Oleh pada 18 Mar 2018 kategori

Kedatangan Baginda telah disebutkan di dalam tiga buah kitab Samawi sebelum Al-Quran diturunkan lagi. Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W pada tarikh 12 Rabiulawal, Hari Isnin bersamaan tahun 20 April 571 Masihi, tahun Gajah di Makkatul Mukarramah, semasa 4 tahun pemerintahan Raja Kisra Anu Syirwan (Raja Parsi).

Peristiwa ajaib yang berlaku ke atas Nabi Muhammad S.A.W disebut sebagai Irhas. Irhas bermaksud satu perkara luar biasa bagi manusia normal dan hanya diberikan kepada bakal nabi sahaja. Irhas dikategorikan kepada tiga iaitu:

BESARKAN TEKS     A-  A+

  • Irhas yang dinyatakan di dalam kitab yang tidak boleh diubah atau dipinda;
  • Alamat-alamat kerasulan yang dibuktikan melalui perkhabaran daripada orang alim melalui ilham dan sebagainya; dan
  • Kejadian luar biasa yang berlaku semasa kelahiran Nabi dan Rasul.

pokok dan tanaman subur menghijau keajaiban kelahiran nabi muhammad saw rasulullah irhas

Sebelum Rasulullah S.A.W. dilahirkan

  • Kehamilan Siti Aminah disedari melalui perkhabaran malaikat yang datang kepadanya melalui mimpi ketika beliau sedang tidur. Kemudian para malaikat berdiri di hadapannya dan berkata "Khabar gembira untuk kamu, wahai ibu kepada seorang nabi, putera kamu ini penolong dan pembebas manusia, namakan dia Ahmad.'' Ketika mengandungkan Nabi Muhammad, ibunya tidak berasa sakit seperti ibu-ibu lain yang sedang mengandung.
  • Tanah-tanah di persekitaran kawasan rumah ibunya yang kering menjadi subur, pohon-pohon kayu rimbun dan berbuah lebat.

tiang runtuh keajaiban kelahiran nabi muhammad saw rasulullah irhas

Semasa Rasulullah S.A.W. dilahirkan

  • Ibu Nabi Muhammad menyaksikan cahaya keluar dari tubuh badan baginda. Cahaya tersebut menyinari sehingga ke Istana Busra di Syria, menyerupai anak panah, bagaikan pelangi di langit, boleh dilihat walaupun dari kota-kota yang jauh. Ada juga yang menggambarkan cahaya itu datang dan menerangi seluruh dunia.
  • Semasa kelahirannya juga baginda dalam keadaan terbaring dengan kedua tangannya mengangkat ke langit seperti seorang yang sedang berdoa. Nabi Muhammad yang mulia itu juga lahir dalam keadaan sudah berkhatan dan tidak mempunyai lebihan tali pusat. (dalil)
  • Berhala-berhala yang terdapat di persekitaran secara tiba-tiba rosak dan musnah. Riwayat daripada Abdul Muttalib, "Ketika aku sedang berada di Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah. Lalu aku mendengar suara dari dinding Kaabah berkata: "Telah lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui." 
  • Gegaran di istana Kisra (Parsi) menyebabkannya 14 tiang serinya runtuh. Raja Kisra memanggil ahli nujumnya untuk meramalkan apa yang telah terjadi. Mereka memberitahu telah lahir seorang nabi dan runtuhnya 14 tiang itu menandakan hanya tinggal 14 orang lagi pewaris raja yang akan memerintah Parsi. Akan tetapi raja Kisra mengambil remeh kerana 14 keturunan itu dianggap suatu tempoh yang masih panjang. Umat Islam dilarang untuk mempercayai ramalan itu kerana sebelum kelahiran nabi Muhammad S.A.W, peramal menggunakan khidmat syaitan untuk mencuri berita dari langit. Akan tetapi dengan kuasa Allah, terjadinya perebutan kuasa di kalangan pewaris Kisra sehingga mereka berbunuh sesama sendiri dan dalam masa 4 tahun sahaja, 10 pemerintah telah bertukar ganti. Pemerintah yang terakhir telah mati ketika kaum muslimin menakluk Parsi di bawah pemeritahan Umar R.A.
  • Api yang disembah oleh orang-orang Majusi di negara Parsi, yang dikatakan tidak pernah padam selama seribu tahun, telah padam dengan sendirinya di seluruh negara dan tidak dapat dihidupkan lagi.
  • Air Tasik Sava di Parsi yang dianggap suci telah tenggelam ke dalam tanah. Tasik ini dianggap suci dan disembah dengan upacara korban dan sebagainya. Tasik itu kemudiannya telah dilupakan oleh penduduk setempat. 

tahi bintang keajaiban kelahiran nabi muhammad saw rasulullah irhas

Selepas Rasulullah S.A.W. dilahirkan

  • Kerap berlaku kejadian tahi bintang (shooting star) menjadi tanda tamatnya pengetahuan syaitan dan jin mengenai perkara ghaib.
  • Setelah Halimatus Sa'diah (ibu angkat dan ibu susuan) membawa Rasulullah ke ladangnya di pergunungan, ladang-ladang Halimah kembali menghijau setelah mengalami kemarau. Binatang ternakan seperti kambing mengeluarkan susu yang banyak.
  • Nabi tidak pernah diganggu walaupun oleh seekor lalat termasuk juga pakaian baginda. Halimatus Sa'diah dan suaminya beberapa kali terlihat tompokan awan kecil berada di atas kepala Rasulullah seolah-olah ingin melindungi Rasulullah daripada panas matahari.
  • Ketika Nabi berumur empat tahun, sewaktu Baginda sedang bermain-main dengan saudara susuannya, datang malaikat Jibril dan Mikail, lalu membelah dada dan mengeluarkan segumpal darah dari dada baginda. Gumpalan darah itu dicuci dengan salji. Ada yang meriwayatkan bahawa gumpalan darah itu dicuci di dalam bekas air emas dengan air zam-zam, lalu diletakkan semula di tempatnya. Hal ini jelas diterangkan dalam surah Insyirah ayat 1 : Bukankah Kami telah melapangkan dadamu (wahai Muhammad)?

Ini hanyalah sebahagian daripada kelebihan dan kejadian unik yang terjadi kepada Baginda Rasulullah S.A.W. Banyak lagi yang kita dapat ketahui melalui hadith sahih dan juga sirah Islam yang telah dicatatkan.

Marilah kita sama-sama memberikan salam dan salawat kepada manusia terbaik yang pernah wujud atas muka bumi ini.

Kemaskini :

Kisah keajaiban kelahiran Nabi Muhammad S.A.W mendapat pertikaian dan bercanggah dengan sesetengah ilmuan Islam serta aliran. Harapan kami pembaca yang tidak sependapat dapat berlapang dada dengan artikel ini. Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Don Daniyal juga pernah bercerita tentang kehebatan dan keajaiban kelahiran nabi di kaca televisyen.

Sumber dan rujukan:

1. Kitab Rahikhul Makhtum oleh Shaikh Sofiy Rahman Al-Mubarakfuri.

2. Kitab Fiqhul Sirah Annabawiyyah oleh Saad Ramadhan Al-Buti.

3. Hikayat Abu Hanifah.

4. Ad-Deen

5. Islam Q&A

6. Ustaz Khalid Basalamah

7. Ustaz Abdul Somad




Hakcipta iluminasi.com (2017)