Malaysia merupakan salah satu daripada 21 negara yang berdaftar dengan International Diabetes Federation (IDF). Menurut IDF, pada tahun 2015, seramai 415 juta orang mempunyai penyakit kencing manis di seluruh dunia dan 3.3 juta daripada kes ini adalah disumbangkan oleh Malaysia.

Walaupun negara kita merupakan negara "Top 10" dengan jumlah kes diabetes paling tinggi dalam Asia Tenggara, namun sebenarnya masih ramai yang tidak tahu (atau tidak ambil peduli?) fakta sebenar tentang penyakit ini. Mari kita kupas satu-persatu persoalan yang sering ditanya oleh orang ramai berkenaan diabetes.

BESARKAN TEKS     A-  A+

#1 Adakah penyakit diabetes berpunca daripada banyak memakan makanan yang manis-manis saja?

Sekiranya anda mempunyai ahli keluarga terdekat yang menghidap penyakit ini, anda juga berisiko tinggi untuk mendapatnya, tidak kira sama ada anda banyak makan manisan atau tidak.

Walau bagaimanapun, sekiranya anda seorang yang obes, tidak bersenam dan pada masa yang sama suka makan benda yang berlemak, manis dan mempunyai kalori yang tinggi, maka anda juga cenderung dan berisiko untuk mendapat diabetes. 

sebab diabetes terjadi di kalangan kanak kanak

#2 Adakah orang tua sahaja yang senang mendapat diabetes?

Pada tahun 2015, seorang kanak-kanak berusia 3 tahun di Texas, Amerika Syarikat telah disahkan menghidap diabetes jenis kedua (type 2 diabetes) yang disebabkan oleh kegemukan dan diet yang tidak seimbang. Ini bermakna kencing manis boleh menjangkiti sesiapa sahaja tidak mengira peringkat usia ataupun jantina.

Kenaikan jumlah penghidap diabetes jenis kedua secara dramatik di seluruh dunia dan khususnya di Malaysia amat membimbangkan kerana ini menunjukkan gaya hidup masyarakat yang tidak sihat selain tidak mengamalkan pemakanan yang seimbang.

Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memberikan makanan berkhasiat kepada anak-anak serta mendidik mereka dengan galakan supaya lebih banyak melakukan aktiviti fizikal seperti bersukan dan beriadah.

#3 Adakah kencing manis sejenis penyakit kronik yang perlu diambil serius?

Penyakit ini boleh menyebabkan masalah yang lebih serius sekiranya tidak dirawat dengan lebih awal. Antara masalah kronik yang dihadapi oleh pesakit diabetes ialah:

  • Buah pinggang gagal berfungsi dan menyebabkan pesakit terpaksa menggunakan mesin dialisis
  • Berisiko tinggi untuk mendapat strok dan serangan jantung yang boleh membawa maut
  • Pesakit boleh buta penglihatan akibat katarak dan kehilangan anggota badan akibat amputasi
  • Diabetic ketoacidois dan sindrom hyperglycemic hyperosmolar yang membawa maut boleh berlaku kepada pesakit

simptom penyakit kencing manis

Penyakit kencing manis sering terjadi tanpa disedari kerana pesakit tidak akan mengalami apa-apa simptom pada peringkat awal penyakit. Menurut Harvard Medical School, semua orang dinasihatkan supaya membuat pemeriksaan paras gula sekurang-kurangnya setahun sekali sekiranya anda pernah diperiksa dan mempunyai paras gula yang agak tinggi daripada kebiasaan.

Bagi sesiapa yang mempunyai gula pada paras normal, anda disarankan membuat pemeriksaan setiap tiga tahun.

#4 Adakah pengambilan insulin bermakna "saya sudah tahap kronik dan tiada harapan lagi"?

Jika anda menghidap diabetes jenis pertama, anda mesti mulakan pengambilan insulin bermula dari tarikh penyakit dikesan lagi. Tiada rawatan lain bagi diabetes jenis ini.

Manakala pesakit diabetes jenis kedua pula masih boleh mengawal penyakit dengan pemakanan yang seimbang serta aktiviti fizikal yang sihat. Ramai pesakit yang mulakan dengan memakan ubatan tapi lama-kelamaan kebanyakan pesakit perlu juga mengambil insulin. Ini disebabkan diabetes berubah mengikut waktu dan pesakit berisiko untuk menjadi lebih teruk.

Pengambilan insulin bukanlah bermakna anda tiada harapan langsung untuk hidup sihat. Ini sebenarnya adalah lebih baik kerana anda boleh mengawal penyakit merebak dan mengurangkan risiko untuk mendapat sebarang komplikasi di kemudian hari. Jangan berputus asa!

#5 Pesakit diabetes dah tak boleh makan benda manis langsung ke?

Sekiranya seorang pesakit mengamalkan diet sihat yang dikombinasikan dengan aktiviti fizikal untuk kekal cergas, maka manisan seperti pencuci mulut dan coklat dibolehkan. Menurut Persatuan Diabetes Amerika, pesakit diabetes tidak mempunyai sebarang halangan untuk makan apa sahaja yang diinginkan CUMA kuncinya adalah pada saiz hidangan iaitu kecil dan sedikit.

pesakit diabetes perlu menjaga pemakanan dengan diet sihat dan seimbang

Walau bagaimanapun, sekiranya anda menghidap diabetes, sila berjumpa dengan doktor dan pakar nutrisi anda untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang diet yang bersesuaian dengan paras gula anda.

Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai penyakit kencing ini, anda boleh layari laman web Persatuan Diabetes Malaysia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)