Apa cita-cita anda? Sekiranya soalan itu diajukan, pasti kita akan dengar cita-cita yang biasa disebutkan. Doktor, jurutera, mungkin juga angkasawan atau ahli politik. Namun bagi Joseph Pujol, cita-citanya nyata berbeza sekali dengan orang lain.

Lahir pada 1 Jun 1857 di Marseille, Perancis, Joseph anak kepada seorang pengukir bernama Francois. Dalam satu insiden yang berlaku semasa dia muda, Joseph menyelam ke dalam lautan dan mendapati ada rasa air dingin masuk melalui saluran duburnya. Ketakutan, Joseph berlari ke pantai dan menyedari tubuhnya sedang mengeluarkan kembali air yang telah masuk ke punggungnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

la patomane bergambar

Joseph dibawa ayahnya menemui pakar perubatan bagi menceritakan apa yang telah berlaku. Doktor itu menerangkan apa yang berlaku itu normal. Semenjak kejadian itulah, Joseph menyedari dia mempunyai kemampuan mengawal otot duburnya untuk menyedut air dan boleh mengeluarkannya semula dengan kuat.

Joseph mula bereksperimen dengan kebolehannya itu. Pada mulanya dia hanya mampu menyedut air ke dalam duburnya sebelum dia menyedari udara juga boleh disedut untuk 'ditembak' semula. Namun 'bakatnya' itu tidaklah dihebahkan pada orang lain. Atas usahanya sendiri, Joseph mula berkemampuan meniru muzik menggunakan duburnya dan juga mula berkemampuan mengawal kelajuan serta bunyi yang dapat dihasilkan oleh duburnya.

Mendapat gelaran Le Petomane

joseph pujol le petomane

Joseph dipanggil untuk menjalankan tugas sebagai seorang ahli tentera dan mula terbuka untuk menayangkan bakatnya pada orang lain. Ada kalanya Joseph melakukan persembahan menyedut air lalu menembaknya semula pada kelajuan tinggi sebagai hiburan tentera-tentera lain.

Ketika inilah Joseph diberikan gelaran yang bakal mempopularkan beliau; "Le Petomane" yang membawa makna 'fartomaniac' dalam bahasa Inggeris atau 'orang yang suka kentut.'

Selesai tugasan tentera, Joseph mula berkhidmat di kedai roti sambil menghiburkan pelanggan yang menunggu dengan muzik yang 'dimainkannya.' Bermula dari sinilah Joseph mendapatkan galakan rakan-rakannya serta pelanggan untuk cuba mengembangkan bakatnya itu ke atas pentas pula. Dia memberanikan melakukan persembahan pertamanya pada tahun 1887 ketika berusia 30 tahun. Sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Melihat ada karier yang boleh diceburi menggunakan bakatnya itu, Joseph mula merantau ke seluruh Perancis melakukan persembahan. Kehadirannya di bandar Paris membolehkan dia dipilih menyertai pasukan teater Moulin Rouge pada tahun 1892.

Menyertai Moulin Rouge

persembahan semasa moulin rouge

Kejayaan menyertai Moulin Rouge memerlukan Joseph mempelbagaikan persembahannya. Selain daripada menghasilkan bunyi letupan dan guruh berdentum, Joseph mempersembahkan lagu melalui okarina yang dimainkan dengan saluran getah yang disambungkan ke duburnya. Beliau juga mula melakukan gimik memadamkan api lilin dari jarak jauh untuk menghiburkan orang ramai.

Kejayaannya dengan Moulin Rouge membolehkan nama Le Petomane terkenal dengan siri-siri persembahan yang mendapat sambutan hangat di sekitar Eropah dan Afrika Utara telah dianjurkan; Joseph menjadi tarikan utama penonton untuk berkunjung.

Walau bagaimanapun, jodoh Joseph dengan Moulin Rouge tidak panjang, hanya kekal selama dua tahun.

Selepas didenda kerana mengadakan persembahan amal bagi membantu rakannya tanpa kelulusan pihak penganjur Moulin Rouge, Joseph mula bergerak sendiri dengan kumpulan yang ditubuhkannya bernama Theatre Pompadour.

Hampir berbelas tahun aktif, perang dunia pertama menyebabkan gerakan teaternya terhenti. Anak-anaknya yang membantu persembahan dikerah untuk menyertai perang, menyebabkan minat Joseph untuk meneruskan karier seninya mula luntur, apatah lagi mendapat beberapa buruk berkaitan anak-anaknya yang menyertai perang.

Kembali ke kampung halaman

le petomane joseph pujo2l

Bagi meneruskan hidup, Joseph membawa kesemua ahli keluarganya pulang ke kampung halaman mereka di Marseille, membuka sebuah kilang biskut. Menjelang usia tua, Joseph tidak lagi mempersembahkan bakatnya pada orang awam melainkan untuk hiburan ahli keluarganya sendiri.

Selepas kematiannya pada tahun 1945, sebuah sekolah perubatan menawarkan jumlah wang yang agak banyak untuk membolehkan mereka membedah tubuh Joseph bagi mempelajari keunikan yang dimiliki oleh Joseph. Kesemua anak-anaknya yang masih ada menolak tawaran itu kerana merasakan perkara itu patut kekal menjadi rahsia yang tidak diganggu mana-mana pihak.

Kisah Joseph Pujol memberikan inspirasi kepada banyak artis selepas beliau.

Legasi kebolehan Le Petomane diabadikan dalam beberapa buah filem yang didedikasikan khas untuk beliau, serta sering dipersembahkan dalam bentuk satira.

Dalam filem blockbuster Hollywood 'Moulin Rouge' lakonan Nicole Kidman dan Ewan McGregor yang terbit pada tahun 2001, watak Joseph dimainkan oleh aktor Keith Robinson sebagai satu penghormatan kepada jasa beliau mempopularkan bakat yang unik dan sebenarnya sukar untuk diterima orang lain.




Hakcipta iluminasi.com (2017)