Kredit foto: Instagram Ummi Nazeera
Bukan sahaja Haqiem Rusli, pelakon Ummi Nazeera juga rupa-rupanya menyimpan cerita bagaimana berdepan dengan masalah kemurungan, sewaktu menuntut di pusat pengajian tinggi di luar negara pada tahun pertama.
Tertekan kerana berjauhan dengan keluarga, Ummi mengatakan mengalami masalah kesukaran tidur serta ketidapuasan dalam sebarang aktiviti yang dilakukannya.
"Penyakit mental atau kemurungan adalah benar, cari bantuan. Jujur, saya mempunyai sedikit masalah itu ketika tahun pertama saya di Universiti. Mungkin disebabkan rindu.
"Saya sentiasa mencari kepuasan, namun gagal mencari apa yang saya cari. Saya mempunyai masalah tidur," tulisnya di laman Instagram.
Tambah pelakon Patahnya Sebelah Sayap itu, usaha mendapatkan rawatan menemukannya kepada beberapa kaedah penyelesaian.
Dia diminta ahli terapi supaya mendekatkan diri kepada Tuhan, selain mengabadikan perasaan yang dirasai dalam bentuk penulisan jurnal.
Kredit foto: Instagram Ummi Nazeera
"Jadi apa yang saya lakukan adalah mencari bantuan. Saya bertemu dengan ahli terapi atas saranan pensyarah.
"Alhamdulillah, Ia membuat saya berasa lebih baik dan tentu sahaja Islam," katanya.
Bukan lagi soal mengejar apa yang dicari, sebaliknya pelakon filem Bisik Pada Langit dan Penanggal itu menangani ujian berkenaan dengan belajar mensyukuri nikmat yang dikurniakan seadanya.
Tidak berselindung, Ummi berkata, dia lebih mendekatkan diri kepada Tuhan dan menurut saranan mendalami agama.
"Tiada siapa yang akan mengasihi anda lebih daripada Pencipta anda. Saya belajar bersyukur dengan apa yang saya miliki dan itu menjadikan saya lebih bahagia," katanya.