Kredit foto: Instagram Aiman Tino & Instagram Haqiem Rusli
Penyanyi, Aiman Tino mengecam tindakan sahabatnya, Haqiem Rusli yang menggunakan isu kemurungan sebagai gimik untuk memperkenalkan single terbaharu.
Penyanyi yang popular dengan lagu Ku Sesat Dalam Rindu itu menegaskan masalah kemurungan adalah isu sensitif yang menyaksikan banyak penghidapnya memilih untuk membunuh diri sebagai jalan penyelesaian.
Aiman berkata, jika Haqiem benar-benar mengalami depresi sebagaimana didakwa, dia sewajarnya merujuk kepada pakar selain mendapatkan nasihat daripada ibu bapa.
"Tidak dinafikan berada di dalam industri bukan mudah sebab kita perlu berdepan dengan bermacam cabaran.
"Tapi isu kemurungan tidak boleh dibuat main kerana ia isu serius.
"Saya berharap apa yang Haqiem lakukan itu bukanlah sekadar gimik kerana ia akan membuatkan peminatnya berasa sedih dengan tindakannya itu," katanya kepada Sinar Harian sewaktu menghadiri sidang media memperkenalkan barisan pelumba Toyota Gazoo musim kedua, berlangsung di APW Bangsar pada Rabu.
Kredit foto: Instagram Aiman Tino
Haqiem pada 17 Jun lalu mendakwa dirinya mengalami kemurungan hingga berhasrat meninggalkan karier nyanyian.
Namun keputusan itu ditarik balik selepas dibantah ramai termasuk para selebriti yang tampil meniupkan kata-kata semangat.
Sementara itu, Aiman yang tidak putus-putus diasak kecaman sebelum ini, berkata, dia hanya mengambil ringan isu yang pada awalnya sering mengumpan api kemarahan beliau selaku anak muda.
"Saya cerita lemang hangit pun jadi sebab dikecam. Mula-mula dulu memang rasa tertekan, dan kalau ikut darah muda, jika depan-depan memang boleh bergaduh.
"Tapi saya tidak ambil pusing dengan segala kecaman dan saya anggap perkara itu remeh.
"Malah Saya lihat dari sudut positif sahaja dan yang negatif itu kita tak perlu fikir,” katanya.