Siapa sini belum pernah beli Slurpee dari rangkaian kedai 7-Eleven? Sebut saja Slurpee dah boleh terasa dah manis ais lembut dalam mulut yang datang dalam pelbagai perisa dan diminum dengan penyedut unik yang tak tahu lah nak digelarkan apa "straw+sudu" atau "sudu+straw."
Pernah terfikir mana datang idea asal Slurpee ini?
"Slurpee" yang kita kenali ini mempunyai sejarah yang agak panjang dan menarik. Seperti banyak ciptaan-ciptaan hebat, Slurpee adalah produk yang datang tanpa diduga dan tidak disengajakan.
BESARKAN TEKS A- A+
Pada hujung era 1950, Omar Knedlik adalah salah seorang pemilik kedai Dairy Queen di Kansas City. Kedai Knedlik memiliki pelbagai jenis menu dan salah satunya pastilah, air soda atau ikut kita, air gas. Air gas yang dijual disimpan dalam mesin di kedainya namun mesin tersebut kerap mengalami kerosakan sehinggakan Knedlik terpaksa menyimpan bekalan air sodanya di dalam peti sejuk beku.
Ketika itu air soda disimpan dalam botol kaca dan apabila penutup botol yang diperbuat daripada tin dibuka, air soda di dalam botol tersebut menjadi sedikit beku tetapi masih lagi mampu diminum.
Apabila air soda dalam botol tersebut dijual pada pelanggan, dengan tiba-tiba makin ramai pula pelanggan yang nak air soda mereka dalam bentuk tersebut, tidak cair sangat, tidak beku sangat. Atas permintaan, Knedlik membina mesin yang mampu menyejukkan air soda supaya menjadi seperti yang dimahukan dengan menggunakan alat ganti penyaman udara kereta miliknya.
Eksperimennya berjaya dan untuk menamakan produk baru tersebut, Knedlik menganjurkan satu pertandingan bagi meminta bantuan peminat-peminat produk tersebut. Nama "Icee" dipilih daripada kesemua penyertaan dan lahirlah produk bernama "Icee" dipasaran. Jika kita lihat filem atau drama Amerika, memang frasa "Icee" kerap kali digunakan bagi merujuk kepada produk "Slurpee."
Dengan bantuan beberapa syarikat pembuatan mesin, mesin khas mencipta Icee dibangunkan dan dijual kepada kedai-kedai runcit pada awal 1960-an.
Begitupun, produk Icee benar-benar meletup selepas rangkaian kedai 7-Eleven mula melesenkan penjualan Icee di kedai-kedai mereka pada tahun 1965. 7-Eleven memilih untuk menggunakan nama lain bagi produk tersebut bagi membezakan antara dua jenama yang ada. Bob Stanford, pengarah pengiklanan 7-Eleven pada waktu itu mengusulkan nama "Slurpee" yang berpunca daripada bunyi yang dihasilkan ketika orang ramai meminum Icee menggunakan penyedut.
Produk Slurpee menjadi benar-benar popular selepas 7-Eleven mula menggabungkan pemasaran yang menggabungkan Slurpee dengan pop-culture yang hangat pada zaman tersebut. Beberapa contoh pengiklanan efektif yang dijalankan adalah dengan penggunaan Slurpee dalam filem 'Men in Black 2' dan penciptaan cawan-cawan Slurpee yang berkait dengan filem yang sedang ditayangkan ketika itu.
Setiap tahun, pada setiap 11 Julai, semua 7-Eleven menyambut ulang tahun penubuhan mereka dan di Amerika Syarikat, pada hari tersebut, 1000 pelanggan pertama akan menerima Slurpee percuma.
Jika anda adalah salah seorang yang takut-takut nak campur-campur perisa Slurpee, usahlah bimbang. Menurut kajian 7-Eleven sendiri, peminat Slurpee memang gemar mencampurkan perisa-perisa Slurpee yang ada.