidup dimiliki haiwan kecil ini.

Dikenali dengan nama 'mousedeer' atau lebih tepat lagi 'chevrotain' dalam bahasa Inggeris, kancil paling kecil di dunia datang dari spesis 'Tragulus Kanchil' atau 'Kancil Kecil Malaya'.

Kancil mempunyai kemampuan untuk bersembunyi yang handal, mampu menyelam di dalam air selama lebih 4 minit sekiranya terasa diancam sambil mencari jalan menyelamatkan diri - menggunakan ranting atau dahan sebagai tempat pautan.

3. Otak udang

otak udang simpulan bahasa

Otak udang sering digunakan bagi menggambarkan seseorang yang kurang cekap belajar dan istilah ini juga wujud di kalangan masyarakat barat, dengan penggunaan istilah 'shrimp brain' bagi tujuan serupa.

Dari segi saintifik, perbandingan di antara ukuran badan dengan saiz otak, meletakkan saiz otak udang sebagai antara otak paling kecil nisbahnya, dinamakan dalam istilah saintifik sebagai anterior ganglion.

Tidak jelas kenapa otak udang dikaitkan dengan kebodohan. Mungkin masyarakat zaman dahulu menganggap udang tidak mempunyai otak, disebabkan saiz otaknya yang terlalu kecil. Sedangkan otak udang sebenarnya adalah organ yang kompleks, dibentuk daripada sistem saraf yang lengkap untuk seekor udang menjalani kitaran hidup yang sempurna.

4. Cacing kepanasan

cacing kepanasan simpulan bahasa 915

Kenapa seseorang yang menggelabah atau takut tembelangnya pecah, digelarkan 'cacing kepanasan'? Simpulan bahasa ini datang daripada sifat asal cacing yang memerlukan kawasan lembap setiap masa untuk bernafas.

Cacing bernafas melalui proses pernafasan yang diklasfikasikan sebagai 'diffusion' atau penyebaran, di mana kulit cacing akan menyerap oksigen dari udara setiap masa, serta merembeskan keluar karbon dioksia - semuanya melalui kulit mereka.

Kulit cacing dilindungi oleh sejenis lapisan yang dinamakan sebagai kutikel. Kutikel pula perlu berada dalam keadaan lembap setiap masa, hasil rembesan lendir secara semulajadi.

Apabila cacing terdedah kepada haba matahari, kutikel tadi yang sepatutnya senantiasa lembap akan mula kering mengakibatkan proses penyebaran oksigen dan pengeluaran karbon dioksida tadi terhenti - seterusnya membunuh cacing tersebut.

5. Mulut murai

burung murai magpie simpulan bahasa mulut

Burung murai atau 'magpie' memang cukup terkenal dengan bunyinya yang bukan saja kuat, bahkan menjengkelkan sesiapa saja yang mendengarnya kerana konsisten bersuara. Oleh sebab itu tidak ramai gemar sekiranya adaburung murai bersarang di sekitar kediaman mereka.

Suara burung murai berbeza mengikut jantinanya. Burung murai jantan menghasilkan bunyi yang berbeza serta lebih perlahan, sementara yang betina pula lebih lantang. Nada yang dihasilkan oleh murai, diistilah sebagai 'lagu' atau 'song' dalam lapangan sains, berlaku biasanya di antara 60 ke 70 minit sekali - tanpa henti.

Keunikan lagu yang mampu dihasilkan burung murai terletak pada nada yang dikeluarkan. Dianggarkan murai mampu menghasilkan lebih 30 jenis nada bergantung kepada situasi ketika itu, sama ada marah, sedang cemas, takut, memanggil kawanan lain, memberikan amaran kepada kawanannya dan pelbagai keadaan berbeza.

Kekuatan maksimum bunyi yang terhasil oleh burung murai, setakat yang pernah diukur pernah mencapai di antara 80 dB (ibarat bunyi mesin rumput) sehinggalah 127 dB - laksana seperti sebuah motorsikal yang memecut laju.

Jika anda pernah digelar 'mulut murai', percayalah - itu bukanlah satu gelaran yang anda patut banggakan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)