Hari-hari menunggang motorsikal tidakkah anda tertanya-tanya dari mana datangny jenama motorsikal anda? 

Perkembangan industri di Jepun dan Itali sekitar zaman selepas perang dunia kedua meletakkan kedua-dua negara tersebut sebagai gergasi motorsikal dunia. Kisah-kisah penubuhan jenama ini sangat seronok untuk dibaca. 

Berikut adalah kisah ringkas asal-usul lima jenama motorsikal paling terkenal dunia. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Kawasaki

shozo kawasaki sejarah asal usul motor

Nama 'Kawasaki' yang bertanggungjawab merancakkan kembali industri permotoran di Malaysia selepas suram sekian lama, diambil daripada nama pengasasnya Shozo Kawasaki.

Shozo meniaga sejak berusia 17 tahun membantu ibu bapanya menjual kimono, sebelum menceburkan diri dalam bidang pengangkutan. Bagaimanapun, selepas kapal kargonya tenggelam dia menyertai sebuah syarikat penjual gula, bertanggungjawab menguruskan laluan dan bekalan gula di bawah arahan kerajaan Jepun.

Prestasi baik membolehkan beliau dibantu kerajaan ketika itu bagi membuka perniagaan baru. Pernah berdepan kemalangan kapal kargo, Shozo mengambil keputusan membuka perniagaan pembinaan kapal dengan menjadikan kapal rekaan barat sebagai inspirasi. Mendapat bantuan tapak kilang daripada kerajaan, syarikat perkapalan Kawasaki ditubuhkan - membina kapal-kapal serta mencatat sejarah membina kapal selam pertama Jepun.

Selepas perniagaannya berkembang, syarikat Kawasaki mula membina pelbagai lagi jenis kenderaan seperti keretapi, kapal terbang, helikopter, kereta serta robot mekanikal untuk kegunaan industri. Hanya pada tahun 1969, Kawasaki melancarkan motorsikal pertama mereka Kawasaki H1 yang berjaya memecahkan dominasi pengeluar motorsikal Eropah ketika itu. (rujukan)

2. Suzuki

michio suzuki

Jenama Suzuki mungkin sudah perlahan perkembangannya di Malaysia, namun masih ramai peminat motorsikal yang menantikan rekaan terbaru motorsikal Suzuki yang agak lain daripada yang lain.

Pengasas jenama ini adalah seorang pemuda miskin bernama Michio Suzuki, anak kepada pekebun kapas yang lebih banyak menghabiskan masa bermain di sekeliling pokok kapas. Dia kemudiannya bekerja di kilang tenunan, membolehkan dia meneliti rekaan mesin tenunan dan bagaimana kain tenunan dihasilkan.

Pada usia 22 tahun, Michio mempergunakan kesemua pengetahuan yang ada untuk menghasilkan mesin tenunan khas untuk ibunya. Mesin itu yang didapati jauh lebih cekap berbanding mesin sedia ada, mula menjadi buah mulut orang ramai menyebabkan Michio mendapat pesanan untuk membinanya. Lantaran itu Michio menubuhkan syarikat mesin tenunan Suzuki pada tahun 1909. Selama 3 dekad, syarikat itu menumpukan perniagaan mereka pada pengeluaran mesin tenunan yang mendahului zaman.

Hanya pada tahun 1937 ketika sudah berusia 50 tahun, syarikat Suzuki mula mengorak langkah menghasilkan kereta pertama mereka. Selepas perang dunia kedua yang menyebabkan perniagaannya dihentikan, Suzuki kembali membina basikal berenjin bermula tahun 1952, sebelum memperkenalkan motorsikal pertama mereka Suzuki Colleda COX 125cc dua tahun kemudiannya. 

3. Yamaha

pengasas yamaha

Sehingga kini Yamaha bukan saja terkenal sebagai pengeluar motorsikal, malahan sebagai pengeluar alatan muzik terulung dunia. Semuanya bermula selepas seorang pengetua sekolah meminta Torakusu Yamaha, seorang pembuat jam yang mahir untuk cuba membaiki sebuah organ di sekolah tersebut.

Organ tersebut yang dibina di Eropah, memberikan idea kepada Torakusu untuk cuba membina peralatan serupa. Bagaimanapun, organ pertama beliau dikritik kerana agak sumbang bunyinya - jadi Torakusu menghabiskan masanya selepas itu untuk belajar asas muzik supaya dia faham apa keperluan instrumen tersebut. Berbekal pengetahuan muzik, syarikat Yamaha mula mengeluarkan beberapa jenis instrumen lain seperti piano dan gramofon sebelum mengeluarkan gitar pertama pada tahun 1963.

