Duduk di Malaysia, isu-isu politik serta melakukan kritikan terhadap kerajaan adalah hobi masa lapang ramai rakyat Malaysia.

Tidak dapat dinafikan memang ada masalah dan isu di negara tercinta kita ini, yang layak dikritik - tetapi realitinya, masalah dasar pemerintah yang kita perlu hadap di Malaysia masih lagi damai berbanding banyak negara luar.

Khasnya negara seperti Turkmenistan, yang cukup terkenal dengan pelbagai keanehan berpunca daripada dasar kerajaan yang mungkin digarap kurang cermat atau diperkenal hanya untuk memuaskan nafsu sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Ibu kota mewah yang serba-serbi mahal

asghabat negara pelik

Asghabat, ibu negara Turkmenistan merupakan sebuah bandar mewah yang diwarnai warna putih sebagai penghias bangunan-bangunan gergasi yang ada di sana.

Malang bagi warga Turkmenistan, Asghabat yang indah dari segi susunan batu marmar putihnya terkenal sebagai 'bandar mati termahal dan terindah di dunia,' disebabkan oleh kos sara hidup tertinggi di dunia bagi mereka yang ingin tinggal di sana - meninggalkan Hong Kong di tempat kedua.

Bagaimanapun, kos sara hidup tinggi Asghabat bukan berpunca daripada pembangunan, sebaliknya disebabkan oleh masalah inflasi yang menjerat ekonomi penduduk setempat. Sumber bahan-bahan asas seperti roti, tepung, minyak dan telur yang diselia bekalannya oleh kerajaan Turkmenistan juga dikatakan sukar diperolehi.

Walaupun begitu, kerajaan Turkmenistan menafikan berlakunya masalah ini.

2. Bandar yang memegang beberapa rekod dunia

turkmenistan bandar batu marmar putih

Berdepan masalah bekalan makanan tidak menghalang kerajaan Turkmenistan menggiatkan usaha untuk menjulang Asghabat, melalui kaedah yang berbeza.

Peruntukan kerajaan dikeluarkan untuk memastikan Asghabat menjadi bandar utama di dunia yang memegang pelbagai jenis rekod dunia kendalian Guinness World of Records.

Selain bergelar bandar yang mempunyai binaan terbanyak menggunakan marmar putih di dunia - Asghabat juga mempunyai binaan berbentuk bintang terbesar dunia, roda berputar gergasi dalaman terbesar dunia, jumlah kolam awam terbesar dunia serta banyak lagi rekod dunia yang hanya akan membuatkan kita menggelengkan kepala.

3. Pemerintah mewujudkan kalendar sendiri

kalendar turkmenistan

Pada bulan Ogos tahun 2002 semasa pemerintahan Presiden Saparmurat Niyazov, kerajaan Turkmenistan atas arahan Niyazov menukarkan sistem kalendar negara itu kepada sistem yang dibangunkan Presiden Niyazov sendiri.

Tidak ada apa yang aneh berkenaan usaha itu kerana memang ada negara yang mengamalkan sistem kalendar sendiri, tetapi Niyazov bertindak menamakan salah satu bulan iaitu bulan April sempena nama ibunya Gurbansoltan yang meninggal dunia pada tahun 1948.

Selain itu Niyazov juga menamakan semula bulan September sebagai 'Ruhnama', sempena buku tulisan beliau. Belum cukup aneh? Bagi memperingati ibu yang beliau sangat kasihi, Niyazov juga mewajibkan penggunaan kata nama 'Gurbansoltan', nama ibu beliau sebagai pengganti nama 'roti.'

Selepas kematian beliau pada tahun 2006, penggunaan kalendar pro-Niyazov ini ditarik semula dan digantikan dengan kalendar biasa berdasarkan bahasa Turkmen.

4. SUBSIDI! SUBSIDI! SUBSIDI!

turkmenistan subsidi

Berikutan kekayaan sumber alam iaitu hasil petroliam yang melimpah ruah di Turkmenistan, apa yang dipungut juga dapat disebarkan kepada orang ramai dalam membantu memperbaiki kehidupan mereka.

Pada tahun 1993, Presiden Niyazov melakukan pengisytiharan subsidi kepada semua rakyat Turkmenistan di mana semua isi rumah akan diberikan 34 kw elektrik dan 50 kubik meter gas asli untuk memasak selama sebulan serta 250 liter air bersih - secara percuma.

Selepas mengambil alih kuasa ekoran kematian Niyazov pada tahun 2006, Presiden Gurbanguly Berdymukhamedov yang kini masih memegang kuasa memperkenalkan subsidi tambahan 120 liter petrol/diesel untuk pemandu kereta, 200 liter untuk pemandu kenderaan berat dan 40 liter untuk penunggang motorsikal bermula bulan Februari 2008.

Bagaimanapun selepas berdepan masalah ekonomi yang meruncing disebabkan ketiadaan negara yang sudi membeli hasil minyak mereka, Berdymukhamedov melakukan pengumuman rancangan pemberhentian semua subsidi pada tahun 2017.

Tindakan itu diambil selepas Berdymukhamedov memecat dua menteri kabinet, pengarah jabatan cukai negara serta timbalan perdana menteri negara itu yang didakwa gagal mengurus ekonomi negara dengan betul serta meneruskan dasar subsidi yang membebankan......walaupun dia yang memperkenalkan subsidi minyak kenderaan sebelum itu.

Dekri berkenaan penarikan semula subsidi itu diumumkan secara rasmi pada tahun 2019.

5. Tiada jangkitan Covid-19 di Turkmenistan!

turkmenistan covid sifar

Tahukah anda salah satu perkara paling aneh yang berlaku semasa kita sibuk melawan pandemik Covid-19, adalah melibatkan kerajaan Turkmenistan?

Turkmenistan merupakan antara salah satu daripada lima negara yang belum melaporkan sebarang jangkitan virus corona berlaku di negara mereka. Anda bukalah mana-mana laman web pengumpulan data berkaitan Covid-19, sehingga kini Turkmenistan masih mencatatkan angka SIFAR.

Tiga negara sifar lain melibatkan negara kepulauan sementara satu lagi adalah Korea Utara.

Apa yang sangat membimbangkan, maklumat yang dilaporkan dari dalam negara itu melalui aktivis bebas serta jurnalis menceritakan berkenaan kepayahan yang dialami semua penduduk Turkmenistan - berhadapan gelombang demi gelombang pandemik, mengakibatkan kapasiti penuh di hospital dengan jumlah kematian yang tidak dilaporkan.

Kerajaan Turkmenistan memilih untuk tidak mengiktiraf usaha masyarakat antarabangsa dalam melawan pandemik, selain menyembunyikan semua informasi berkenaan kes dan kematian melibatkan warga mereka - walaupun jiran mereka seperti Iran melaporkan jumlah kes yang besar.

Lebih menakutkan, kerajaan Turkmenistan bukan sahaja enggan mengambil sikap terbuka malahan menafikan berlakunya kes-kes jangkitan Covid-19 di negara mereka, menyatakan semua itu berita palsu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)