Tahukah anda, pundi kencing seorang dewasa boleh menampung air sehingga lebih kurang setengah liter air kencing sebelum anda mula terasa hendak ke tandas? Dan adakah anda tahu keburukan dan kesan tidak baik yang akan berlaku kepada tubuh anda sekiranya menahan kencing atau tahan untuk membuang air kecil?
Tubuh anda akan tahu dengan sendiri sama ada pundi telah penuh diisi atau tidak. Ini disebabkan dinding pundi manusia penuh dengan reseptor kecil yang menghantar isyarat ke otak apabila pundi telah mencapai kapasiti penuh.
BESARKAN TEKS A- A+
Kebanyakan orang bernasib baik mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap fungsi pundi kencing mereka. Jadi, bila isyarat diterima, mereka boleh memilih untuk terus ke tandas melegakan diri atau bertahan - mungkin disebabkan jarak tandas yang jauh dan sebagainya.
Tapi adakah kita tahu apa yang sebenarnya terjadi setiap kali tubuh menahan diri daripada membuang air kecil?
Dalam satu episod SciShow yang dihoskan oleh Michael Aranda, beliau menjelaskan yang apabila kita membuat keputusan untuk tidak ke tandas, sfinkter berbentuk silinder di dalam pundi akan tertutup rapat untuk menahan urin daripada bocor melalui uretra.
Otot-otot ini sememangnya hebat menahan kencing. Ia kekal kuat sehinggalah anda membiarkan otot-otot ini bekerja lebih dengan menahan kencing untuk tempoh yang lama atau dengan lebih kerap.
Jika anda menjadikan ia satu tabiat, anda sebenarnya mendedahkan tubuh kepada kesan jangka panjang yang lebih serius, termasuklah risiko untuk mendapat jangkitan.
Kerap menahan diri daripada membuang air kecil boleh melemahkan otot pundi yang boleh menjurus ke arah sekatan kencing (urinary retention) yang lebih sering berlaku kepada golongan lelaki. Ia adalah satu kondisi yang amat ditakuti yang menghalang seseorang daripada benar-benar mengosongkan pundi semasa membuang air. Apabila anda dijangkiti, anda akan kerap merasa tidak tahan untuk membuang air dan tidak selesa semasa sedang kencing.
Menahan jumlah urin yang banyak untuk jangka masa yang panjang juga boleh menyebabkan tubuh anda dijangkiti bakteria berbahaya yang boleh meningkatkan risiko mendapat jangkitan saluran kencing (UTI) atau jangkitan pundi kencing (bladder infection). Menurut Dr. Grahame Smith dari Persatuan Urologi Australia dan New Zealand, jika anda menahan kencing terlalu lama, pundi akan meregang sehingga ia tidak mampu mengecut kembali. Jika ia terjadi, anda perlu ke hospital untuk memasukkan kateter.
Semua ini sudahpun kedengaran menakutkan dan menyakitkan, bukan? Tapi ada lagi yang lebih menakutkan.
Tycho Brahe merupakan seorang ahli falak dan alkimia dari Denmark pada kurun ke 16. Sebagai seorang saintis yang terkemuka, beliau banyak menyumbang kepada penghasilan karya ilmiah berkenaan supernova, komet dan orbit planet. Beliau juga terkenal kerana pernah bertelingkah dengan seorang bangsawan tentang kesahihan satu formula matematik sehingga mereka bertumbuk di dalam gelap dan menyebabkan Brahe kehilangan keseluruhan batang hidungnya. Kejadian itu menyebabkan Brahe melekatkan hidung palsu yang diperbuat daripada perak atau emas sepanjang hayatnya.
Punca kematian Brahe mungkin akan kedengaran seperti lebih mengarut daripada kisahnya bertumbuk itu.
Brahe dilaporkan meninggal dunia kerana enggan ke tandas semasa menghadiri satu jamuan makan malam. Beliau percaya yang perbuatan meninggalkan dewan akan mengganggu upacara dan melanggar etiket. Namun, setelah pulang ke rumah, beliau mendapati yang beliau tidak dapat membuang air langsung. Dia terus meracau kesakitan dan mati tidak lama kemudian setelah pundi kencingnya pecah.
Walau bagaimanapun, perlu diingatkan yang kes pundi kencing pecah seperti Brahe ini adalah sangat, sangat terpencil. Jika pundi kencing seseorang pecah, ia bermakna pundi itu pada asalnya sudahpun mengalami kerosakan atau kecederaan akibat kemalangan dan sebagainya. Majoriti daripada kita akan hanya terus terkencing dalam seluar jika tidak tertahan lagi air dalam takungan itu.
Apa-apapun, jangan jadikan perbuatan menahan kencing sebagai satu amalan. Anda mungkin tak akan merasa kesannya sekarang, tapi biarlah beringat sebelum terkena.
Sumber:
1. Live Science
2. Healthline
4. National Institute of Diabetes, Digestive and Kidney Diseases
5. SciShow