China sememangnya dikenali sebagai negara terbesar yang sentiasa ingin bersaing untuk menjadi terbaik, terkaya, terhebat dan sebagainya. Sebagai negara dengan bilangan penduduk paling ramai dan mempunyai saiz ekonomi kedua terbesar di dunia, kerajaan China sering mencari gaya tersendiri untuk menarik minat orang luar dan menghiburkan para pelancong yang berkunjung ke negara itu.
BESARKAN TEKS A- A+
Video di bawah menunjukkan sebuah dek pemerhatian yang diperbuat daripada gelas kaca setinggi 202 meter di Gulongxia di Bandar Qingyuan. Dek itu hanya berukuran 72 meter dari pinggir tebing cenuram namun sudah mampu membuatkan pengunjung gementar ketakutan.
China dan Rekod Dunia Guinness
Setiap tahun, Rekod Dunia Guinness menerima hampir 2,000 permohonan dari China - jumlah permohonan ini adalah jauh lebih banyak daripada mana-mana negara di seluruh dunia. Antara salah satu bakal pemecah rekod yang dipohon China adalah skywalk berbentuk ladam kuda di Gunung Fuxi yang diperbuat daripada kaca dan keluli seberat 3,000 tan. Ia mula dilancarkan pada bulan Jun 2018 bagi para pengunjung yang berani melalui jambatan julur lut sinar untuk melihat jurang curam dari ketinggian 360 meter.
Malah, sebelum dibuka kepada orang awam, China Daily sudahpun membuat dakwaan yang ia merupakan "jambatan lingkaran kaca terpanjang di dunia" mengatasi Skywalk Grand Canyon di Arizona, Amerika Syarikat.
Tidak puas dengan satu sahaja laluan pejalan kaki berlantai kaca, Gunung Tianmen di Hunan membina sehingga tiga buah laluan mengerikan.
Laluan ketiga paling baru telah mula dibuka pada musim panas tahun 2016. Dikenali sebagai Laluan Tebing Naga Berputar, ia mempunyai jarak perjalanan sejauh 1,500 meter dengan 6.35 cm ketebalan gelas mengelilingi puncak gunung. Di sini, para pengunjung boleh menikmati pemandangan dari ketinggian 1,400 meter di udara untuk melihat Jalan Tongtian yang terkenal dengan 99 buah selekoh tajam.
Salah satu daripada laluan pejalan kaki lut sinar itu merupakan bekas pemegang rekod terpanjang di dunia namun masih memegang rekod yang paling tinggi di dunia.
Bagi penagih adrenalin, mereka juga boleh menaiki kereta kabel terpanjang di dunia sejauh 7 kilometer dan mengambil masa selama 30 minit perjalanan.
Jambatan kaca terpanjang di Hongyagu, Hebei
Pengasas Jambatan Zhangjiajie membuat dakwaan yang mereka telah menjadi perintis dengan menetapkan tanda aras baru bagi tahap keselamatan struktur binaan sehingga sanggup menjemput para wartawan untuk cuba memecahkan kaca jambatan menggunakan tukul besi malah dibenarkan membawa kereta merentasi jambatan.
Tarikan terbaru di Hongyagu yang terletak di wilayah Hebei telah merampas takhta daripada Gunung Tianmen menjadi jambatan terpanjang di dunia dengan lantai kaca. Selain lantai lut sinar sepanjang 488 meter yang berada pada paras 218 meter, kabel gantung yang menyebabkan jambatan ini terhoyong-hayang membuatkan ia jauh lebih menakutkan.
Jambatan yang dibina menggunakan 1,077 panel kaca berketebalan 4cm itu menyambungkan dua puncak gunung di wilayah timur laut China itu. Walaupun dilaporkan mampu menampung sehingga 2,000 orang, namun hanya 600 orang dibenarkan berada di atas jambatan ini pada satu-satu masa. Pengunjung juga perlu memakai sarung kaki istimewa untuk melindungi lantai kaca sambil dipantau oleh beberapa pekerja yang menjaga di sepanjang jambatan untuk membantu mereka yang terlalu ketakutan akibat gayat.
