Jika penulis sebut tentang 'disket', pasti ada di kalangan generasi yang lahir selepas era milenium menggarukan kepala.
Ini kerana penggunaan disket yang satu masa dahulu mendominasi bagaimana storan komputer dibuat, telah pun digantikan dengan cakera optik seperti CD dan DVD yang mampu memuatkan lebih banyak data. Nak simpan satu fail lagu pun tak muat dalam sekeping disket. Boleh kata sangat-sangat ketinggalanlah kalau komputer anda masih mempunyai pemacu disket sekarang.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagaimanapun, jangan terkejut pula - syarikat penerbangan gergasi Boeing masih menggunakan disket untuk mengemaskini pesawat keluaran mereka sehingga ke hari ini!
Boeing masih menggunakan sistem disket!
Kisah bagaimana disket masih menjadi pilihan Boeing dalam memuatnaik perisian pesawat mereka baru saja dibongkarkan pada bulan Ogos tahun 2020.
Sebuah syarikat keselamatan Pen Test Partners diberikan peluang untuk memeriksa sebuah pesawat Boeing 747-400 yang tidak lagi digunakan.
Pesawat itu yang dijadualkan untuk pelupusan sempat diperiksa oleh salah seorang wakil firma tersebut, bagi tujuan merekodkan informasi.
Dalam lawatan yang diatur, wakil firma tersebut agak terkejut setelah mendapati terpasang sebuah peranti yang mempunyai pemacu disket bersaiz 1.44 inci, lengkap dengan ruangan storan khas untuk menyimpan disket yang sudah digunakan.
Temubual bersama pemilik pesawat tersebut menyatakan untuk setiap 28 hari sekali, jurutera penerbangan dari Boeing perlu hadir bagi mengemaskini sistem navigasi pesawat tersebut secara manual - setiap bulan!
Kerja jurutera penerbangan yang sibuk
Profesion jurutera pasti berbunyi agak gah serta kerap dipilih menjadi cita-cita kita semasa kecil, namun realitinya jurutera-jurutera Boeing yang tidak bernasib baik akan memikul tanggungjawab ini.
Kumpulan jurutera yang dilantik ini perlu melawat setiap satu pesawat keluaran Boeing model 747-400 setiap bulan, tak kiralah di mana saja bagi memastikan sistem navigasi pesawat itu sudah dikemaskini agar boleh mengenalpasti laluan, lokasi lapangan terbang serta poin-poin perjalanan yang berkemungkinan besar boleh berubah.
Lebih malang bagi kumpulan jurutera ini - pengemaskinian pula bukanlah hanya memadai dengan sekeping disket.
Disebabkan oleh perbezaan informasi yang perlu dimuatnaik, ada pengemaskinian yang memerlukan hanya sekeping disket sementara yang paling banyak diketahui memerlukan lapan keping kesemuanya! 8 keping disket atau bersamaan 11.5Mb data semuanya.
Sekiranya anda pernah merasai pengalaman menggunakan disket, anda pasti sudah tahu betapa perlahannya proses pembacaan data berlaku. Untuk satu pesawat, anggaran sejam diperlukan bagi memuatnaik keseluruhan data sehingga selesai.
Industri penerbangan yang lambat berubah
Jadi persoalannya di sini - kenapa Boeing masih menggunakan disket? Tidak ada apa sebab istimewa kenapa mereka kekal dengan format tersebut.
Majoriti pesawat model 747 serta model pesawat penumpang paling laris di dunia, model 737 masih beroperasi menggunakan sistem serupa. Boeing tidak nampak ada keperluan untuk mereka menggantikan sistem berasaskan disket yang sudah terpasang, kerana sistem itu merupakan sistem terbaik yang ada semasa majoriti pesawat itu dibina.
Oleh sebab itulah Boeing memilih untuk membiarkan saja pesawat keluaran lama mereka sebegitu, mula menambah baik sistem ke arah lebih moden dalam pesawat terbaru mereka.
Pada tahun 2014, sebuah syarikat bernama Teledyne diumumkan berjaya mendapatkan tender bagi menghasilkan peranti moden sistem navigasi untuk dipasang dalam semua pesawat model baru Boeing dengan menggunakan sistem pengkalan data digital.
Peranti yang dibangunkan, diharap dapat membantu jurutera pesawat dalam mengemaskini sistem navigasi dengan lebih pantas dan lebih stabil.
Sudah acapkali jurutera yang ditugaskan mengadu proses pengemaskinian mereka gagal di tengah jalan, selepas selesai disket ke 6 dimuatnaik, disket ke 7 pula didapati mengalami kerosakan data.
Seandainya situasi itu berlaku - jurutera tersebut perlu mengulangi semula proses dari mula menggunakan disket sandaran yang sepatutnya sudah disediakan lebih awal. Siapa yang pernah menggunakan disket, pasti tahu peritnya apabila situasi ini berlaku.
Rujukan
Pen Test Partners: Boeing 747s receive critical software updates over 3.5" floppy disks
Teledyne Brings Aircraft Information Management Into 21st Century