Pasti ramai yang tertanya-tanya dari mana datangnya perkataan "kupang", sekupang, dua kupang yang selalu disebut-sebut oleh penduduk negeri utara Malaysia bagi menggantikan sen dan puluh sen. Artikel ini akan mengupas dan menjelaskan sejarah dan asal usul duit kupang yang berasal dari pemerintahan Kedah terdahulu.
Sebagai antara negeri terawal yang terbentuk di rantau Alam Melayu, Kedah Darul Aman mempunyai pentadbiran yang sangat baik. Dan kestabilan pemerintahan oleh Kesultanan Kedah telah membolehkan kerajaan ini mencipta sistem mata wang tersendiri yang sangat teratur.
BESARKAN TEKS A- A+
Pencapaian hebat oleh nenek moyang kita seharusnya dibanggakan oleh semua rakyat Kedah yang mana ia boleh meningkatkan jati diri sebagai manusia.
Ketika zaman pemerintahan Kedah satu ketika dahulu, kerajaan Kedah telah mencipta mata wang baharu.
Antara bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan termasuklah emas, perak, tembaga dan timah, yang dihasilkan dalam pelbagai bentuk.
Apa yang lebih membanggakan adalah tak semua kerajaan kesultanan yang wujud di Nusantara mampu mengeluarkan mata wang emas sendiri.
Kerajan-kerajaan yang didapati pernah menghasilkan mata wang emas sendiri hanyalah Kedah, Johor, Trenggani, Patani-Kelantan, Pasai-Acheh (Sumater) dan Makassar (Sulawesi).
Dan bagi kerajaan lain, hanya mata wang timah atau tembaga sahaja yang digunakan pada ketika itu.
Satu Mas dan Satu Kupang adalah dua jenis mata wang lazim yang dikeluarkan untuk peredaran. Berat Satu Mas adalah bersamaan 20 biji saga kundi menurut cara timbangan lama, iaitu sekitar 2.4 gram hari ini.
Berat Satu Kupang adalah 25% daripada Satu Mas, iaitu bersamaan 5 biji saga kundi dan sekitar 0.6 gram hari ini.
Dengan ini, Satu Mas bersamaan dengan Empat Kupang pada ketika itu.
Satu Kupang dan Satu Mas
Sejenis mata wang emas yang dilaporkan ditemui di daerah yang pernah menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Kedah selama beb iaitu Kampung Siputih, Kubang Pasu, Kedah kini disimpan di Muzium Negeri Kedah.
(Muka hadapan Kupang Emas Kedah bertulis "Sultan Muhammad Jiwa")
(Muka belakang Kupang Kedah bertarikh 1147 Hijrah bersamaan 1734 Masihi)
Jika dilihatkan pada muka hadapan mata wang di bawah terdapat perkataan "Sultan Muhammad Jiwa" dalam ejaan Jawi. Dengan wujudnya ukiran ini, pertikaian tentang zaman mata wang emas ini digunakan tidak relevan.
Ia digunakan antara tahun 1710 hingga 1778, ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Shah II.
Manakala tulisan Jawi "Adilin Shah, 1147" terukir di bahagian belakang mata wang emas ini. Angka 1147 itu bukanlah tahun Masihi tetapi tahun Hijrah yang bersamaan dengan tahun 1734 Masihi.
Dan ini juga membutktikan ia dihasilkan untuk keluaran tahun 1734, dalam lingkungan zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Shah II.
Terdapat pertikaian kepada gelaran yang diberikan kepada Sultan Muhammad Jiwa iaitu sama ada "Zainal Adilin Shah" atau "Zainal Abidin Shah". Namun dengan wujudnya mata wang ini, ia menjadi bukti kukuh gelaran beliau adalah "Zainal Adilin Shah".
Juga dikatakan bahawa pengaruh Parsi agak kuat dalam pemerintahan Kedah, disebabkan penggunaan angka "4" pada mata wang emas ini yang mana merupakan angka 4 Parsi dan bukannya dari Arab yang biasa digunakan ketika itu.
Setelah ditimbang, berat mata wang emas ini adalah 0.5 gram dan dengan diameter 12mm, membuktikannya adalah Satu Kupang.
Pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa II bermula pada tahun 1710 di mana pada ketika itu beliau bersemayam di Bukit Pinang, Kepala Batas sebelum berpindah untuk membuka Kota Setar pada Disember 1735.
(Bandar Kota Setar hari ini)
Setelah menjadi pusat pemerintahan dan pusat perniagaan utama di Kedah, Kota Setar kemudiannya menjadi semakin maju dan berkembang pesat.
Mata wang emas di Kedah pada ketika itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan rakyat disebabkan pemerintahan yang pesat berkembang.
Mata wang perak dari Barat pada ketika itu juga sedang digunakan secara meluas di wilayah ini.
Melihat situasi ini, Sultan Muhammad Jiwa II mengarahkan para pembesar untuk mengubah sistem mata wang kepada cara lama yang mana hanya bersandarkan kepada emas.
Dengan itu, mesyuarat oleh para pembesar dengan sultan telah memutuskan bahawa mata wang yang akan digunakan di negeri Kedah sebagai mata wang utama termasuklah yang diperbuat daripada perak.
Sehubungan itu, perak ditempa untuk menjadi mata wang dan dikenali sebagai Darham. Sultan kemudiannya menetapkan bahawa nilai Satu Darham perak adalah bersamaan dengan Satu Kupang emas.
Sekali lagi menjadi pelopor, perubahan besar yang dibuat kerajaan Kedah ini tidak berlaku di mana-mana negeri lain.
(Muka hadapan mata wang emas tertulis "Sultan")
(Muka belakang mata wang tertulis "Adilin")
Mata wang emas yang tertulis "Sultan" di bahagian hadapan dan "Adilin" di bahagian belakang adalah antara mata wang lain yang ditemui di Kedah.
Terdapat beberapa lagi mata wang yang ditemui di Kedah, termasuklah mata wang emas yang tertulis "Sultan" di bahagian hadapan dan "Adilin". Berat mata wang emas ini adalah 0.6 gram, maka ia juga merupakan jenis Satu Kupang.
Ia juga dipercayai dihasilkan pada zaman Sultan Muhammad Jiwa kerana "Adilin" adalah gelaran beliau. Apa yang menjadi pertikaian adalah sama ada mata wang emas tak bertarikh ini dikeluarkan pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin I (pemerintah Kota Siputih dari 1472 hingga 1501), atau Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II.
(Muka hadapan mata emas tertulis "Sultan Adilin")
(Muka belakang mata tertulis "Akbar Shah")
Gambar di atas juga merupakan sejenis Kupang yang ditemui di Kedah, dengan tertulis "Sultan Adilin" di bahagian hadapan dan "Akbar Shah" di bahagian belakang.
Namun sukar untuk ditentukan zaman mata wang ini digunakan kerana tidak tertera tarikh diatasnya.
Walaupun tiada lagi penggunaan perkataan "Mas" dalam merujuk kepada wang atau duit, namun "kupang" masih digunakan secara meluas dan difahami oleh seluruh rakyat Malaysia.
Sejarahnya bermula lebih daripada 300 tahun dahulu dan kekal sehingga kini.
Rujukan:
1. Sejarah Mata Wang Emas Sultan Muhammad Jiwa Adilin Shah