Pelantar pandang kaca terbesar di Shilinxia, Beijing
Selain mempunyai Tembok Besar terpanjang di dunia, China juga mempunyai laluan pejalan kaki terpanjang di dunia. Tertonjol pada ketinggian 32.8 meter di pinggir lembah setinggi 396 meter, Pelantar Pandang Shilinxia terbentang sepanjang hampir 3 meter lebih jauh daripada Laluan Gunung Fuxi.
Tarikan gayat ini menghiasi puncak tertinggi Jurang Shinlin iaitu kawasan pembentukan batuan tinggi di Pinggu yang terletak 100km dari pusat bandar Beijing. Untuk tiba di platform ini, anda perlu mendaki selama satu jam setengah dari bahagian dasar. Anda juga boleh menaiki kereta kabel untuk sampai ke puncak.
Pelantar yang juga digelar "Piring Terbang" ini dibina menggunakan aloi titanium yang sering digunakan pada kapal terbang dan kapal angkasa sehingga ia boleh menanggung muatan seberat 150 tan.
Lima puncak Gunung Huashan
Dikhabarkan Gunung Huashan merupakan salah satu laluan pendaki yang paling bahaya di dunia. Lima puncak yang menjadi tulang belakang bandar Huayin di wilayah Shaanxi ini adalah suatu cabaran getir walaupun untuk pendaki berpengalaman,
Puncak Timur mempunyai nama laluan yang boleh menggugat keberanian seperti "Tebing Terjal Seribu Kaki", "Rekahan Seratus Kaki" dan "Rabung Naga Hitam". Nama-nama ini bukanlah taktik untuk menakut-nakutkan pendaki. Ia sememangnya benar-benar menakutkan kerana mempunyai alur kaki masuk ke kawasan permukaan batu setinggi 2,090 meter dilengkapi batang logam berkarat yang berfungsi sebagai tangga menegak sementara. Penghadang antara pendaki dan jurang yang dalam hanyalah rantai kekisi nipis yang sering dihiasi dengan 'mangga cinta' yang dipasang oleh pasangan-pasangan berani yang pernah mendaki.
'Keseronokan' dakian sebenar bermula pada ketinggian 2,160 meter di Puncak Selatan iaitu lokasi Jalan Kayu Berubah iaitu jalan dua hala yang hanya mempunyai beberapa papan kayu goyah yang dipasang di tepi gunung. Walaupun anda boleh berjalan dari kedua-dua arah, laluan ini hanyalah 0.3 meter di bahagian paling lebar.
Laluan kaca retak di Taihang Timur, Hebei
Laluan berlantai kaca yang terletak di Taihang Timur di utara Hebei ini menjadi tular pada tahun 2017 apabila sebuah video memaparkan seorang pemandu pelancong ketakutan sehingga jatuh melutut setelah gelas yang dipijak dikatakan retak dan tidak mampu menampung berat badannya.
Walaupun kerajaan Taihang Timur dengan pantas membuat permohonan maaf kepada seluruh penduduk China yang risau dan takut dengan kejadian itu, sebenarnya ia bukanlah kemalangan akibat kesilapan kejuruteraan. Serpihan kaca yang berkecai sememangnya diletakkan di bawah kepingan panel padu untuk membuatkan laluan tersebut kelihatan dan kedengaran seperti ia retak setiap kali dipijak.
Penambahan unik ini ternyata selamat, namun ia tetap menjadi suatu gimik yang boleh menyebabkan jantung anda berdegup begitu kencang.
Tangga Langit Goyah di Jurang Tiger Leaping, Yunnan
Apabila mendaki melalui Jurang "Harimau Menerjah" yang terletak di wilayah Yunnan ini, pengunjung perlu menentukan antara dua pilihan yang menggerunkan. Sama ada mereka melalui dakian panjang yang mencabar dari Sungai Jinsha atau pilih jalan lebih cepat namun perlu menderita menggunakan "Sky Ladder".
Beberapa anak tangga dipasang menegak pada papan kayu yang sudah berusia. Papan-papan ini mungkin dilekatkan pada permukaan tebing. Mungkin juga tidak.
Tiada peralatan keselamatan yang terdapat di sini dan kesemua 170 anak tangga adalah sangat sempit. Sedikit hujan (atau peluh di telapakan) saja sudah boleh membuatkan pegangan tangan anda tergelincir. Kasut yang sesuai, fikiran yang tenang dan jiwa yang kental diperlukan ketika memanjat jurang yang boleh mencecah 3,790 meter ini.