Kredit foto: Instagram Amar Asyraf
Selepas beberapa tahun berkahwin dengan Amar Asyraf, buat pertama kali isteri kedua aktor itu iaitu Vivy Jeffry tampil mendedahkan identitinya kepada umum.
Dalam kenyataan Vivy kepada portal Mstar, beliau mengakui sudah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Kau Yang Pertama itu, namun bertindak merahsiakanya daripada pengetahuan khalayak kerana ingin menjaga reputasi Amar, selain akur dengan kedudukannya sebagai isteri kedua.
“Ya, memang betul saya adalah isteri kedua Amar dan kami juga mempunyai seorang anak lelaki. Selama ini saya simpan tapi benda ini terbongkar juga.
“Apa yang didedahkan wanita sebelum ini semuanya betul. Sebenarnya saya sudah bersedia dengan apa yang akan berlaku selepas ini dan reda dengan perjalanan hidup saya yang disusun Allah.
“Ibu saya selalu cakap, kita jangan buka aib suami walaupun dalam keadaan marah macam mana pun sebab satu hari nanti mesti akan terbongkar sendiri,” katanya dalam pengakuan eksklusif kepada portal berkenaan, hari ini.
Semalam, dunia hiburan dikejutkan dengan pendedahan seorang wanita dikenali sebagai Ellika Azman yang mengakui hampir diperisterikan Amar, sebelum membatalkan hasrat tersebut apabila mengetahui aktor itu mempunyai seorang lagi isteri dan anak daripada perkahwinan kedua.
Sementara itu, Vivy mengakui perkongsian hidup mereka telah diketahui oleh isteri pertama Amar iaitu Arna Salleh meskipun mereka sebagai madu tidak pernah bersemuka, sebaliknya hanya berkomunikasi melalui telefon.
Malah, rahsia itu turut dikongsi bersama keluarga dan sahabat terdekatnya.
Kredit foto: Instagram Amar Asyraf
“Isteri pertama Amar tahu mengenai perkahwinan kami tapi saya dan dia tidak pernah berjumpa. Selama ini kami hanya berhubung menerusi telefon sahaja.
“Selain kami bertiga, keluarga terdekat dan beberapa kenalan rapat saya juga mengetahui semuanya. Saya faham dan sedar kedudukan saya sebagai isteri kedua sebab itu saya memilih hanya berdiam diri saja selama ini,” katanya yang merupakan penerbit di sebuah stesen televisyen.
Semalam, Amar memaklumkan kepada Mstar bahawa dirinya sedang cuba menyelesaikan krisis dengan isterinya, Arna tanpa melibatkan campur tangan pihak luar.
Terdahulu, Amar dan Arna disatukan pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan dua orang zuriat iaitu Muhammad Taufik serta Ammara Dian.
Sumber berita: Akhirnya Isteri Kedua Amar Asyraf Munculkan Diri - “Ibu Selalu Cakap, Kita Jangan Buka Aib Suami”