Sebelum itu, pada tahun 1955 syarikat induk Yamaha Corporation mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah syarikat perniagaan industri motor mereka sendiri lalu tertubuhlah Yamaha Motor Company.

Motorsikal pertama mereka, Yamaha YA-1 dikeluarkan pada tahun 1955 dengan kadar pengeluaran 200 unit sebulan. YA-1 menjadi lejen selepas memenangi perlumbaan peringkat kebangsaan dalam kategori 125cc sebelum digantikan dengan model YB-1 dan YC-1 yang menambah baik model asas pertama mereka.

4. Ducati

pengasa ducati

Syarikat Ducati terkenal mampu menawarkan motor-motor yang mempunyai rekaan yang sangat sukar ditandingi juga mempunyai sejarah yang sangat panjang.

Adriano Cavalieri Ducati adalah seorang anak muda berusia 19 tahun pada tahun 1922 yang gemar melakukan eksperimen dengan sistem radio. Eksperimen beliau berjaya menghubungkan gelombang dari rumahnya di Bologna, Itali dengan sebuah lokasi di Amerika Syarikat - satu kejayaan besar pada era tersebut. 

Hasil kejayaan ini, Adriano bersama adik-beradiknya Bruno dan Marcello menubuhkan Società Scientifica Radio Brevetti Ducati atau SSR, bagi membina sistem radio kondenser.

Perniagaan mereka laris kerana Bologna ketika itu dianggal menjadi pusat perkembangan teknologi radio. Mereka juga turut disokong kerajaan Itali ketika itu di bawah pemerintahan Benito Mussolini, yang mahu memodenkan Itali secara agresif. Hasil usaha keras, mereka berjaya membuka kilang di Borgo Panigale, sebuah kawasan luar bandar di Bologna.

Ducati mula mengeluarkan pelbagai produk seperti kamera dan lensa, sebelum kilang mereka diambil alih tentera Jerman atas perjanjian kerajaan Jerman dan Itali. Pada tahun 1947, SSR diisytiharkan bankrap namun terus mendapat sokongan kerajaan yang nampak potensi mereka.

Bagi membantu perniagaan Ducati, syarikat itu diminta membantu pembangunan jentera enjin dengan ssebuah syarikat lain dan enjin pertama mereka, Cucciolo T1 yang dibina menjadi titik tolak kebangkitan Ducati sebagai gergasi dunia permotoran. (rujukan)

5. Aprilia

lancia aprilia

Sebuah lagi jenama Itali yang terkenal selain Ducati, nama Aprilia sangat popular di kalangan peminat jentera dua roda.

Bagaimanapun, kisah bagaimana nama ini dipilih nyata berbeza dengan jenama-jenama lain dalam senarai kami ini. Seorang ahli perniagaan bernama Cavaliere Alberto Beggio menubuhkan sebuah kilang pembuatan basikal di Venice pada tahun 1962. Enam tahun berikutnya, Ivano Beggio anak kepada Cavaliere mengambil alih tugasan ayahnya.

Di bawah kendalian Ivano, syarikat mereka mula mengeluarkan motorsikal kerana Ivano merasakan basikal bukanlah sesuatu yang dapat terus mendorong minatnya. Motosikal pertama mereka menggunakan jenama Aprilia adalah sebuah motorsikal 50cc sebelum dua buah moped bernama Colibri dan Daniela dilancarkan.

Namun dari mana datangnya asal-usul nama 'Aprilia'?

Kisahnya begini - Cavaliere adalah seorang pencinta kereta dan salah satu model kereta yang sangat diminatinya adalah kereta keluaran syarikat Lancia yang diberikan nama Lancia Aprilia. Jadi sejak mula Cavaliere menamakan kilang mereka sebagai Aprilia ekoran minatnya terhadap model kereta tersebut yang dikatakan unik serta berbeza berbanding kereta lain. 

Etos itu dipegang oleh Aprilia dan menjadi identiti setiap rekaan motorsikal mereka. 

Di mana Honda? Pasti anda tertanya-tanya asal-usul nama Honda. Kami sudah pun menerbitkan satu artikel yang bukan saja menceritakan asal-usul nama Honda, bahkan nama Toyota, Nissan dan kereta Jepun lain. Tahu tak jenama Mazda berasal daripada nama Tuhan dalam pengasas jenama tersebut?




Hakcipta iluminasi.com (2017)