Sekiranya diajukan soalan pada anda; apakah kerja yang anda rasakan paling berisiko tinggi besar kemungkinan pekerjaan sebagai seorang tukang selia salur kumbahan bukan jawapan anda.r

Berikutan laporan yang dikeluarkan oleh kerajaan India pada tahun ini, tidak boleh dinafikan lagi kerja paling berisiko dalam dunia adalah karier sebagai tukang selia salur kumbahan - yang terletak di India. Laporan itu menyebut; untuk setiap lima hari, seorang pekerja akan meninggal dunia ketika sedang melakukan tugasan mereka.

Pada bulan September 2018 sahaja, 11 orang pekerja meninggal dunia disebabkan kekurangan peralatan keselamatan yang lengkap. 5 orang daripadanya mati serentak serentak dalam tangki kumbahan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa yang menyedihkan, masalah yang timbul ini berpunca daripada sistem kasta masyarakat India yang bersifat berat sebelah; menekan pekerja tidak bernasib baik bergelumang dengan najis.

Sistem kasta mencipta pekerja tahap rendah

Setiap hari, beratus ribu individu di India mencari rezeki dengan melakukan sejenis pekerjaan yang anda pasti tidak mahu lakukan. Dikategorikan sebagai 'pekerja pembersih manual,' pekerja tidak bernasib baik ini ditugaskan membersihkan tandas-tandas atau mencuci sisa kumbahan dengan tangan, tanpa peralatan yang lengkap.

Syarat untuk mereka layak melakukan kerja tersebut hanya satu; individu itu perlu datang daripada komuniti kasta rendah bernama kasta Valmiki. Dianggap sebagai kumpulan paling bawah dalam sistem kasta mereka sekarang, orang Valmiki akan dipilih untuk menjadi pekerja-pekerja pembersihan ini tanpa ada peluang karier lain. Tak kira lelaki atau perempuan.

Individu kasta Valmiki terpaksa menerima nasib mereka. Ramai yang mengalah, menganggap memang itu apa yang sepatutnya berlaku.

Golongan lelaki akan diberi tanggungjawab menyelia sistem kumbahan sementara golongan wanita pula - sukar untuk penulis menulis ayat ini - perlu pergi rumah ke rumah mengeluarkan najis daripada lubang khas yang digunakan penghuni rumah setiap hari.

Oleh kerana lubang itu tidak disalurkan ke mana-mana, lama-kelamaan kapasitinya penuh dan perlu dikosongkan. Itulah kerja wanita Valmiki setiap hari.

Kehidupan seorang individu kasta Valmiki

wanita bersihkan lubang najis rumah orang

Bagi individu-individu dalam kasta Valmiki, mencari pekerjaan lain bukanlah satu pilihan pada mereka. Ini kerana mereka tahu peluang untuk mereka tidak ada sejak mula lagi.

Mahu memulakan perniagaan sendiri, sistem sosial mereka sudah mendidik agar tidak ada orang dibenarkan membeli barangan di kedai milik seorang Valmiki. Sekiranya mereka mahu bertugas sebagai tukang masak, nak masuk ke dapur pun akan dihalang. Besar kemungkinan makanan yang mereka sediakan akan dianggap tidak layak untuk dijamah.

Bagi orang luar, mereka melihat apa yang berlaku pada komuniti Valmiki sebagai satu diskriminasi, tetapi bagi individu Valmiki lain pula kisahnya. Hanya sebilangan kecil saja mempersoalkan apa yang berlaku. Selebihnya berpegang teguh pada ajaran Hindu, yang memberikan justifikasi kenapa mereka layak diperlakukan sedemikian rupa.

Ini menyebabkan di kalangan kasta mereka sendiri seramai lebih 1.4 juta orang, sejak awal sudah menerima nasib mereka bakal bertugas sebagai pencuci najis, tanpa perlu memasang impian lain.

Peranan kerajaan India

pekerja bersihkan badan selepas bergelumang najis

Parlimen kerajaan India telah pun mengharamkan pekerjaan sebegitu bagi melindungi komuniti pekerja manual pada tahun 2013 khasnya masyarakat tertindas seperti individu kasta Valmiki.

Bagaimanapun kelonggaran kawalan undang-undang masih berleluasa, menyebabkan tidak ada tindakan diambil menyebabkan perkara ini terus berlaku.

Badan pengelola sistem pengurusan keretapi India masih merupakan majikan terbesar yang menggaji pekerja-pekerja untuk melakukan kerja-kerja kotor ini, dengan menggunakan sistem kontraktor.

Kontraktor yang dilantik pula tanpa segan silu akan membuka peluang pekerjaan itu pada orang Valmiki.

Terdesak, kebanyakan yang mendapat tawaran akan bekerja menyelia kawasan dan gerabak yang ditugaskan. Kebanyakan di antara mereka bertanggungjawab membersihkan landasan daripada sampah, menggunakan peralatan dan perlindungan kurang berkualiti sehingga ramai dijangkiti penyakit akibat jangkitan kuman.

Gaji mereka pula sekitar Rs8,500 atau RM485 sebulan.

Statistik kematian kasta Valmiki yang tinggi

tunjuk perasaan bantah diskriminasi valmiki

Laporan dan data yang dilaporkan merupakan informasi pertama pernah dikeluarkan oleh kerajaan India sejak tahun 1950.

Dianggarkan 300 orang telah meninggal dunia hanya pada tahun 2017 berikutan insiden kemalangan yang berlaku ketika bertugas.

Kebanyakan kes kematian adalah disebabkan masalah pernafasan yang dihadapi ekoran gas-gas beracun yang terkumpul, menyebabkan pekerja sesak nafas dan tidak sedarkan diri semasa membersihkan sisa kumbahan.

Bagaimanapun, banyak pihak berpendapat kerajaan India sengaja merendahkan statistik kematian melibatkan pekerja buruh kasta Valmiki ini dengan angka sebenar dikatakan melebihi 500 kematian setiap tahun.

Masa depan 'kotor' kasta Valmiki

wanita valmiki tutup muka dengan kain

Tunjuk perasaan serta protes terhadap kelemahan langkah kerajaan India dalam menangani masalah ini semakin kuat kedengaran. Kes terbaru melibatkan seorang pekerja yang viral di laman sesawang Twitter, berikutan kegagalan keluarga si mati menguruskan kematian beliau kerana kekurangan wang.

Gambar anak kepada pekerja tersebut yang masih kecil meratap melihat wajah ayahnya yang sudah tidak bernyawa mendapat reaksi masyarakat India, sehingga bantuan untuk mengebumikan beliau berjaya dilakukan berkat sumbangan orang ramai.

Kesedaran masyarakat India untuk sama bangun mempertahankan hak kasta Valmiki mula terbit.

Bagaimanapun penghalang terbesar kepada perubahan yang hendak dilakukan dikatakan perlu datang daripada individu-individu dalam kasta itu sendiri.

Sekiranya mereka terus berpegang yang takdir mereka hidup di dunia ini hanyalah untuk mengutip najis dan sampah sehingga ajal, sukar untuk keseluruhan komuniti Valmiki dapat keluar daripada jerat yang telah menimpa mereka beratus tahun lamanya.

Rujukan

The Hindu

The Guardian




Hakcipta iluminasi.com (2017)