Kredit foto: ammboi.com & tv.toggle.sg
Penganjur Anugerah Planet Muzik 2017 (APM 2017) mengakui terpaksa menggugurkan nama penyanyi Datuk Siti Nurhaliza daripada pencalonan kategori Artis Terbaik (Wanita).
Ini berikutan Siti pernah dicalonkan dengan lagu yang sama, Menatap Dalam Mimpi pada tahun lalu menerusi kategori tersebut.
Kesilapan teknikal itu hanya mula disedari ketika sidang media pengumuman senarai pencalonan APM 2017 yang berlangsung di Singapura.
Susulan itu permohonan maaf dikeluarkan oleh pihak Mediacorp kepada penyanyi itu dalam sidang akhbar sama di Hard Rock Cafe.
Ketua Penyiaran Melayu Mediacorp, Zakiah Halim melahirkan penghargaan terhadap pengurusan Siti yang terlebih dahulu menyedarkan mereka tentang kesilapan tersebut.
Dalam masa yang sama, jelas Zakiah, kategori Artis Terbaik (Wanita) bakal mempertaruhkan hanya empat nama buat pertama kalinya pada tahun ini, iaitu Dayang Nurfaizah dari Malaysia, Isyana Sarasvati dan Raisa (Indonesia) dan Aishah Aziz (Singapura)
Nama Siti sudah dicalonkan dalam kategori sama menerusi lagu Menatap Dalam Mimpi pada penganjuran APM tahun lalu. Kami memilih untuk mengekalkan empat calon kerana senarai nama asal sudah pun diketahui umum sebaik sahaja sidang media pertama dilakukan di Singapura. Kelima-lima penyanyi ini termasuk Siti memperolehi markah tertinggi. Sekiranya kami menyenaraikan nama di tempat ke enam mengisi kekosongan yang ada, ia tidak adil dan sudah tentu penyanyi itu dan peminatnya tahu kemenangan tidak akan berpihak kepada mereka.
Sumber: Harian Metro
Dalam sebuah kenyataan lain, Siti berharap agar para peminatnya memahami situasi sebenar di mana dia tiada produk baru untuk dicalonkan pada tahun ini. Album terbaru Siti dilancarkan pada bulan Mei, sedangkan tarikh tutup pencalonan APM 2017 adalah pada 31 Mac lalu.
Bagaimanapun Siti mempunyai sebuah lagu duet bersama penyanyi Faizal Tahir berjudul Dirgahayu yang tercalon dalam dua kategori iaitu Duo/Kumpulan Terbaik dan Lagu Terbaik (Malaysia).
APM 2017 bakal berlangsung di MES Theatre, Mediacorp, Singapura. pada 14 Oktober ini dan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.