Oleh pada 17 Nov 2022 kategori

Media sosial membolehkan ramai orang yang sebelum ini tidak diberikan perhatian, mempunyai platform untuk 'meluahkan' diri mereka kepada orang awam. Ada banyak perbuatan aneh yang dilakukan manusia demi mengejar 'like' dan 'followers.'

Satu perbuatan pelik yang popular dilakukan segelintir pempengaruh, adalah kewujudan makhluk yang sengaja merakamkan detik diri mereka mengeluarkan kentut dalam pelbagai situasi untuk tatapan orang ramai. Penggemarnya...ramai. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Trend ini malangnya sudah jadi ikutan, sehingga mewujudkan 'ratu-ratu kentut' di internet, yang tugasnya kentut untuk menjana pendapatan.

Kenapa mereka gemar merekodkan reaksi sendiri selepas melepaskan angin?  Persoalan lebih besar - kenapa kita pun sebenarnya suka bau kentut sendiri? Ye kan?

Jangan tipulah.

Aroma busuk yang digemari ramai

buang angin dalam air

Kami tidak ingin memperjelaskan kenapa manusia perlu kentut.

Sudah ada beberapa artikel kami memperincikan topik tersebut dengan mendalam. Jadi mari terus melompat kepada penjelasan kenapa kita suka bau kentut sendiri? Sains sudah membuktikan sebusuk mana pun kentut kita, kita memang cenderung untuk menyukai aromanya. Ini kerana sistem deria bau kita sudah terbiasa dengan bau yang terhasil daripada badan kita sendiri. 

Sama seperti keinginan kita untuk menggemari atau lebih menyukai sesuatu yang dekat dengan kita, seperti bantal atau selimut yang sering kita guna, pewangi yang kita kenakan setiap hari dan juga bau sabun yang kita gemari; kita menyukai bau kentut kita kerana bau itu adalah 'bau kita.'

Untuk memahami secara lebih terperinci kenapa situasi sebegitu berlaku, ada proses sains yang terjadi di sebalik semua yang merungkap misterinya. Mari kita pelajari prosesnya.

Keperluan menghidu kentut sendiri

bau kentut suka selesa

Kandungan gas yang dilepaskan semasa kita kentut, sebenarnya mempunyai kandungan 99% gas yang tidak berbau.

Hanya 1% daripadanya adalah gas hidrogen sulfida yang menyebabkan bau terhasil. Adakah anda salah seorang yang malu-malu kucing secara diam gemar bau kentut sendiri?

Jangan risau. Ada aspek positif kenapa ini perlu berlaku. 

Dalam usus kita, terdapat koloni bakteria yang hidup dengan memakan bahan sulfur yang ada dalam bahan makanan. Proses pencernaan akibat tindakbalas bakteria ini menghasilkan gas sulfida.

Gas yang terhasil walaupun mempunyai bau yang kurang menyenangkan, sebenarnya adalah bukti fungsi perlindungan tubuh kita berjalan.

Apabila sel dalam badan kita terganggu akibat jangkitan misalnya, sel tubuh akan mula menyerap enzim yang diperlukan bagi melindungi mitokondria yang ada dalam badan kita.

Mitokondria adalah struktur dalam sel yang perlu ada untuk menukarkan makanan kepada bentuk yang boleh diserap oleh sel.

Ketika proses ini berlaku, gas hidrogen sulfida akan terhasil hasil tindak balas sistem tubuh mempertahankan mitokondria, yang menjadi benteng terawal tubuh melawan jangkitan yang ada.

Itulah sebabnya kentut kita berbau - kerana kentut yang berbau menandakan tubuh kita berfungsi dengan baik. Kilang yang ada dalam usus kita sedang bekerja untuk untuk melindungi kita.

Hasil daripada semua proses ini terhasillah kentut. Gas yang terhasil daripada tubuh kita ini bersifat unik, di mana hanya kita saja mampu menghasilkan gas berbau sedemikian rupa.

Sebab itulah hanya kita suka bau kentut kita!

Dilema melepaskan kentut di tempat awam

kentut berapi buang angin gas

Satu dilema menyeramkan yang dihadapi semua orang, adalah memilih cara kentut yang berkesan agar sesuai dengan situasi khususnya ketika berada bersama orang lain.

Ada masanya rasa nak kentut menyerang bila kita duduk dalam lingkungan ramai orang lain dan kita tidak boleh beredar. Dengan purata 14 kali manusia kentut sehari, pasti akan ada masa kita berdepan dilema sebegini; apa perlu kita lakukan?

Untuk menjawab soalan ini kita perlu faham bagaimana bunyi kentut terhasil.

Ramai orang mempunyai salah tanggapan bunyi kentut terhasil daripada getaran yang berlaku di antara kulit punggung disebabkan oleh tekanan angin yang keluar. Tidak.

Bunyi kentut yang terhasil akan bergantung kepada tiga faktor utama iaitu amaun gas yang terhasil, saiz bukaan lubang dubur dan usus besar ketika gas itu perlu dilepaskan dan tekanan yang dikenakan apabila seseorang kentut.

Untuk mengawal amaun gas yang bakal keluar, hanya kawalan tabiat pemakanan perlu dilaksanakan di mana kita perlu mengurangkan makanan seperti brokoli dalam diet kita.

Dua lagi faktor lain bagaimana pula nak menyelianya?

Jika rasa ingin kentut, tenangkan diri dan pastikan lubang dubur anda selesa semasa melepaskannya. Angkat sedikit punggung anda supaya lubang dubur tidak 'tertekan' dengan kerusi atau lantai. Jika anda sedang berdiri, regangkan kaki.

Perlahankan pernafasan anda. Lepaskan sedikit demi sedikit perlahan-lahan serta berdoalah agar tidak ada bunyi yang terhasil kerana bukan semua orang mempunyai kemahiran kentut secara rahsia yang benar-benar tersembunyi.

Jika cubaan anda sukses, lihat reaksi dalam bilik. Pasti ada orang yang menyedari bau kurang enak menyerang deria mereka tetapi mereka memilih untuk sengaja mendiamkannya.

Anda pula pejamkanlah mata dan nikmati keenakan aroma bau kentut anda.

Tak salah pun nak menyukainya kerana sains dah membuktikan, anda akan cenderung suka dengan bau kentut anda walaupun orang lain sesak nafas apabila diserang bau serupa.

Tarik nafas dalam-dalam dan teruslah berlakon seolah tak ada apa. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)