Kredit foto: Instagram Aiman Tino

Penyanyi Aiman Tino menzahirkan rasa teruja selepas berpeluang bertemu empat mata dengan wanita yang dikatakan 'kembarnya'.

Aiman atau nama lengkapnya, Mohammad Aiman Yusri, berkongsi foto momen bersama Nur Syafiqah Abdul Rahman atau lebih dikenali ramai dengan nama Pyka, menerusi kiriman akaun Instagram peribadinya.

Penyanyi kecil molek ini secara berseloroh berkata, beliau sudah mendapat kebenaran daripada kedua ibu bapanya untuk tinggal serumah dengan gadis itu. 

mak restu kami tinggal sekali aiman tino jumpa kembarnya 2

Kredit foto: Instagram Aiman Tino

"Disebabkan semua kata muka kami sama, mak dah restu kami tinggal sekali. Hahahahaha. Puas kita adjust muka nak bagi sama. #kembar," tulisnya di ruangan kapsyen.

Setakat ini, entri berkenaan merekodkan lebih 84,000 tanda suka, selain hampir 1,000 komen daripada para pengikut.

Mengaku kedua-dua mereka mempunyai wajah pelanduk dua serupa, netizen tidak ketinggalan menjadikan situasi itu sebagai 'bahan jenaka'.

"Macam ini ke muka Aiman Tino bila pakai tudung? Memang seiras muka kamu berdua.

"Siapa sokong mereka berkahwin, aku teringin sangat nak tengok anak mereka nanti.

"Kalau kahwin ni mesti muka anak sama dengan mak bapa. Tapi muka mereka memang hampir seiras. Cuma versi lelaki dan perempuan sahaja.

"Orang cakap muka sama jodoh kuat, tapi apa salahnya Aiman pun masih solo. Cuma jangan tinggal sekali kalau tiada apa-apa hubunganlah.

"Dah macam kembar Aiman Tino aku tengok," komen beberapa peminat.

Terdahulu, Pyka menjadi tular di laman sosial pada tahun lalu gara-gara paras rupanya yang saling tak tumpah bak Aiman.

Namun, kehadirannya tidak disenangi oleh sesetengah peminat penyanyi remaja itu hingga ada yang memanggilnya 'bodoh'.




Hakcipta iluminasi.com (2017)