Jika anda pernah melancong atau mengembara ke luar negara yang beriklim sejuk ketika musim sejuk, kemungkinan besar anda pernah melihat salji yang memenuhi jalan. Bukan itu sahaja, mungkin anda juga pernah terlihat trak-trak yang melakukan kerja menaburkan "garam jalan" di atas jalan-jalan dan lorong-lorong.

Jika ais ini tidak dihapuskan, jalan raya akan menjadi bahaya untuk kegunaan orang ramai kerana tiada daya geseran. Ini memudahkan kemalangan untuk berlaku.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi, bagaimana ini berfungsi?

Pertamanya, garam jalan ini adalah "halite" atau garam batu, yang merupakan garam biasa dalam bentuk semulajadinya.

Beza di antara garam biasa yang kita gunakan dalam masakan dengan garam jalan adalah garam biasa melalui proses pembersihan yang lama, sedangkan garam batu tidak.

Dan disebabkan garam batu masih mempunyai kekotoran, maka ia berwarna coklat atau kelabu.

Kenapa gunakan garam?

trak sedang menaburkan garam di atas jalan raya 690

Ais terbentuk apabila suhu air mencapai 0° Celsius dan ini termasuklah ais di jalan raya. Garam jalan berfungsi dengan menurunkan titik beku air melalui proses yang dipanggil "penurunan titik beku".

Titik beku air secara semulajadi menurun sebaik sahaja garam ditambahkan, jadi garam ini membuatkan air lebih sukar untuk membeku.

Cecair dengan 10% garam membeku pada suhu -6° C dan cecair dengan 20% garam membeku pada suhu -16° C.

Apa yang penting adalah mesti ada sekurang-kurangnya sedikit air di jalan untuk proses penurunan titik beku ini untuk berlaku. 

Itulah sebabnya trak-trak akan terlebih dahulu merawat jalan dengan menaburkan larutan garam (campuran garam dan air) 12 hingga 48 jam sebelum salji turun dan membentuk ais di jalan.

Sekiranya jalan-jalan kering dan dan garam ditaburkan ke atasnya, ia mungkin tidak akan memberikan sebarang perubahan.

larutan garam ditaburkan di atas jalan 12 hingga 48 jam sebelum salji turun

Namun, melakukan kerja-kerja pra-rawat dengan air garam dapat membantu menghalang pembentukan ais, sekaligus membantu mengurangkan jumlah garam yang diperlukan untuk ditaburkan di atas jalan apabila ais terbentuk. 

Kebaikan dan keburukan penggunaan garam batu

Garam batu adalah salah satu yang paling banyak digunakan untuk tujuan ini. Namun, ia mendapat kritikan tersendiri. Antara sebabnya adalah garam batu mempunyai had.

Jika suhu jalan rendah daripada -9° C, garam tersebut tidak akan memberi apa-apa kesan kepada ais. Garam yang dalam bentuk pepejal ini tidak dapat untuk masuk ke dalam struktur ais bagi memulakan proses pelarutan.

garam batu digunakan untuk mencairkan ais di atas jalan

Dalam hal ini, pihak berkuasa biasanya akan menaburkan pasir di atas ais bagi mewujudkan geseran.

Garam batu juga boleh menyebabkan masalah alam sekitar, termasuk natrium dan klorin yang meluap ke dalam tanah dan air.

Dan seperti yang telah disebutkan sebelumnya, disebabkan garam batu tidak dibersihkan dan mengandungi bahan pencemar  termasuk plumbum, besi, aluminium dan fosforus, bahan-bahan ini juga akan tersebar ke alam sekitar.

Walau bagaimanapun, garam batu masih yang paling banyak digunakan dan dengan kos yang rendah.

Dan walaupun terdapat bahan kimi lain yang boleh digunakan untuk mencairkan ais, namun tiada yang bebas daripada risiko alam sekitar. 

Rujukan:

1. Kenapa Garam Batu Ditaburkan Ke Atas Jalan Berais

2. Garam Batu vs Garam Masakan Untuk Cairkan Ais

3. Garam Digunakan Untuk Cairkan Ais




Hakcipta iluminasi.com (2017)