Cuba anda bayangkan ini, seutas beg kulit berwarna coklat dihiasi dengan monogram LV berwarna karamel dengan hiasan berbentuk "quatrefoil". Tak sukar untuk meneka dan hampir semua orang tahu nama jenama ini.
Hari ini terdapat pelbagai jenama mewah di pasaran namun Louis Vuitton adalah yang paling menonjol daripada yang lain. Ramai orang di seluruh dunia meminati beg eksklusif, pakaian dan wangian Louis Vuitton.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, apakah rahsia kejayaan jenama ini? Apa yang membuatkan jenama ini mampu bertahan untuk berdekad-dekad lamanya? Tak lain dan tak bukan kombinasi kualiti, eksklusiviti dan inovasi.
iluminasi.com kongsikan dengan lebih lanjut rahsia disebalik kejayaan Louis Vuitton.
Sejarah bagaimana Louis Vuitton bermula
Louis Vuitton Malletier adalah seorang pembuat beg pakaian yang menubuhkan jenama mewah Perancis pada tahun 1854. Beliau memberi tumpuan kepada pasaran mewah dan terkenal dengan reka bentuknya yang hebat.
Oleh itu, pereka ini diberikan tugas-tugas terhormat untuk menghasilkan bagasi khas untuk isteri maharaja Perancis iaitu Napoleon III.
Kemudian pada tahun 1896, Louis Vuitton memperkenalkan monogram LV yang terkemuka pada begnya, reka bentuk yang sangat popular pada hari ini.
(Monogram LV yang menjadi trademark jenama ini)
Untuk bertahun lamanya, Louis Vuitton memperkenalkan beberapa beg yang paling terkenal di dunia, seperti Speedy Bag dan Neverote Tote.
Pada tahun 1997, jenama itu mula mereka pakaian wanita dan tiga tahun kemudian mereka mengembangkan sayap meliputi pakaian lelaki juga.
Kini, Louis Vuitton adalah syarikat yang bernilai berbilion-bilion ringgit, tidak hanya memnjual beg tetapi juga pakaian, kasut, jam tangan, perhiasan, aksesori dan minyak wangi. Dan kejayaan mereka terus membina dan membina. Tetapi bagaimana?
Kualiti
Dari hari pertama, kualiti sentiasa menjadi teras setiap satu produk Louis Vuitton. Dan strategi ini telah membuahkan hasil. Louis Vuitton tidak melakukan pemasaran sebaliknya mereka hanya menghasilkan produk yang luar biasa dari segi reka bentuk dan ketukangan mereka.
Setiap beg yang dibuat oleh Louis Vuitton adalah buatan tangan sendiri dengan penuh teliti.
Dan walaupun syarikat kini beroperasi pada skala yang sangat besar, mereka masih tahu bagaimana untuk mengekalkan "perasaan" sebagai sebuah syarikat kecil.
Eksklusiviti
Eksklusif adalah salah satu lagi rahsia untuk kejayaan jenama ini. Louis Vuitton sentiasa cuba mengatasi pengeluaran besar-besaran dengan siri edisi terhad.
Ini bermakna bahawa tidak semua orang akan memiliki beg yang sama. Ini bererti bahawa mereka yang berjaya mendapatkan beg edisi terhad, merasakan perasaan eksklusiviti yang tak dapat dibayangkan.
Apabila produk dihasilkan dalam jumlah yang kecil, ia seolah-oleh mewujudkan gelombang yang membuatkan orang ramai serta-merta mahu mendapatakan gaya terbaru beg tersebut.
Oleh kerana edisi terhad, senarai menunggu menjadi lebih panjang dan lebih lama, membuatkan keingingan terhadap produk tersebut semakin memuncak.
Inovasi
Louis Vuitton terus mencipta dan berjaya kerana ia menyesuaikan diri dengan keperluan pelanggannya. Louis Vuitton tahu bagaimana untuk membuat pembaharuan dan dalam masa yang sama mengekalkan tradisi klasik mereka.
Melalui pelbagai kerjasama, jenama itu telah berkolaborasi dengan selebriti dan pereka seperti Jeff Koons, Takashi Murakami dan Pharrell Williams yang mana semuanya telah menghasilkan jenama edisi terhad mereka sendiri.
LV juga melakukan kolaborasi bersama jenama Supreme yang menjadi kegilaan ramai. Cara ini sangat membantu jenama ini menangkap pelanggan yang baru dan muda.
Monogram LV yang ringkas tetapi elegan dikenali di seluruh dunia. Namun ia adalah gabungan ketiga-tiga nilai iaitu kualiti, eksklusiviti dan inovasi yang menjadikan resipi ini sempurna untuk kejayaan yang tidak berpanjangan.