Jika anda membaca mana-mana perkongsian, pandangan dan perspektif masyarakat berkenaan mesin basuh, ramai yang mendambakan diri untuk memiliki mesin basuh muatan depan.

Kita semua tahu ada kategori utama mesin basuh yang dijual dalam pasaran iaitu 'front load' atau muatan depan dan juga 'top load' atau muatan atas. Mesin muatan depan dilihat mempunyai prestij yang lebih baik, menjadi idaman suri rumah serta kadangkala...juga dilihat sebagai satu simbol kepada status pendapatan sesebuah keluarga.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adakah ini semua hanyalah persepsi tanpa bukti atau memang benar mesin basuh jenis muatan depan LEBIH BAIK berbanding muatan atas? Jom kita pelajari serba sedikit tentang topik ini.

Kelebihan mesin muatan depan

front load washing machine

Walaupun harganya semakin menurun berbanding 10 ke 20 tahun dahulu, mesin basuh muatan depan tetap ada reputasi yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan mesin basuh muatan atas.

Ini kerana persepsi kita percaya mesin basuh muatan depan mencuci lebih baik serta mampu menanggalkan kesan kotoran dengan lebih berkesan. Selain itu, ciri-ciri spesifikasi mesin basuh muatan depan juga dikatakan lebih efisien, tidak menggunakan banyak air, tenaga elektrik dan juga sabun untuk mencapai cucian optimum.

Satu kelebihan yang sering dikatakan menjadi penyebab utama mesin sebegini dipandang tinggi, adalah kaedah cuciannya. Pemutar yang ada pada mesin basuh muatan depan dikatakan lebih mesra pada fabrik, tidak merosakkannya dan lebih sesuai untuk bahan gentian yang sensitif.

Selain itu rekaannya pula mudah untuk disusun, di mana kita boleh meletakkan mesin pengering jika ada, di atasnya - memudahkan kita menjimatkan ruangan rumah.

Kebaikan mesin basuh muatan atas

mesin basuh muatan atas

Berbeza dengan mesin muatan depan, mesin basuh muatan atas pula menawarkan faedah yang berbeza dan bersifat lebih praktikal.

Masa cuciannya khususnya dalam mod standard dapat dijalankan dalam kadar lebih pantas, menjimatkan masa dan membolehkan anda segera mendapatkan pakaian seandainya anda dalam keadaan tergesa-gesa.

Muatannya pula biasanya lebih besar, dengan kapasiti 8 ke 12 kg sudah menjadi satu kebiasaan berbanding mesin basuh muatan depan yang biasanya terhad kepada 7kg pada model asas. Kapasiti lebih tinggi ini membolehkan kita membasuh lebih banyak pakaian dalam satu-satu masa.

Daripada aspek ergonomiknya pula, mesin basuh muatan atas lebih mudah dikendalikan kerana kita tidak perlu membongkok untuk memasuk atau mengeluarkan pakaian. Sakit belakang pun kurang.

Kos permulaannya juga lebih rendah, di mana kita sudah boleh memiliki mesin basuh muatan atas pada harga yang lebih mampu milik jika dibanding dengan mesin basuh muatan depan.

Adakah mesin basuh muatan depan membersih lebih baik?

pro and cons of top load or front load washing machine

Untuk menjawab soalan ini...YA! Secara saintifiknya, memang mesin basuh muatan atas mencuci lebih baik dan perkara ini tidak boleh disangkal.

Kaedah cucian mesin basuh muatan depan jauh, jauh, jauh lebih efektif berbanding muatan atas, kerana rekabentuknya yang 'melambungkan' pakaian dalam tab membolehkan pakaian berlanggar antara satu sama lain adalah berkesan untuk mencuci kotoran degil.

Rekaan dram atau tab air yang melintang dan berputar itu sangat membantu cucian; berbeza dengan rekaan tab mesin basuh muatan atas yang menegak dan pakaian tidak mampu dilambungkan semasa dicuci.

Semua ujian berkaitan perbezaan kedua-dua jenis kategori mesin ini menampakkan hasil yang serupa dan tidak boleh disangkal - memang mesin basuh muatan depan mencuci lebih baik.

Sebab itulah mesin ini menjadi idaman ramai. Tetapi...

Sesuaikah kehidupan saya dengan mesin basuh muatan depan?

ergonomik mesin basuh muatan depan

Hendak hidup dengan sebuah mesin basuh muatan depan, ada beberapa kelemahan yang ketara. Yang pertama dan sudah kami suarakan di atas, memasuk atau mengeluarkan pakaian pasti lebih sukar kerana kita perlu membongkok.

Yang kedua, mesin basuh muatan depan memerlukan kita rajin mencucinya supaya memastikan bahagian-bahagian yang lembap tidak berkulat. Kalaulah kita ni jenis suka letak sabun lebih memang lagi cepatlah kulat naik pada mesin milik kita.

Masalah ketiga dan paling utama, mesin basuh muatan depan ni sensitif sekiranya kita memasukkan pakaian melebihi muatan ditetapkan. Jadi ada masanya kita perlu membahagikan pakaian kotor kita untuk dibasuh dalam 2 atau 3 pusingan berbeza, hanya untuk memastikan had muatan dipatuhi.

Mekanisme putaran mesin basuh muatan depan lebih sensitif dan lebih manja berbanding mesin basuh muatan atas, sekiranya dimasukkan beban lebih.

Paling penting, kena ingat - semua mesin basuh muatan depan pintunya dibuka ke depan bukan ke atas. Jadi pastikan kediaman anda ada ruangan yang cukup untuk membolehkan pintu dibuka sepenuhnya. Luculah kalau anda dah beli mesin, tapi tengok-tengok sebab ruangan sempit, pintu hanya boleh dibuka separuh.

Susahlah anda nak masuk atau keluarkan baju dengan selesa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)