Oleh pada 05 Apr 2021 kategori

Pasti ramai yang pernah mendengar atau terbaca mengenai simpulan bahasa "Gajah Putih". Mengikut kamus, Gajah Putih mempunyai dua makna. Secara harfiahnya, Gajah Putih bermaksud "gajah albino" yang banyak terdapat di negara-negara Asia Timur.

Manakala dari sudut kiasannya pula, Gajah Putih bermaksud "perbuatan yang sia-sia, membebankan atau merugikan". Sebab itulah kita sering mendengar ungkapan "Projek Gajah Putih" yang merujuk kepada projek besar yang merugikan atau sia-sia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Malah, istilah "Gajah Putih" juga sering merujuk kepada sebarang pemilikan yang membebankan, mahal dan jauh lebih menyusahkan pemiliknya berbanding nilai sebenarnya.

Antara projek "Gajah Putih" yang terkenal adalah seperti stadium-stadium Olimpik yang dibina di seluruh dunia. Biasanya, stadium yang menelan belanja ratusan juta ini akan terbengkalai selepas berakhirnya sukan Olimpik.

Sebenarnya, di Malaysia juga terdapat banyak "Projek Gajah Putih" di mana projek itu menelan belanja yang besar tetapi gagal memenuhi manfaatnya sama ada ia terbengkalai atau tidak digunakan sebaik-baiknya. Malah, negara barat juga menggunakan kiasan "White Elephant" untuk merujuk kepada senario yang sama.

Namun, dari manakah datangnya asal-usul perkataan "Gajah Putih" atau "White Elephant" ini?

Gajah Putih sebagai haiwan suci

lukisan gajah putih

Istilah ini berasal dari gajah putih (bukanlah putih seperti kapas tetapi berwarna merah jambu) atau yang lebih cerah warnanya berbanding gajah-gajah biasa. Gajah putih dianggap sebagai haiwan suci dan biasanya dipelihara oleh raja-raja zaman dahulu di kerajaan kuno yang terdapat di Burma, Thailand, Laos dan Kemboja.

Ini kerana kos memelihara gajah putih ini amat tinggi. Selain dihormati dan dipuja, terdapat undang-undang purba yang mengharamkan gajah putih digunakan sebagai haiwan perang atau untuk melakukan sebarang kerja.

Mengapa haiwan ini dianggap suci? Sebenarnya, kisah gajah putih ini mempunyai kaitan dengan cerita tradisional mengenai kelahiran Buddha.

sejarah asal usul simpulan bahasa gajah putih

Buddha Shakyamuni (Siddhartha Gautama Buddha) dilahirkan sebagai putera raja pada tahun 624 SM di sebuah tempat bernama Lumbini (kini Nepal). Ibunya bernama Ratu Mayadevi manakala ayahnya pula adalah Raja Shuddhodana.

Pada suatu malam, Ratu Mayadevi bermimpi bahawa seekor gajah putih turun dari syurga dan memasuki rahimnya. Dipercayai bahawa mimpinya itu bermaksud pada malam itu dia mengandungkan seorang anak yang merupakan makhluk suci dan hebat.

Gajah yang turun dari syurga itu menunjukkan bahawa anaknya itu berasal dari syurga Tushita iaitu Tanah Suci Buddha Maitreya.

Asal-usul kiasan Gajah Putih

gajah putih haiwan suci

Melalui kisah inilah gajah putih mempunyai hubungan khas dengan monarki Siam (Thailand) dan Burma. Pemilikan gajah putih ini masih dianggap sebagai simbol kekuasaan dan kehebatan raja dan kerajaan sehingga hari ini.

Pada zaman pemerintahan monarki Siam purbalah bermulanya kiasan "Gajah Putih" yang popular digunakan pada hari ini.

Dikatakan bahawa seorang raja kuno Siam gemar memberikan seekor gajah putih sebagai hadiah kepada musuh-musuhnya atau orang yang tidak disukainya. "Hadiah" diraja ini tidak boleh ditolak kerana akan dianggap menderhaka kepada raja.

Namun, gajah putih yang dianggap suci ini tidak boleh digunakan untuk bekerja atau berperang. Bahkan, haiwan ini juga memerlukan penjagaan khusus sama ada dari segi makanan, cara hidup dan tempat tinggal.

Penerima biasanya terpaksa menghabiskan wang yang begitu banyak hanya untuk menjaga hadiah gajah putih yang diberikan raja sehingga terbeban dari segi ekonomi tetapi tidak menguntungkan.

Raja Siam itu sengaja memberi "hadiah" itu sebagai salah satu cara menyusahkan musuh dan orang yang tidak disukainya. Raja akan berasa terhibur melihat penerima gajah putih gagal dalam memelihara "hadiah" mereka itu.

Pada hari ini, Thailand masih mengekalkan Kandang Gajah Diraja yang dilengkapi dengan 10 ekor gajah putih. Malah, gajah putih juga masih digunakan pada panji Angkatan Laut Diraja Thailand.

Istilah Gajah Putih juga popular di Barat

projek gajah putih

Salah satu projek Gajah Putih di Malaysia

Di Barat, istilah "Gajah Putih" juga merujuk kepada maksud yang sama. Ia pertama kali digunakan pada tahun 1600-an dan menjadi popular pada tahun 1800-an.

Salah satu sumber popular dikaitkan dengan istilah ini ialah melalui pengalaman P. T. Barnum dengan seekor gajah putih bernama Toung Taloung yang digelarnya sebagai "Gajah Suci Burma".

P. T. Barnum menghabiskan begitu banyak usaha dan wang demi mendapatkan gajah putih untuk pamerannya tetapi mendapati sebenarnya gajah itu cumalah berwarna kelabu bercampur merah jambu atau cerah berbanding gajah-gajah biasa.

Seiring dengan peredaran zaman, istilah “Gajah Putih” kini lebih banyak merujuk kepada projek pembangunan yang menelan belanja besar tetapi merugikan. Hal ini mungkin disebabkan ketiadaan sarkas yang mahu lagi membeli mana-mana gajah putih.

Rujukan:

1. Asal-usul istilah Gajah Putih

2. Apa itu projek Gajah Putih

3. Gajah Putih - Hadiah dan sumpahan




Hakcipta iluminasi.com (2017)