Oleh pada 11 Feb 2020 kategori

Selain daripada bau rumput yang segar selepas dipotong, salah satu bau lain yang unik dan menyamankan serta berlaku secara semula jadi - adalah bau hujan.

Apatah lagi bau hujan yang turun selepas berlakunya cuaca panas dalam tempoh yang lama. Lagi lama cuaca panas, lagi kuatlah bau segar hujan yang akan terhasil sebaik saja titis pertama hujan turun menimpa bumi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apakah rahsia di sebalik fenomena itu dan kenapa bau nyaman hujan itu boleh dihidu kita? Jom kita pelajari rahsia di sebalik bau hujan semulajadi ini.

Fenomena 'Petrichor'

hujan rintik tanah

Di dalam lapangan kajian sains, fenomena bau hujan itu diistilahkan sebagai 'petrichor,' dilabelkan dengan label tersebut sejak tahun 1964 berdasarkan kajian dua penyelidik dari Melbourne Division of Mineral Chemistry, Australia, bernama I.J. Bear dan R.G. Thomas.

Kajian mereka memfokuskan kepada bau yang terhasil apabila tanah sama ada daripada jenis tanah liat atau tanah biasa, mampu menghasilkan bau apabila dibasahkan atau dilembapkan dengan air. Fenomena yang berlaku itu pada era tersebut diklasifikasikan sebagai 'argillaceous odour'; satu istilah yang agak mengelirukan.

Ini kerana dalam dapatan kajian penemuan klasifikasi 'argillaceous odour', tidak wujud kategori khas yang membezakan antara bauan yang terhasil akibat tindak balas tanah atau rumput. Bear dan Thomas melakukan kajian bagi memperjelaskan fenomena yang berlaku apabila tanah dan air bertindak balas secara khas.

Mereka mencadangkan fenomena penghasilan bau ini diistilahkan sebagai 'petrichor', disebabkan oleh kesesuaian terma 'ichor' yang mewakili bau yang terhasil daripada batu dan tanah. Perkataan 'petri' pula diambil daripada perkataan Yunani 'petros' yang bermakna 'batu.'

Dari mana mereka mendapat idea bagi melakukan kajian ini? Dari India.

Di Kannauj, India, masyarakat di sana mempunyai kemahiran menghasilkan minyak wangi yang dihasilkan daripada bauan terhasil daripada batu tanah liat. Bau yang terhasil itu disuling ke dalam minyak cendana bagi menghasilkan minyak wangi bauan tanah yang digelarkan sebagai 'matti ka attar' atau 'mitti attar.'

Sehingga kini Kannauj terkenal sebagai 'Bandar Attar' yang menjadi identiti negeri mereka.

Bagaimana petrichor berlaku?

rupa streptomyces

Di dalam mana-mana kawasan tanah yang subur, wujud sejenis bakteria yang dinamakan streptomyces, sejenis bakteria dalam kumpulan 'actinobacteria.'

Tugas streptomyces dalam tanah adalah untuk menguraikan bahan-bahan organik yang telah mati menjadi sebatian organik bagi membantu tumbesaran pokok atau bahan hidup yang ada pada tanah tersebut. Apabila proses itu berlaku, streptomyces akan membebaskan ke dalam tanah apa yang dinamakan sebagai 'geosmin' sejenis bahan yang dikategorikan sebagai bahan alkohol.

Geosmin agak unik, kerana setiap satu molekulnya mempunyai bau yang agak kuat serta mampu dihidu oleh manusia walaupun dalam saiz yang sangat-sangat-sangat rendah. Berbanding dengan haiwan, hidung manusia jauh lebih sensitif terhadap kehadiran geosmin ke udara jadi kita boleh menghidu bau hujan, lebih baik berbanding kebanyakan haiwan lain.

Apabila hujan turun, setiap titis hujan akan berubah bentuk menjadi bentuk aerosol apabila terkena permukaan bumi. Setiap titisan aerosol yang bersaiz mikro ini mampu memerangkap sesuatu di dalamnya, kerana mempunyai poket atau ruang udara.

Titisan aerosol yang terhasil apabila hujan mengenai permukaan akan terapung seterusnya membawa bersama-sama molekul geosmin terbang. Akibat diapungkan oleh air hujan dalam skala yang besar, geosmin mula memenuhi udara menghasilkan bau yang kita kenali sebagai bau hujan atau petrichor.

Geosmin dalam industri minyak wangi

kilang attar di india

Industri minyak wangi dalam zaman moden menjadi pengguna geosmin terbesar, menggunakan geosmin sebagai salah satu bahan aktif dalam larutan minyak wangi bagi menghasilkan bauan semulajadi mirip bauan tanah yang digemari ramai individu.

Selain itu, geosmin yang terhasil juga menjadi punca kenapa sesetengah ikan seperti ikan kap dan ikan haruan mempunyai bau yang unik berbanding ikan-ikan lain. Ini kerana geosmin yang ada dalam air akan bertindak balas dengan tisu pada bahagian ikan memberikannya bau ibarat tanah atau lumpur yang agak kuat.

Walaupun baunya enak, kehadiran geosmin dalam bekalan air akan menyebabkan rasa air yang kurang menyenangkan walaupun dalam jumlah yang kecil. Masalah ini kerap menimpa masyarakat yang masih bergantung dengan punca bekalan air yang terbuka, seperti tasik atau sungai - jadi ada kalanya mereka terpaksalah menggunakan air yang agak kurang sedap untuk diminum.

Masalah itu turut sama boleh berlaku pada kita, seandainya kandungan geosmin dalam air terlalu tinggi khasnya semasa musim hujan yang panjang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)