Piramid merupakan satu seni bina yang sangat mengagumkan serta membingungkan. Kagum kerana saiznya yang gergasi sementara bingung pula disebabkan usaha kita memahami bagaimana orang zaman dulu mampu membina bangunan sebesar itu.
Strukturnya yang sangat kukuh menjadikan piramid mampu bertahan dalam tempoh yang sangat panjang, dengan binaan yang berupa seperti piramid ditemui di banyak tempat. Antaranya di Mesopotamia, Mesir, kawasan Mesoamerica, China, Sepanyol, Sudan dan beberapa lagi tempat.
BESARKAN TEKS A- A+
Piramid didirikan oleh masyarakat terlebih dahulu bukan sahaja sebagai mercu tanda, malahan piramid turut sama dijadikan simbol kemajuan serta kepandaian masyarakat tersebut. Selain itu, piramid juga dijadikan simbol agama dalam beberapa masyarakat, dengan bentuk piramid itu dikaitkan sebagai salah satu cara orang zaman dahulu menunjukkan rasa berterima kasih pada Tuhan mereka.
Fungsi piramid pada masyarakat zaman dahulu kala
Kebiasaannya, piramid dibina di kawasan yang berdekatan dengan sumber alam bagi memudahkan urusan-urusan masyarakat di situ. Sedikit sebanyak, ini menjadikan piramid atau bangunan berbentuk piramid yang telah didirikan sebagai pusat kegiatan masyarakat tersebut, tak kiralah dari segi ekonomi mahupun spiritual.
Seperti yang kita semua sudah sedia maklum, masyarakat zaman dahulu tidak mengehadkan fungsi piramid, dengan setiap piramid mempunyai fungsi berbeza mengikut masyarakatnya sendiri.
Orang Mesir purba membina piramid bagi menjadi makam atau kubur kepada pemerintah mereka. Orang Mesoamerika pula menjadikan bangunan berbentuk piramid sebagai salah satu pusat acara menyembah Tuhan mereka.
Oleh kerana ketinggian piramid yang dibina, orang zaman dahulu percaya ketua-ketua agama mereka mampu berkomunikasi dengan Tuhan mereka lebih dekat, jadi bahagian atas piramid itu dijadikan kawasan pemujaan ritual masyarakat zaman tersebut. Fungsi sedemikian dapat dilihat di piramid-piramid yang terletak di India dan China.
Mengapa bentuk piramid dipilih?
Asal-usul bentuk piramid sebenarnya bukanlah datang daripada imaginasi tanpa asas masyarakat zaman dahulu. Ilham untuk membentukkan bangunan mereka sama seperti sebuah piramid berpunca daripada bentuk gunung dan bukit yang mengelilingi kawasan mereka.
Ini memberikan mereka inspirasi bagi meniru 'rekaan' tersebut ke dalam bentuk bangunan. Setiap piramid yang dibina mempunyai bentuk asas yang sama. Tapaknya berbentuk segiempat sama dengan empat sisi berbentuk segitiga yang condong. Walau demikian, orang Mesir yang terkenal dengan piramid mereka, dikatakan mendapat inspirasi daripada seni binaan masyarakat mereka sendiri yang digelarkan 'mastaba.'
Berbeza dengan piramid sebenar, 'mastaba' adalah sebuah binaan yang lebih rendah ekoran bumbungnya yang rata, sesuai dengan makna namanya iaitu 'tempat duduk.' Diperbuat daripada bata tanah liat pada mulanya sebelum digantikan dengan batu, bentuk mastaba tidak semestinya berbentuk segiempat sama. Kebiasaannya, panjang mastaba empat kali ganda lebarnya, dengan ketinggian mencecah 30 kaki.
Gambarajah mastaba
Berikutan pengaruh agama serta kemahuan mahu membina bangunan yang lebih tinggi, bentuk piramid dipilih berdasarkan kestabilannya. Sisinya yang berbentuk segitiga membolehkan pengudaraan yang lebih baik. Air hujan lebih mudah mengalir ke bawah. Ketinggian yang berjaya dicapai menjadikan piramid sebagai mercu tanda serta penunjuk lokasi, bagi mereka yang tinggal atau datang ke situ.
Zaman sekarang, piramid membuktikan satu masa dahulu, kebolehan manusia dalam membina struktur bangunan yang tinggi sebenarnya sudah mencapai satu tahap yang mengagumkan, walaupun jika dibandingkan dengan teknologi zaman sekarang.
Atas sebab inilah masih ramai pihak menganggap piramid bukanlah ciptaan manusia, tetapi sebenarnya dibina oleh makhluk asing yang datang lebih awal ke bumi berbanding kita.